Home » , » Pas Kuala Krai: Kaum Cina makin yakin, tidak lagi takut Islam

Pas Kuala Krai: Kaum Cina makin yakin, tidak lagi takut Islam

Written By Unknown on Sunday, February 17, 2013 | 8:55 AM

KUALA KRAI - Penduduk Cina di kawasan Parlimen Kuala Krai diseru terus beri sokongan kepada kepimpinan Pas untuk memerintah Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bagi memastikan nasib mereka terus dibela.

Yang Dipertua Pas Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, sokongan itu penting bagi membolehkan kerajaan negeri meneruskan kesinambungan dasar pemerintahan adil untuk semua kaum di negeri ini.

Sejak Pas memerintah negeri ini pada 1990, keyakinan masyarakat Cina kepada kepimpinan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat makin meningkat dan diharap sokongan itu berterusan pada PRU13.

“Masyarakat Cina di Kelantan tidak lagi takut kepada dasar Islam kerana selama lebih 20 tahun, mereka sudah merasai sendiri keselesaan hidup di bawah pemerintahan Pas.

“Kerajaan negeri tidak pilih kasih jaga kebajikan rakyat kerana setiap bantuan disalurkan kepada semua yang layak tanpa kira kaum atau agama, bahkan tidak kira perbezaan parti politik,” katanya.

Beliau yang juga Adun Mengkebang berkata demikian selepas program Sambutan Tahun Baru Cina anjuran Pas Dun Mengkebang di Wat Sala Wanathayan, Kampung Batu Jong, malam kelmarin.

Program dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat Kelantan, Datuk Anuar Tan Abdullah dan Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Md Ramli.

Abdul Latiff berkata, peningkatan sokongan masyarakat Cina kepada Pas dapat juga dilihat di Parlimen ini kerana Kerajaan Negeri tidak pernah gagal menghulurkan bantuan kepada kaum itu.

“Selain meliputi semua lapisan masyarakat berbilang kaum, bantuan disalurkan pula berterusan sepanjang tahun dan tidak kira musim pilihan raya atau tidak,” katanya.

Menurutnya, sokongan masyarakat Cina termasuk di Parlimen ini penting dalam usaha Pas mempertahankan Kelantan dan juga membantu Pakatan Rakyat menuju ke Putrajaya.

“Jika semua kaum bersatu dan memilih Pakatan Rakyat, kita akan mara dengan keberkatan menuju Putrajaya bagi mengembalikan hak Kelantan yang dinafikan terutama royalti minyak,” katanya.

Kenali 10 Blogger Terbaik Malaysia

0 ulasan:

Post a Comment

Sila Like Kami di Facebook.
 
Support : Your Link | Careeron9 | OhGosip Artis
Copyright © 2013. DinKlate - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger About Me .