Home » , » Izzue Islam & Sharifah Sakinah semakin menyerlah

Izzue Islam & Sharifah Sakinah semakin menyerlah

Written By Unknown on Sunday, February 17, 2013 | 11:59 AM

WALAUPUN usia karier lakonan mereka boleh dikatakan masih setahun jagung, namun itu bukanlah kayu pengukur menilai bakat yang dimiliki pelakon yang sedang meningkat naik iaitu Izzue Islam dan Syarifah Sakinah.

Penglibatan mereka dalam dunia lakonan dilihat semakin berkembang dan tidak dinafikan watak yang dibawa dalam setiap lakonan juga memberi kesan yang mendalam kepada penonton.

Nyata kedua pelakon ini begitu konsisten dalam meneroka bidang lakonan dan pada masa sama cuba mengukir nama sebaris dengan pelakon hebat  lain.

Jika Izzue terkenal dalam drama 'Mimpi Cinderella', Sakinah pula mula menjadi perhatian setelah lakonannya sebagai Kinah menerusi drama 'Biar Mimpi Sampai Ke Bintang' berkesan dan memberi impak yang baik terhadap penonton.

Buat pertama kalinya kedua pelakon ini disatukan menerusi drama 13 episod 'Bunga Merah Punya' yang pastinya bakal menambat hati penonton.

"Memang ini kali pertama saya digandingkan dengan Izzue, namun tidak susah untuk kami mendapatkan keserasian memandangkan sebelum ini kami memang sudah berkawan.

"Tapi saya akui untuk bawa watak sebagai 'Bunga' memang ada cabarannya yang tersendiri kerana karakter itu bertentangan dengan diri saya yang sebenarnya," kata Sakinah.

Manakala bagi Izzue, lakonannya menerusi drama tersebut tidaklah mudah kerana sepanjang bergelar pelakon, dia akui setiap watak yang dibawa miliki kesulitannya yang tersendiri.

"Watak Merah yang saya bawa memang sangat berbeza dengan lakonan saya sebelum ini. Dalam lakonan ini saya perlu merasa hidup di jalanan dan itu bukanlah satu perkara yang mudah.

"Sebagai seorang pelakon, apa yang harus saya lakukan adalah cuba mendalami watak itu sebaik mungkin dan mengharapkan penonton akan terhibur," katanya.
Izzue tamat zaman bujang?

Lumrah buat semua anak seni, pasti tidak terlepas dengan pelbagai kontroversi mahupun khabar angin mengenai kisah peribadi dan Izzue juga tidak terlepas daripada perkara yang sama.

Baru-baru ini, ada desas desus yang mengatakan pelakon berusia 23 tahun ini bakal mendirikan rumah tangga dalam masa yang terdekat, namun ianya telah dinafikan empunya diri.

"Khabar angin yang tersebar tidak betul dan apa yang saya cuba sampaikan adalah saya sudah bersedia untuk berkahwin jika ada jodoh bukannya merancang untuk berkahwin dalam masa yang terdekat.

"Kalau betul saya ada merancang untuk ke arah itu, saya sendiri yang akan beritahu," katanya.

Kata Izzue lagi, dia lebih gemar berkongsi perjalanan karier seninya berbanding kisah peribadi kerana dia menganggap itu adalah hak privasinya.

"Kalau boleh, saya tidak mahu bercerita mengenai kesih peribadi kepada umum dan saya tidak tahu bagaimana khabar angin seperti ini boleh timbul.

“Bukan apa, saya bimbang kalau sibuk bercerita mengenai cinta, hubungan atau kahwin tetapi sudahnya tidak jadi,” ujarnya.

Masih aktif menyanyi

Kerap dilihat menerusi bidang lakonan, Izzue bagaimanapun tidak pernah mengabaikan karier nyanyiannya sebagai anggota kumpulan Fourteen.

Malah Izzue memberitahu dia mahu bidang nyanyian dan lakonan yang diceburi bergerak seiring kerana itulah minatnya sejak kecil.

"Saya gembira kerana kedua-dua bidang itu mendapat perhatian peminat. Kalau boleh saya mahu nyanyian dan lakonan saya terus berkembang sama rata.

"Saya akui memang bidang lakonan lebih menyerlah, tapi itu bukanlah alasan untuk saya berhenti daripada bidang nyanyian tambahan pula itu memang minat saya," ujarnya.

Tambah Izzue lagi, dia bersyukur kerana anggota Fourteen yang lain begitu memahami dan menyokong karier lakonannya.

Dalam perkembangan lain, Izzue kini sedang menjalani penggambaran sebuah telemovie Mencari Syifa' untuk siaran TV Alhijrah dan dua filem lakonannya iaitu Sunti dan Hantu Toq Mudim dijangka ditayangkan pada tahun ini.

Sakinah pandai melawak?

Jika sebelum ini dia sering memegang watak antagonis dalam lakonannya, kini Sakinah gembira kerana dia turut diberi peluang dan kepercayaan membawa watak yang berbeza.

Selain  itu, dia juga turut melahirkan rasa gembira apabila kehadirannya dalam industri lakonan semakin mendapat perhatian ramai.

"Apa yang saya peroleh hari ini adalah daripada usaha keras saya sendiri. Memandangkan masih baru dalam industri, saya mahu lakukan terbaik.

"Alhamdulillah, rezeki dalam bidang lakonan sememangnya menyebelahi diri saya," ujarnya.

Kerap dilihat membawakan watak komedi, Sakinah memberitahu bahawa dirinya tidak kisah dilabel sebagai pelawak kerana dia sendiri cukup selesa dan menggemari watak-watak komedi.

"Saya memang tidak kisah kalau orang ramai beri gelaran pelawak kepada saya kerana jika dilihat sekarang memang kurang pelapis untuk pelawak wanita dalam industri dan secara jujurnya memang saya gemarkan watak seperti itu.

"Saya rasa apa yang saya lakukan ini merupakan salah satu cara untuk meneruskan legasi-legasi pelakon komedi yang pernah popular suatu ketika dahulu.

"Saya akui banyak terima tawaran memegang watak komedi mungkin kerana di mata pengarah, saya memiliki karakter itu," katanya.

Mahu berdikari

Lihat sahaja wajahnya, pasti ramai yang sudah tahu mengenai hubungan kekeluargaan yang dimiliki Sakinah bersama dua pelakon yang telah pun memiliki nama yang tersendiri dalam industri hiburan iaitu Sharifah Norhaslinda dan Sharifah Shahirah.

Walaupun begitu, Sakinah memberitahu ia bukanlah tiket buat dirinya untuk menceburi bidang lakonan dengan mudah, malah dia akui tidak pernah mengambil kesempatan terhadap perkara itu.

"Saya akui, merekalah inspirasi saya untuk menceburi bidang lakonan tapi saya tidak pernah pula menggunakan nama mereka untuk mendapatkan tawaran lakonan.

"Semuanya saya lakukan sendiri tanpa bantuan mereka. Lagi pun kedua-dua kakak saya tidak pernah sokong mahu pun bantah mungkin mereka lebih memahami asam garam kehidupan anak seni," jelasnya.

Kenali 10 Blogger Terbaik Malaysia

0 ulasan:

Post a Comment

Sila Like Kami di Facebook.
 
Support : Your Link | Careeron9 | OhGosip Artis
Copyright © 2013. DinKlate - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger About Me .