Rancangan yang diadaptasi daripada format program antarabangsa itu dikendalikan sepenuhnya oleh pelakon popular, Aaron Aziz.
Menurut Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh, Fear Factor Selebriti Malaysia telah diubahsuai mengikut kesesuaian budaya dan kehidupan masyarakat Malaysia.
"Setiap perincian diambil kira untuk memastikan elemen tempatan dapat diterapkan, sekali gus mengelakkan sebarang sensitiviti agar bersesuaian dengan masyarakat yang berbilang kaum," katanya ketika ditemui dalam majlis pelancaran dan sidang media program Fear Factor Selebriti Malaysia, hari ini.
Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad Ramli berkata rakaman sepenuhnya yang melibatkan 30 selebriti itu sudah selesai dijalankan di Afrika Selatan.
"Kita boleh berbangga dengan selebriti kita kerana mereka sangat berani. Menurut pihak di Cape Town, selebriti Malaysia sangat berani jika dibandingkan peserta-peserta Fear Factor sebelum ini.
"Episod pertama, hanya ada satu cabaran..pengenalan saja. Memang tidak ada cabaran yang melibatkan makanan," katanya kepada pemberita.
Beliau memberitahu bandar Cape Town dipilih sebagai lokasi cabaran kerana mahu membawa program itu ke tahap yang membanggakan selain mencabar tahap ketahanan selebriti dari segi perubahan cuaca.
Aaron Aziz yang pertama kali mengacarakan program realiti itu turut melahirkan rasa bangga terhadap peserta Fear Factor Selebriti Malaysia.
"Peserta cukup berani. Walaupun ada yang gagal tetapi mereka cuba bukan mereka tak nak buat langsung," katanya.
Dalam pada itu, kesemua artis yang hadir turut berkongsi rasa ketika menghadapi cabaran.
Antaranya Mejar Dr Faiz Khaleed, Hairul Azreen, Dafi Ismail, Elfira Loy, Didie Alias, Roslan Shah, Dazrin Kamarudin, Johan Ashaari dan ramai lagi.
Menurut Dr Faiz, apa yang dilaluinya sangat berbeza dengan apa yang ditonton di kaca TV mahupun latihan ketenteraan yang dijalaninya.
"Bila kita berdepan dengan cabaran itu, baru kita tahu kekuatan dan kelemahan kita. Alhamdulillah saya tak rasa geli cuma sukar bagi saya untuk lakukan aksi imbangan," katanya ketika ditemui, di sini.
Pelakon dan pengacara sensasi, Didie Alias sempat memberitahu bahawa dirinya mampu melakukan seperti yang dilakukan oleh selebriti muda lain.
Rancangan 13 episod ini akan ditayangkan bermula 29 Disember.
0 ulasan:
Post a Comment