BILA berbicara tentang zombi, pasti kotak ingatan akan terarah pada susuk mayat hidup yang memburu dan memakan otak manusia.
Namun, apa pula akan terjadi apabila zombi berusaha untuk menjadi baik dan punya perasaan seperti manusia normal serta teringin untuk menjalani kehidupan yang normal semula?
Begitulah karya terbaru dari Jonathan Levine yang dijayakan oleh pelakon kacak, Nicholas Hoult bersama Teresa Palmer dan John Malkovich.
Karya yang diadaptasi daripada novel nukilan Isaac Marion membawa kelainan kerana menonjolkan sisi lain pada zombi yang selama ini lebih terkenal dengan sikap yang ganas dan suka memburu, mempunyai sisi komedi dan sikap romantis.
Filem ini mengisahkan tentang satu kelompok manusia yang dilanda virus zombi dan banyak bandar raya yang telah musnah akibat jangkitan wabak tersebut.
Salah seorang zombie R (Nicholas Hoult) telah jatuh cinta dengan seorang gadis, Julie Grigio (Teresa Palmer) setelah memakan otak teman lelaki Julie.
Ini kerana zombi-zombi yang memakan otak mangsa mereka dapat merasai kenangan dan memori yang tersimpan di dalam otak tersebut. R yang secara tidak sengaja telah mengimbas kembali kenangan antara Julie dan teman lelakinya, R tergerak hati untuk menyelamatkan Julie dari dimakan oleh zombi-zombi yang lain.
Ia seterusnya telah menimbulkan perasaan cinta antara R dan Julie kerana sikap R yang begitu tenang, jujur dan baik.
Apatah lagi mereka mempunyai minat yang sama terhadap muzik, membuatkan Julie berasa sangat selesa sepanjang bersama R.
Lebih istimewa lagi apabila, zombi-zombi tersebut termasuk R boleh berkomunikasi dengan manusia dengan suku kata ringkas.
Cinta terhalang
Namun, dalam menyulam cinta bersama, hubungan cinta mereka mendapat tentangan dari bapa Julie yang juga ketua pemburu zombi.
Baginya, tiada istilah perubahan kerana zombi adalah mayat hidup yang boleh menyebarkan virus dan membunuh manusia.
Apatah lagi, ibu Julie dan teman lelakinya telah mati di tangan zombi. Ini membuatkan dia begitu membenci zombi dan tidak dapat menerima kehadiran R pada mulanya.
Biarpun ada beberapa babak yang tidak masuk akal seperti zombi mempunyai perasaan dan boleh kembali hidup normal, namun filem ini tetap menghiburkan dengan aksi-aksi lucu termasuk dari R sendiri.
Hoult bakal menyerlah
Selaku pelakon utama, penulis tidak menafikan Hoult bakal menyerlah suatu hari nanti kerana mempunyai lakonan yang cukup berkesan dan mempunyai pakej lengkap seperti wajah yang kacak.
Malah, menerusi beberapa babak di dalam filem itu, Hoult berjaya membuatkan penonton wanita 'cair' dengan renungan matanya yang cantik, biarpun berwajah pucat.
Justeru, pada anda yang mahukan sebuah karya ringkas, namun menarik dan menghiburkan, jangan lupa untuk menonton filem ini di pawagam.
0 ulasan:
Post a Comment