KUALA LUMPUR - RHB Islamic Bank Bhd menyasar untuk mengukuhkan operasi domestik dengan membuka dua lagi cawangan pada 2013, kata Pengarah Urusan Abdul Rani Lebai Jaafar.
  
Pada masa ini, RHB Islamic mempunyai 14 cawangan di seluruh negara.
  
Beliau berkata rancangan pengembangan itu seiring dengan strategi bank untuk memperluaskan kedudukan operasi bukan sahaja di rantau ini tetapi juga di peringkat antarabangsa.
  
"Kami akan terus menumpukan kepada usaha mengukuhkan kemampuan dan pembinaan kapasiti kami. Kami juga memperkukuhkan tadbir urus Syariah kami serta mengkaji semula keperluan infrastruktur teknologi," kata beliau kepada Bernama hari ini.
  
Abdul Rani berkata dengan semua usaha ini, RHB Islamic dijangka mengakhiri tahun semasa dengan kedudukan positif.
  
"Kami menjangka keseluruhan pembiayaan aset berkembang sebanyak 28 peratus, deposit naik 19.2 peratus dan keuntungan sebelum cukai pada tahap yang baik," katanya.
  
Beliau berkata RHB Islamic bekerjasama dengan Malaysian Technology Development Corp dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera untuk menyokong inisiatif kerajaan membantu perusahaan kecil dan sederhana.
  
Abdul Rani berkata bank juga dilantik sebagai antara ejen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional dan Tabung Haji.  - Bernama