Home » , » Gandingan mantap Kerat 14

Gandingan mantap Kerat 14

Written By Unknown on Saturday, February 16, 2013 | 5:46 PM

Sekali pandang pada judulnya, pasti ramai yang menyangka filem Kerat 14 ini diilhamkan daripada tragedi yang berlaku pada 1993 melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Talam, yang telah dibunuh dengan kejam.

Justeru, tidak hairanlah 'trailer' filem ini mendapat tontonan hampir dua juta orang di laman sosial YouTube.

Namun, pengarah filem ini, Arjin Uppal menafikan perkara terbabit dan menegaskan segala jalan cerita dan skrip dihasilkan menerusi imaginasi dan untuk hiburan semata-mata.

Malah, bagi menggelakkan berlakunya kesilapan yang boleh membuatkan karyanya membelakangi undang-undang, Arjin sanggup bertemu beberapa kali dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Penapisan Filem (LPF) bagi mendapatkan nasihat serta panduan yang bersesuaian.

"Ingin saya tegaskan, filem ini tidak ada kaitan dengan mana-mana pihak dan kami juga banyak berbincang dengan PDRM dan LPF bagi mendapatkan panduan dan perbincangan.


Selesai perbincangan, kita akan rombak semula skrip, mengikut kesesuaian seperti yang dibincangkan. Ini kerana, saya tidak mahu babak keganasan itu dipaparkan secara melampau, oleh kerana itu, tidak ada babak menunjukkan badan mangsa dikerat sepenuhnya.

"Hasilnya, LPF tidak memotong mana-mana babak di dalam filem ini kerana sejak awal lagi, kita telah olah skrip mengikut kesesuaian," katanya yang ditemui pada sesi tayangan filem tersebut, baru-baru ini.

Aaaron Aziz dan Siti Saleha dipilih sebagai teraju utama filem ini dan turut dibantu oleh Zamarul Hisham, Arash Mohamad, Ali Arami, Fouziah Gous dan Arora Salwa.

Bagaimanapun, pada pendapat penulis yang sudah menonton filem tersebut baru-baru ini, Arjin mampu untuk menjadi pengarah yang berkaliber sekiranya dia berani tampil dengan sebuah naskhah yang lebih kuat.

Jalan cerita longgar

Ini kerana, Arjin memberikan sesuatu yang cukup menarik pada permulaan cerita, di mana dua pekerja yang bertindak mengutip sampah, menjumpai bungkusan misteri dan menyebabkan mereka lari ketakutan.

Ia ternyata sesuai sekali dengan genre filem ini yang meletakkan misteri, thriller dan aksi sebagai subjek.

Namun, sebaik cerita bergerak pada minit kelima, Arjin membiarkan satu babak ke satu babak berlangsung terlalu lama sehingga menyebabkan cerita mulai bosan.

Mungkin kerana mahu terlalu 'selamat', Arjin 'tertinggal' bahagian-bahagian yang sepatutnya menjadi misteri, begitu sahaja.

Contohnya, Saleha yang membawakan watak sebagai Nurzara dipalit minyak pengasih oleh Aril, sehingga dia mula lupa pada Haziq (Aaron) dan melayan Aril (Ali).
Namun, apabila Aril mati, Nurzara tidak lagi terbawa-bawa dengan kesan palitan minyak pengasih itu, sebaliknya, rasa misteri itu bagai tertinggal di rumah sebaik mereka keluar membawa mayat Aril.

Malah, babak yang sepatutnya paling penting kerana diangkat sebagai tajuk iaitu babak Haziq mengerat Aril kepada 14 bahagian, tidak ditunjukkan, sehingga penonton tidak terasa kesan kengerian pembunuhan itu.

Sepatutnya, dengan bajet besar iaitu RM1.8 juta, Arjin mungkin boleh masukkan sedikit Imej Janaan Berkomputer (CGI) atau memasukkan bahagian badan palsu bagi melihatkan rasa ngeri tersebut.

Bagaimanapun, babak penting di biar berlalu begitu sahaja. Apatah lagi, Haziq yang mengerat Aril seolah terlupa mengeluarkan barang peribadi sehingga memudahkan kerja polis untuk menyiasat dan tiada lagi misteri yang perlu dirungkaikan.

Sebaliknya, ia bagai sebuah cerita kepolisan yang 'memenangkan' pasukan beruniform tersebut, kerana hanya perlu memastikan Haziq mengakui perbuatannya berdasarkan segala bukti yang ada.

Mungkin jika Arjin letakkan beberapa babak yang sedikit menarik, seperti cabaran polis merungkai misteri pembunuhan tersebut, di tambah dengan tekanan emosi Nurzara dan gangguan akibat minyak pengasih itu, filem ini boleh menjadi naskhah yang lebih menarik dan sesuai dengan genre yang diketengahkan.


Sinematografi menarik

Bagaimanapun, pujian masih boleh diberikan kepada Arjin kerana menampilkan sudut kamera dan sinematografi yang menarik.

Ini kerana, dari segi sudut kamera dan sinematografi dalam filem ini, ada ketikanya babak seram dan misteri cukup terasa.

Ditambah dengan pencahayaan dan kesan bunyi yang banyak memainkan peranan dalam menimbulkan mood misteri tersebut.

Tidak kurang juga dengan babak aksi yang nampak begitu 'real' seperti babak Haziq lari dari polis dengan terjun dari balkoni rumahnya sehingga kepada babak kejar mengejar antara kereta Haziq dan polis dengan melibatkan senjata.

Selain itu, gandingan Aaron dan Saleha juga membantu menguatkan lagi filem ini dengan lakonan mantap mereka.

Apatah lagi, keserasian mereka selepas digandingkan dalam sebuah drama popular masih terasa, biarpun drama tersebut telah lama berlalu.

Malah, ada ketikanya, penonton turut merasai tekanan yang dihadapi Saleha akibat pembunuhan tersebut, walhal malam kejadian dia sepatutnya meraikan hari lahirnya bersama Haziq.

Tragedi tak disangka

Filem ini mengisahkan percintaan Haziq dan Nurzara. Haziq amat menyayangi Nurzara dan sanggup membuat apa sahaja untuk menggembirakan Nurzara. Namun Haziq terlibat dengan aktiviti sosial dan tidak disenangi oleh Nurzara.

Ketika membawa Nurzara meraikan hari lahir di sebuah kelab malam, tanpa disangka Nurzara telah menarik perhatian Aril sehingga Aril bertindak memalitkan minyak pengasih untuk mendekati Nurzara.

Namun, satu tragedi ngeri yang tidak disengajakan telah berlaku dalam kisah cinta Haziq dan Nurzara dan perkara itu sampai ke peringkat penyiasatan yang dilakukan oleh ASP Razman.

Siapakah yang akan menjadi mangsa dalam kisah percintaan Haziq dan Nurzara? Dapatkah Aril memiliki cinta Nurzara? Mampukah Haziq mempertahankan cinta dan kasih sayangnya pada Nurzara?

Kenali 10 Blogger Terbaik Malaysia

0 ulasan:

Post a Comment

Sila Like Kami di Facebook.
 
Support : Your Link | Careeron9 | OhGosip Artis
Copyright © 2013. DinKlate - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger About Me .