Sejak drama bersiri Awan Dania menemui titik penghujungnya, ramai peminat terutamanya peminat Scha Al-Yahya tidak sabar menanti kehadiran Dania ke layar perak.
Namun, tidak mahu menggunakan acuan lama, Rashid Sibir selaku pengarah Awan Dania The Movie telah mengolah sedikit watak Dania yang agak jauh berbeza dengan karakternya dalam drama.
Ia sekali gus membawa keluar Scha dari zon selesanya dan menerusi karakternya dalam filem, Dania lebih kewanitaan dan bersikap sedikit gedik. Bagaimanapun, masih mengekalkan sisi humornya.
Malah, untuk filem kali ini, penonton juga tidak akan melihat ahli keluarga Dania seperti bapanya yang dilakonkan oleh Mustapha Kamal dan abang-abangnya.
Sebaliknya, Rashid mempertaruhkan Rusdi Ramly, Elly Mazlein, selaku teraju utama di samping Scha.
Filem ini mengisahkan tentang Dania (Scha Al-Yahya) dan Tania (Elly Mazlein) yang bersaing merebut gelaran pramugari terbaik. Tania pernah menggondol anugerah tersebut, dan beliau juga begitu popular di kalangan krew kabin dan penumpang.
Dania mengetahui Tania mempergunakan Remy, seorang juruterbang untuk memenangi anugerah tersebut serta untuk mendapatkan perhatian orang ramai. Perang bermula di antara Dania dan Tania apabila Tania menyedari dirinya diekori oleh Dania.
Tania semakin galak dengan cubaan untuk menarik perhatian Remy di samping cuba membuatkan Remy membenci Dania.
Justeru, bagi merealisasikan rancangannya, Dania yang selama ini terkenal dengan sikap 'tomboy', sanggup merubah dirinya dengan memakai baju yang lebih menonjolkan sisi kewanitaan dan bersikap gedik demi menyaingi Tania.
Elly menyerlah
Bagaimanapun, selaku teraju utama, Scha kadang kala kelihatan sedikit tenggelam dengan watak Tania, seorang yang gedik dan bersikap plastik yang dijayakan oleh Elly.
Elly berjaya membuatkan penonton rasa meluat dengan sikapnya yang terlebih manja dan mengada-ngada serta sikap mementingkan diri sendiri demi untuk memenangi pertandingan Kabin Krew Terbaik.
Mungkin kerana kegedikan Elly tidak seperti di buat-buat dan cukup natural, berbanding Scha yang kelihatan terlalu mencuba untuk bersikap gedik.
Bagaimanapun, mungkin karakter Scha seperti yang diinginkan oleh pengarah filem ini dan bukannya atas permainan Scha sendiri.
Namun, dari segi watak gila-gilanya, Scha beberapa kali berjaya mewujudkan suasana lucu sehingga mengundang tawa penonton dengan sikapnya yang bersahaja.
Selaku kumbang utama dalam filem ini, lakonan Rusdi terlalu selamat. Boleh dikatakan, lakonan Rusdi tidak terlalu menyerlah dan mungkin kerana faktor umur membuatkan dia seolah-olah kelihatan janggal bergelar hero yang menjadi rebutan dua dara.
Plot mudah
Secara keseluruhan, Rashid banyak menggunakan 'warna-warna' selamat dalam mencorak jalan cerita filem ini.
Ia adalah sebuah karya yang ringkas dengan plot yang sangat mudah tanpa konflik yang rumit.
Ini kerana, sejak awal lagi, penonton sudah memahami bahawa Tania dan Dania sanggup membuat apa sahaja demi menarik perhatian Remy.
Biarpun ada konflik yang wujud, namun ia adalah konflik mudah dan persaingan antara Tania dan Dania sudah biasa dilihat dalam karya-karya yang lain.
Namun, hanya tiba pada penghujung jalan cerita, barulah Rashid meletakkan sedikit tanda tanya, namun permainan tersebut mudah dijangka penonton.
Bagaimanapun, ia masih sebuah karya menarik yang berbaloi ditonton, terumatanya bagi penonton setia drama bersiri Awan Dania yang mahu mengetahui kehidupan Dania dan cintanya.
Benjy terus jadi penyelamat
Bagi anda yang tertanya-tanya mengenai Benjy, lakonan Jehan Miskin. Jangan khuatir kerana Benjy terus menjadi penyelamat Dania.
Biarpun hanya muncul pada beberapa babak di pengakhiran cerita, namun, ketelusan cinta Benjy berjaya meninggalkan impak yang tersendiri kepada penonton.
Apatah lagi, Benjy sanggup berkorban berpura-pura menjadi kekasih Dania kerana Dania ingin membuatkan Remy cemburu.
Justeru, adakah Remy akan terus mengejar Dania? Adakah Dania yang menjadi pilihan Remy? Berjayakah Benjy menyampaikan rasa cintanya pada Dania?
Jangan lupa saksikan filem yang memaparkan sinematografi menarik di Pulau Pangkor, yang sudah mula ditayangkan sejak Khamis lalu.
0 ulasan:
Post a Comment