Ikan ‘pari batik’ atau nama saintifik himantura uarnak itu menarik perhatian penduduk yang rata-ratanya belum melihat ikan pari sebesar itu.
Mohamad Azri Azmi, 20, berkata, kejadian itu disedari ketika dia bersama rakan, Nik Mohd Anaz Nik Mansor, 17, ke sungai untuk memungut hasil tangkapan jam 7.30 pagi semalam selepas memasang pukat jam 5 petang kelmarin.
Katanya, dia pada mulanya menyangka pukat tersangkut kerana tidak terdaya untuk mengangkatnya ke bot.
“Saya terkejut melihat ikan pari besar tersangkut pada pukat, ketika kami mengangkatnya ke bot, ikan itu menggelepar sehingga bot hampir tenggelam.
“Kami panik tapi terus berusaha menariknya ke tebing kerana tidak mahu ikan itu terlepas begitu sahaja kerana inilah kali pertama ikan sebesar itu tersangkut pada pukat saya,” katanya yang tidak menyangka ikan pari sebesar itu berada dalam kawasan air tawar.
Mohamad Azri terpaksa menghubungi ayahnya supaya datang dengan kereta untuk membawa pulang ikan tersebut.
“Ayah saya sampai tidak lama selepas itu dan dengan dibantu beberapa kawan, ikan itu berjaya dibawa pulang ke rumah dengan mengikatnya di atas bonet kereta.
“Saya menganggap ini rezeki keluarga kerana sebelum ini pukat hanya mengena ikan kecil, tidak berbaloi untuk berulang alik sejauh tujuh kilometer dari rumah saya,” katanya.
Himantura uarnak hidup dalam habitat pantai dan air payau serta banyak ditemui di antara Afrika Selatan hingga ke Australia itu boleh membesar sehingga dua meter lebar sementara ikan pari yang berjaya ditangkap Mohamad Azri semalam selebar 1.8 meter dan panjangnya tiga meter.
Mengikut senarai merah International Union for the Conservation of Nature (IUCN), Himantura uarnak dari famili Dasyatidae itu diklasifikasikan sebagai haiwan hampir terancam.
0 ulasan:
Post a Comment