Home » , » SPNB bina 19,000 rumah mesra rakyat 1Malaysia tahun ini

SPNB bina 19,000 rumah mesra rakyat 1Malaysia tahun ini

Written By Zanuddin Yaacob on Sunday, February 17, 2013 | 1:28 AM

KUALA LUMPUR - Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bakal membina 19,000 lagi Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) di seluruh negara tahun ini.

Ketua Pegawai Teknikal SPNB Datuk Ahmad Azizi Ali berkata, SPNB telah membina sebanyak 19,700 unit RMR1M dengan subsidi kerajaan sebanyak RM20,000 setiap unit sejak program RMR diperkenalkan pada 2002.

"Kos sebenar sebuah RMR1M ialah RM65,000 dan kerajaan memberi subsidi sebanyak RM20,000 setiap unit supaya pembeli tidak dibebankan dengan kos yang tinggi, mereka hanya menanggung kos RM45,000 seunit," katanya selepas merasmikan Program Hari SPNB bersama Media 2013 di sini, hari ini.

Selain memberi subsidi kepada pembinaan RMR1M, kerajaan juga menanggung kos tambahan yang diperlukan untuk kerja ambil alih dan menyiapkan projek perumahan yang terbengkalai.

"Kerajaan tidak mahu membebankan rakyat, oleh itu SPNB tidak dibenarkan menaikkan harga rumah yang terbengkalai, sebaliknya kami menyiapkan rumah tersebut dan kos tambahan ditanggung sepenuhnya kerajaan," katanya.
Program bersama media yang bertemakan "Selamatkan Gaza" itu diadakan di Kem Isi Rimba, Hulu Kemensah di sini turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti riadah dan penyerahan sumbangan RM2,300 oleh pekerja SPNB untuk Tabung Gaza.

Azizi berkata, SPNB juga kini giat menyiapkan dua projek perumahan yang terbengkalai lebih 10 tahun di Batu Pahat dan Tangkak, Johor.

"Taman Jasa Amir di Batu Pahat melibatkan 50 unit rumah manakala terdapat 60 unit rumah terbengkalai di Taman Tangkak Emas, Tangkak dan ia melibatkan kos lebih RM20juta," katanya.

Sementara itu, Azizi berkata SPNB juga telah memulakan pembinaan fasa kedua rumah mampu milik di Laguna Biru, Rawang yang mempunyai 1,200 unit rumah berharga antara RM160,000 ke RM170,000 dan dijangka siap Jan 2015.- Bernama

Kenali 10 Blogger Terbaik Malaysia

0 ulasan:

Post a Comment

Sila Like Kami di Facebook.
 
Support : Your Link | Careeron9 | OhGosip Artis
Copyright © 2013. DinKlate - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger About Me .