Tampil membuat pengakuan, pelakon dan model, Ammar Alfian, mengakui hubungannya bersama Puteri Sarah Liyana, sudah lama berakhir.
Tambahnya lagi, hubungan yang dibina hampir lima tahun itu akhirnya kecundang di tengah jalan kerana tiada keserasian dan kesilapan dirinya yang tidak menghargai Puteri Sarah.
Ketika dihubungi Puteri Sarah atau nama sebenarnya, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 28, mengakui pendedahan bekas kekasihnya itu dan menganggap hubungan cinta itu gagal diselamatkan lagi.
"Ya, memang kami dah berpisah sejak tahun lalu. Apa yang dia (Ammar) beritahu, betul. Kami tiada keserasian walaupun hampir lima tahun berkawan.
"Mungkin kami tiada jodoh untuk bersama dan saya terima ketentuan ini dengan hati yang terbuka.
"Pun begitu, kami masih berkawan dan perpisahan itu dibuat setelah kami berbincang. Kami berpisah atas kehendak bersama," kata pelakon drama bersiri, Adam dan Hawa, ini.
Ammar panas baran?
Ketika masih bersama, pasangan ini pernah terpalit kontroversi hebat setelah gambar mesra mereka tersebar.
Dikritik dek sikap panas baran, Ammar juga tampil membuat permohonan maaf secara terbuka apabila sebelum ini dia dikatakan memberi ugutan bunuh kepada wartawan menerusi Facebooknya.
Ditanya mengenai punca perpisahan itu, Sarah menafikan ia berpunca daripada sikap panas baran bekas kekasihnya itu.
Malah menurut Sarah, ia hanyalah kerana kesibukan masing-masing dan jarang berjumpa.
"Kami sama-sama sibuk dengan kerja masing-masing, jadi kami tiada komitmen untuk hubungan ini.
"Lagipun, saya sering menjalani penggambaran di luar daerah, jadi susah nak jumpa," katanya yang kini sedang menjalani penggambaran di Melaka, untuk slot Cerekarama Di Sana Menanti, Di Sini Menantu.
Bukan masa berfoya
Terkejut dengan kenyataan Ammar mengenai dirinya yang kini mempunyai kekasih baru, Sarah menafikan perkara berkenaan dan mempersoalkan tindakan pelakon drama, Tari Tirana itu.
"Kenapa dia cuba berkata begitu sedangkan saya tiada kekasih baru. Kenapa dia cuba untuk melibatkan orang lain dalam perpisahan ini?
"Ingin sekali saya tegaskan, ia bukan berpunca daripada orang ketiga dan saya sendiri tiada masa untuk fikir nak cari pengganti.
"Buat masa ini, saya hanya ingin fokus pada kerja dan tiada masa untuk memikirkan hal itu. Ini bukan masanya untuk bertukar-tukar pasangan," tegasnya.
0 ulasan:
Post a Comment