Home » , » Hidangan warisan Hot Pindang Kitchen

Hidangan warisan Hot Pindang Kitchen

Written By Zanuddin Yaacob on Monday, February 18, 2013 | 12:49 AM


Hidangan masak pindang sangat popular di negara ini. Ada sesetengah negeri seperti Kelantan dan Terengganu menamakan ia sebagai singgang.
Masak pindang merupakan diet yang cukup sihat kerana ia tidak melibatkan sebarang minyak atau sebagainya. Ia cukup direbus bersama air dan rempah ratus serta herba tempatan seperti lengkuas, bawang putih serta sebagainya.

Golongan berusia lebih menggemari masakan tradisional ini. Rasa masam dan pedas menjadikannya ia sangat sedap dinikmati dengan nasi panas.

Kini, masak pindang bukan hanya hidangan semata-mata, malah tidak keterlaluan jika dikatakan ia menjadi makanan tradisi rakyat negara ini.
Menyedari keistimewaan dan keunikan masak pindang, Norhana Abu Bakar, membuka restoran Hot Pindang Kicthen yang menjadikan masak pindang sebagai signature dishnya.

Walaupun rakan-rakannya tidak bersetuju menjadikan masak pindang sebagai menu utama, Norhana tetap optimis dengan idea tersebut.

“Sebenarnya, pada mulanya saya sendiri pun kurang berkeyakinan, namun selepas maklum balas positif daripada pelanggan, saya tidak menoleh ke belakang lagi,” katanya.

Mengakui terkejut dengan sambutan yang diberikan pelanggannya, beliau tidak menyangka, masak pindang bukan sahaja diterima oleh orang berusia, namun golongan muda juga menggemarinya.

“Ada sekumpulan pelajar yang datang ke sini dan memesan ikan masak pindang, dan saya terus bertanyakan kepada mereka mengenai hal itu.

“Pada mereka, hidangan ringkas ikan masak pindang bukan setakat diet sihat, tetapi enak dinikmati dengan nasi,” katanya.

Bahan mentah segar

Ikan masak pindang merupakan kegemarannya sejak kecil lagi dan semua orang boleh menikmatinya.

“Wanita dalam pantang, orang sakit, orang sihat, kanak-kanak, dewasa pendek kata semua golongan peringkat umur boleh menikmati masak pindang ini,” katanya.

Menurutnya, antara ikan yang digunakan untuk masak pindang adalah kembung, senangin dan juga tenggiri.

“Terpulang kepada pelanggan yang ingin menikmatinya. Kami akan lakukan yang terbaik untuk mereka yang menjamu selera di Hot Pindang Kitchen,” katanya.

Beliau berkata, setiap bahan mentah yang digunakan adalah segar dan diambil dari pembekal di Pasar Seksyen 6, Shah Alam.

“Siapa yang tinggal di kawasan Shah Alam tahu mengenai pasar ini. Ia dikategorikan sebagai pasar orang kaya. Sebenarnya ia bukan untuk orang kaya, tetapi ikan dan bahan mentah yang dijual di sini sangat segar, jadi harganya sedikit tinggi berbanding
pasar-pasar lain yang ada,” katanya.

Selain set ikan masak pindang, restoran ini juga menawarkan special Hot Pindang.

“Ia mempunyai nasi seakan  nasi Arab atau beriyani dan ayam pindang. Kami gunakan bahan rempah ratus masak pindang kemudian memerapkan pada potongan daging ayam sebelum digoreng,” katanya.

Norhana berkata, Special Hot Pindang merupakan antara menu yang disukai oleh pelanggan-pelanggannya.

“Jika mereka teringin untuk menikmati nasi Arab yang mempunyai kelainan, Special Hot Pindang adalah pilihan tepat,” katanya.

Selain itu, kuew tiaw goreng turut menjadi pilihan pelanggan yang tidak mahukan set nasi.

“Saya berasa bangga apabila ada pelanggan yang memuji kuew tiaw goreng ini jauh lebih sedap daripada yang popular di Taiping, Perak. Saya sendiri tak penah merasai kuew tiaw sana, tapi ia adalah penghormatan buat saya dan seluruh warga kerja Hot
Pindang Kitchen,” katanya.

Sukatan tepat jamin kualiti hidangan

Menurutnya, setiap resipi adalah hasil daripada air tangannya dan ibunya sendiri.

"Walau saya tidak lagi ‘masuk dapur’, namun tukang masak perlu mematuhi setiap jumlah bahan yang digunakan.
“Sukatan perlu tepat supaya rasanya tidak lari dari yang asal. Perkara ini amat dititik beratkan oleh saya dan pekerja,” katanya.

Di sini pengunjung bukan hanya dapat menjamu selera, namun dekorasi dan susun atur ruang restoran menjadikan masa makan anda lebih berkualiti.

“Saya jadikan ruang restoran tampak santai supaya pelanggan dapat menghayati hidangan mereka. Kesemua idea dekorasi ini datangnya daripada saya.

“Untuk mendapatkan hasil sebegini, saya banyak membuat kajian di internet dan melihat lukisan-lukisan menarik untuk dicetak dan dihiasi di dinding supaya ia tidak nampak terlalu kosong,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan Hot Pindang Kitchen, ibu kepada tiga orang anak ini berhasrat menambahkan beberapa menu kegemaran masyarakat Malaysia dalam masa terdekat.

“Saya ingin jadikan restoran ini tempat makan yang sesuai untuk semua,” katanya.

Selain ingin mengukuhkan kedudukan restoran ini, beliau juga berhasrat untuk membuka cawangan.

“Saya belum meletakkan tempohnya lagi kerana ingin memberi tumpuan sepenuhnya kepada restoran ini. Namun, ada permintaan daripada pelanggan yang mahukan restoran ini bertambah,” katanya.

Kenali 10 Blogger Terbaik Malaysia

0 ulasan:

Post a Comment

Sila Like Kami di Facebook.
 
Support : Your Link | Careeron9 | OhGosip Artis
Copyright © 2013. DinKlate - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger About Me .