NAMA Faizal Hussein mula menapak di pentas lakonan sejak 1982 melalui filem Senja Merah. Namun dia semakin dikenali menerusi filem Gila-Gila Remaja pada tahun1986.
Setelah lebih 30 tahun dalam industri, akhirnya, bakat lakonan anak kepada arwah seniman Hussein Abu Hassan dan seniwati Mahyon Ismail ini diiktiraf sebagai Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-25 (FFM25) melalui lakonannya dalam filem Bunohan.
Akui sibuk selepas kejayaannya itu, namun pelakon berusia 46 tahun ini tetap mengutamakan keluarga dalam segala hal, malah, beliau lebih memilih keluarga berbanding kerjayanya.
“Sebenarnya, saya lagi suka menghabiskan masa bersama keluarga daripada bekerja. Buat masa sekarang inilah, sebab anak-anak saya masih kecil-kecil. Jadi, saya akan rasa rugi jika satu hari itu, saya keluar dari pagi, mereka masih tidur dan malam saya balik, mereka juga sudah tidur.
“Tetapi demi untuk mencari nafkah... demi untuk memajukan industri, saya kena keluar bekerja juga. Nanti peminat-peminat tak dapat tengok hasil karya saya pula,” katanya kepada Sinar Harian Online ketika ditemui di rumahnya, Khamis lalu.
Faizal bernikah dengan Suhaila Sulaiman pada tahun 2004 dan dikurniakan sepasang cahaya mata bernama Fazryn yang kini berusia lapan tahun dan Fazrick yang sudah berusia lima tahun.
Meskipun terpaksa keluar bekerja, namun, Faizal tetap membahagi masa untuk bersama anak-anak dan isterinya.
“Saya banyak membahagikan masa, tidak mengambil terlalu banyak tawaran dan memastikan dalam sebulan... ada 30 hari, sekurang-kurangnya, 15 hari atau ke bawah yang saya tak bekerja itu, saya habiskan dengan mereka.
“Tetapi, jika terpaksa juga buat kerja itu, saya buat juga. Setakat ini saya tak pernah bawa mereka ke lokasi penggambaran kerana belum masanya lagi saya rasa,” katanya.
Bergelar pelakon sudah tentu perlu membawakan pelbagai watak termasuk suami isteri yang memerlukan babak-babak romantis.
Faizal bersyukur isterinya, Suhaila begitu memahami kerjayanya dan tidak cemburu.
“Sebenarnya, saya sangat bersyukur mendapat Suhaila sebagai isteri, sebab dia jenis yang tidak cemburu dalam segi kerja. Tetapi saya tahu hati dia, seorang isteri, mestilah dia ada rasakan?
“Semestinya dia harus tahu, apabila dia berkahwin dengan pelakon, apa yang akan terjadi. Tapi sebab dia dah tahu suami dia macam mana, jadi, dia sudah yakin seratus peratus pada saya,” katanya.
Tambahnya, “jangan salah gunakan kepercayaan isteri sudahlah.”
Dalam perkembangan lain, Faizal aku masih menanti naskhah yang baik daripada Pengarah Filem Terbaik FFM25, Dain Said yang telah membawa namanya ke pentas dunia.
“Menanti itu memanglah menanti. Tetapi Dain memang seorang yang teliti orangnya, jadi, saya tak rasa dia akan buat filem dalam jangka masa terdekat ini. Dia memang teliti dan memerlukan masa yang lama untuk membuat sesuatu dengan hasil yang baik.
“Contohnya, Bunohan pun, malah lima tahun sebelum hari pertama penggambaran pun, saya dah tahu filem ini akan dibuat, akan berlakon watak apa. Setakat ini, Dain belumlah bercerita tentang projek berikutnya, jadi, saya rasa biarlah. Tunggu idea dia yang hebat-hebat datang,” katanya.
0 ulasan:
Post a Comment