Ipoh: Lebih sejuta individu bujang yang layak menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 didapati masih belum mendaftar.
Serentak itu, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, menggesa mereka yang belum mendaftar termasuk ketua isi rumah yang tercicir daripada senarai penerima BR1M lalu, supaya segera mengemukakan permohonan sebelum 31 Disember ini.
“Justeru, kita menasihati mereka supaya mendaftar segera kerana jika lewat, mereka akan lewat menerima pembayaran,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program Jelajah Dagang Karnival Usahawan SME Bank di sini, semalam.
Husni berkata, sehingga kini seramai 1.6 juta individu bujang yang layak menerima BR1M sudah mendaftar untuk program berkenaan daripada 2.7 juta individu bujang yang dikenal pasti layak.
Pada masa sama, katanya, seramai 720,179 ketua isi rumah yang layak tetapi tercicir pada program BR1M 1.0 lalu sudah mengemukakan permohonan.
Beliau berkata, daripada bilangan itu, sebanyak 1.3 juta individu atau 54 peratus membuat permohonan secara manual, manakala 1.1 juta pendaftaran atau 46 peratus dilakukan secara atas talian.
0 ulasan:
Post a Comment