Home » » Kes Shila Amzah contoh 'komunikasi terdesak' - Prof Musa

Kes Shila Amzah contoh 'komunikasi terdesak' - Prof Musa

Written By Unknown on Wednesday, February 13, 2013 | 12:32 AM


MENGADU di laman sosial sudah menjadi begitu sinonim dengan masyarakat masa kini tanpa mengira subjek yang diperkatakan, demikian menurut Pensyarah Program Komunikasi, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Dr Musa Abu Hassan.

Musa berkata, hal ini berlaku apabila manusia terlalu bergantung kepada media sosial untuk berinteraksi meluahkan isi hati.


“Kalau dulu-dulu, kita mengadu pada buku diari, tetapi sekarang mengadu di Facebook, Twitter dan sebagainya yang dikongsi dengan orang lain.


“Kadang-kadang mereka terlupa hal keluarga sepatutnya beredar dalam keluarga sahaja bukan pada media dan bukan untuk tatapan orang lain kerana orang membuat interpretasi terhadap apa yang kita nyatakan,” katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Mengambil isu terbaru yang membabitkan penyanyi popular, Shila Amzah sebagai contoh, beliau menyifatkan apa yang berlaku ekoran komunikasi terdesak.

“Itu boleh kita katakan komunikasi terdesak... tak fikir panjanglah. Pada pendapat saya, hal ini berlaku juga apabila kurangnya komunikasi keluarga dan ia tidak sepatutnya berlaku sehingga ke tahap ini.

“Apa yang berlaku ini (isu Shila) adalah apabila perasaan dia sudah meletup. Dia tak dapat nak luahkan perasaan dan tak dapat berbincang dengan ibu bapa,” katanya.

Shila telah berkongsi perasaannya di laman mikro Twitter dan Youtube serta e-mel sehingga mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai.

Kemudian, dia dilaporkan hilang oleh ayahnya, ND Lala setelah gagal dihubungi hampir seminggu.

Dalam pada itu, beliau memberitahu komunikasi antara keluarga sangat penting bagi mengelakkan perkara seumpama ini atau lebih teruk berlaku.

“Itu pentingnya ibu bapa berkomunikasi secara berkala dengan anak-anak. Mesti! Hubungi anak-anak dan anak-anak pula hubungi ibu bapa juga sekerap mungkin. Anak-anak pula jangan pendam perasaan.

“Sekarang, sudah kurang aktiviti keluarga seperti makan bersama, berkelah atau berjalan-jalan bersama kerana masing-masing sibuk dengan kerjaya dan anak muda sekarang pula memang nak berdikari,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut tentang itu, beliau berkata, “mungkin dia juga rasa diri dah matang dan mahu berdikari dan tak memerlukan ibu bapa."

"Itu tak betul. Sampai mati pun kita tetap memerlukan mereka," katanya lagi.

Tambahnya, “apabila mereka fikir sudah boleh berdikari, mereka akan membuat keputusan tanpa memikirkan implikasi terhadap tindakannya itu.”

Beliau juga menasihatkan agar ibu bapa dan anak-anak dapat berbincang apabila berlaku sebarang masalah.

“Bersemukalah dengan anak-beranak, bincang balik. Kalau anak dan ayah tak boleh bersemuka, mungkin boleh cari saudara yang terdekat untuk menyatukan balik kerana ini hal keluarga,” katanya.

Kenali 10 Blogger Terbaik Malaysia

0 ulasan:

Post a Comment

Sila Like Kami di Facebook.
 
Support : Your Link | Careeron9 | OhGosip Artis
Copyright © 2013. DinKlate - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger About Me .