Kuala Lumpur: Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) sudah menghantar aduan rasmi kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung insiden pergaduhan pemain ketika aksi pusingan pertama Piala FA di Stadium Shah Alam, Jumaat lalu.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad, berkata pihak sekretariat FAM menerima aduan rasmi daripada FAS petang semalam, sebaliknya Persatuan Bola Sepak Angkatan Tentera (PBAT) masih belum berbuat demikian. 
Beliau berkata, pihaknya masih menunggu aduan rasmi dari PBAT sebelum menyerahkan kedua-duanya kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM untuk diteliti. 


“Pihak sekretariat menerima aduan dari FAS petang ini (semalam), tetapi masih belum terima aduan dari PBAT. 

“Jadi kami perlu tunggu aduan dari PBAT sebelum menyerahkan kedua-dua aduan itu kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM.

“Selepas itu Jawatankuasa Tatatertib akan menetapkan tarikh perbicaraan kes ini. Jawatankuasa Tatatertib akan menilai segala bukti yang ada dan menyemak laporan penuh daripada pegawai perlawanan,” katanya semalam.

BH Sukan semalam melaporkan Selangor dan Tentera terus ‘bertikam lidah’ bagi membuktikan masing-masing tidak bersalah di sebalik insiden pergaduhan membabitkan kedua-dua pemain skuad terbabit.