Sepang: Skuad Harimau Malaya berlepas ke Dubai, UAE, pagi semalam untuk aksi persahabatan menentang Iraq, Jumaat ini bagi mencari momentum menjelang aksi sulung Kelayakan Piala Asia 2015 bertemu Qatar di Doha, 6 Februari ini dengan semangat tinggi daripada pemain terutama muka baru.
Pemain berpengalaman seperti Nor Farhan Muhammad, Amri Yahyah, Abdul Hadi Yahaya, Ashari Samsudin dan Helmi Remeli kembali mendapat panggilan manakala Shukur Jusoh, Affize Faisal Mamat, K Reuben, Yong Kuong Yong dan Fauzi Roslan pula pasti mengintai peluang.
Ini jelas menunjukkan situasi masih positif, sekali gus tidak sepatutnya membuatkan jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal menjadikan krisis kecederaan ramai pemain utama sebagai alasan andai Harimau Malaya tumbang kepada Qatar.
Bagi Mahalli yang beraksi di posisi bek kanan, dia yakin kekuatan pasukan kali ini tidak banyak beza biarpun tanpa beberapa tonggak kerana pemain pengganti memiliki kemampuan lebih kurang sama.
“Tak jauh beza sangat sebenarnya barisan pemain dalam skuad kali ini. Lagi pun muka baru dipanggil nampak cukup bersemangat dan bermotivasi tinggi untuk membuktikan mereka layak menyarung jersi skuad kebangsaan,” katanya sebelum berlepas, semalam.
Amri, 32, pemain paling senior dalam skuad kali ini pula mengharapkan rakan lain tidak gentar, malah bersedia jika diturunkan berdepan Qatar nanti.
“Memang teruja, sebab saya seorang saja paling senior. Saya harap dapat kerjasama daripada semua pemain. Tekanan memang ada kerana Harimau Malaya baru saja tewas separuh akhir Piala Suzuki AFF.
“Jadi pemain yang dipanggil kali ini perlu menyahut cabaran ini dan jangan takut. Walaupun kita perlu realisitik dengan kekuatan lawan, kita perlu harungi juga kerana sasaran pasukan ialah untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia 2015,” katanya.
0 ulasan:
Post a Comment