Home » » Gagal mohon kad pengenalan - Rantau Panjang

Gagal mohon kad pengenalan - Rantau Panjang

Written By Unknown on Thursday, February 14, 2013 | 1:55 AM


Seorang wanita dari Jalan Lubok Setol dekat sini, meluahkan rasa kecewa apabila mendapati maklumat dirinya digunakan individu lain, seterusnya menyebabkan dia gagal memohon kad pengenalan.

Tina Ahmad,21, berkata, dia mengetahui perkara itu apabila ke Pejabat Pendaftaran untuk membuat permohonan mendapatkan kad pengenalan, setelah menetap di negara ini sejak dilahirkan.

Menurutnya, pada 13 Jun 2012 lalu, kira-kira jam 10 pagi dia berurusan di Pejabat Pendaftaran Kota Bharu tetapi gagal membuat permohonan mendapatkan kad pengenalan, apabila semakan dibuat kakitangan bertugas mendapati ada individu lain mempunyai maklumat sama dengan dirinya.

Katanya, dia keliru cara individu tersebut memperoleh maklumat dirinya, dan menganggap proses permohonan mendapatkan kad pengenalan tidak telus kerana ada individu lain mendapat kad pengenalan dengan mudah sedangkan dia berdepan kesulitan.

Dakwanya, dia pernah membuat permohonan mendapatkan kad pengenalan menerusi seorang individu dikenali Jo yang mengenakan bayaran RM300.

Tina berkata, lelaki itu meminta salinan pengenalan dirinya berserta sijil kelahiran, untuk membolehkan dia menguruskan kad pengenalan untuknya.

Bagaimanapun setelah sekian lama menunggu, dia nekad untuk ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang seterusnya membawa kepada berita yang mengejutkan dirinya.

“Saya kecewa, ada individu lain dengan mudahnya mendapatkan kad pengenalan dengan menggunakan maklumat diri saya.

“Saya keliru, bagaimana cara orang tersebut mendapatkan maklumat diri saya yang belum pernah diberikan kepada orang lain, selain individu dikenali sebagai Jo,” katanya kecewa dengan perkara tersebut.

Tina berkata, setelah dimaklumkan tentang perkara itu, dia diminta supaya membuat permohonan semula mendapatkan kad pengenalan menerusi kerakyatan Thailand, memandangkan orang tuanya warga negara jiran.

Menurutnya, berikutan kecewa dengan perkara itu dia telah membuat dua laporan di Balai Polis Rantau Panjang.

Kali pertama laporan dibuat ialah pada 13 Jun 2012 dan diikuti laporan kedua pada 3 November lalu.

Berikutan masalah itu juga ada yang menganggap dia membeli sijil kelahiran, sedangkan ibunya mempunyai kad lawatan ke klinik sewaktu mengandungkan dirinya.

Sehubungan itu, Tina merayu pihak bertanggungjawab supaya membuat siasatan berhubung perkara ini, memandangkan ada individu mudah mendapatkan maklumat dirinya, seterusnya boleh mendapatkan kerakyatan negara ini.

Kenali 10 Blogger Terbaik Malaysia

0 ulasan:

Post a Comment

Sila Like Kami di Facebook.
 
Support : Your Link | Careeron9 | OhGosip Artis
Copyright © 2013. DinKlate - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger About Me .