PENYANYI dan komposer, Awi Rafael melancarkan album terbarunya, Asalkan Aku Ok! sempena Showcase Awi Rafael, hari ini.
Album yang mengandungi sembilan lagu itu hasil ciptaan Awi sepenuhnya.
Ketika diminta untuk memilih satu daripada sembilan lagu sebagai lagu kegemarannya, Awi akui sukar.
"Ini macam ada sembilan anak tetapi disuruh pilih satu.
"Awi rasa lagu Asalkan Aku Ok! sebab apabila nak marah, Awi teringat lagu ini," katanya pada Showcase Awi Rafael yang berlangsung di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).
Pada majlis yang sama, Awi turut memperkenalkan single terbarunya, Hari-Hariku dengan mempertontonkan video klip lagu tersebut.
Lagu ciptaan Awi ini mengisahkan hari-hari yang dilaluinya dengan rasa cinta.
Lagu ini turut menyentuh tentang rasa syukur apabila dianugerahkan kekasih hati yang sanggup menerima diri seadanya.
Kekasih pelakon, Hanez Suraya ini turut menyampaikan lagu siulan ramai, Bukankah Aku dengan alunan piano yang dimainkannya sendiri.
Persembahan Awi diiringi pemuzik yang terdiri daripada pelajar Aswara.
Penyanyi kelahiran Singapura ini mula dikenali sejak tahun 2011 melalui lagu Pulanglah yang menjadi kegilaan ramai.
0 ulasan:
Post a Comment