Home » , » Harapan Astrid Agar Mendua Diterima Peminat Malaysia

Harapan Astrid Agar Mendua Diterima Peminat Malaysia

Written By Unknown on Thursday, March 7, 2013 | 3:29 PM

SUARA penyanyi yang satu ini memang unik. Mula dikenali dengan lagu Jadikan Aku Yang Kedua pada tahun 2007, Astrid terus mencipta nama  menerusi lagu Tentang Rasa yang pernah menjadi lagu tema drama Vanilla Coklat lakonan Izara Aishah dan Aiman Redza Hakim.

Kini, Astrid tampil dengan single terbaru berjudul, Mendua. Penyanyi berusia 31 tahun ini giat menjalankan promosi selepas tamat tempoh berpantang setelah selamat melahirkan anak pertamanya Disember lalu.

Ikuti temu bual Sinar Harian Online bersama Astrid yang datang ke Malaysia untuk promosi Mendua akhir Februari lalu. Astrid turut ditemani suaminya, Arlan Djoewarsa.

SINAR HARIAN ONLINE: Cerita sedikit tentang single Astrid, Mendua.

ASTRID: Kali ini saya datang ke Malaysia untuk promosi single terbaru, Mendua. Mendua menceritakan tentang seorang perempuan yang sudah menyerahkan cintanya kepada pasangannya tetapi ternyata lelaki itu menduakannya.

Lagu ini konsepnya masih sama dengan Tentang Rasa, cuma ia lebih sedih. Pencipta-pencipta lagu mungkin menganggap saya sesuai untuk menyanyikan lagu yang sedih kerana suara saya katanya menyayat hati. Cabaran bagi lagu sedih lebih besar. Apabila kita sedang bahagia, tetapi harus menyanyikan lagu yang sedih, dan menyampaikan rasa sedih kepada pendengar.  

Memang Mendua masih baru dan Tentang Rasa sudah setahun yang lalu. Sesuatu yang sangat luar biasa kerana lagu Tentang Rasa menjadi sangat diminati oleh peminat di Malaysia. Saya juga menerima  Most Requested Song 2012  di Redbox. Saya juga berharap lagu Mendua ini boleh diterima seperti lagu Tentang Rasa dan dapat kembali ke sini dalam ‘showcase’ supaya dapat bernyanyi bersama peminat Malaysia.

SINAR HARIAN ONLINE: Sebelum ini Astrid pernah menyanyi ‘live’ di TV Malaysia tetapi hasilnya tidak seperti yang diharapkan. Serik menyanyi ‘live’ di sini?

ASTRID: Tidak. Pada saat itu ada kesalahan teknikal. Saya tak dapat mendengar ‘monitor’ dengan jelas. Kebetulan, ketika itu menyanyi bersama band dan latihannya memang ketika itu sahaja. Jadi, mungkin itu adalah salah satu hal yang menyebabkan perkara seperti itu (sumbang) berlaku.

SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana Astrid berdepan kritikan?

ASTRID: Kalau kritikan, di mana saja ada kerana mungkin ada orang tidak suka dengan suara Astrid, ada yang kata suara Astrid aneh, ada yang kata suara Astrid merdu. Jadi, itu sudah menjadi ‘makanan’ kita. Kita sudah terbiasa dengan itu (kritikan). Tidak mungkin semua orang boleh suka dengan saya. Semua orang ada selera masing-masing.

SINAR HARIAN ONLINE: Orang lebih mengenali lagu berbanding Astrid. Apa komen Astrid?

ASTRID: Itu sudah sering saya alami juga sewaktu di Indonesia. Mungkin mereka tahu selama ini Astrid menyanyikan Jadikan Aku Yang Kedua. Jadi, apabila lagu Tentang Rasa pula, baru mereka tahu  penyanyi kedua lagu ini orang yang sama. Mungkin memerlukan waktu juga untuk orang mengenal siapa Astrid.

SINAR HARIAN ONLINE:  Bila Astrid akan keluarkan album?

ASTRID: Selepas single ini dikeluarkan, saya akan mengeluarkan album yang berkemungkinan dalam waktu terdekat, sekitar bulan Mei. Album ketiga ini agak berbeza dengan yang sebelumnya. Album sebelum ini muziknya lebih variasi tetapi kali ini hampir 70 peratus ‘pop ballad’. Liriknya lebih dewasa.

SINAR HARIAN ONLINE: Siapa penyanyi Malaysia pilihan Astrid?

ASTRID: Sebenarnya di Malaysia, saya meminati Sheila Majid dan yang terbaru saya suka Yuna.

SINAR HARIAN ONLINE: Boleh kongsi sedikit kisah percintaan kalian?

ARLAN: Nama saya Arlan Djoewarsa, suami kepada Astrid. Kami berkahwin sejak tahun 2011. Jadi, singkatnya, kami dijodohkan. Kami tidak saling mengenali antara satu sama lain. Ada seorang kawan yang bekerja sebagai jurugambar. Dia selalu mengambil gambar Astrid dan saya.

Suatu hari, dia kata, Astrid kirim salam untuk saya. Saya terus gembira dan tahap keyakinan saya meningkat. Saya minta nombor telefon Astrid dan saya menghubunginya. Akhirnya, kami mula berkomunikasi dan bertemu kemudian bercinta. Ketika proses itu, saya baru dapat tahu bahawa Astrid tidak pernah kirim salam sebenarnya.

SINAR HARIAN ONLINE: Apa yang mendorong Arlan membuat keputusan untuk berkahwin?

ARLAN: Keputusan itu dibuat kerana takut dia diambil orang. Keputusan itu juga dibuat apabila sudah tiba waktunya. Sudah sampai pada fasa di mana kami mahu serius dan ternyata Astrid juga sama, jadi, saya bertemu kedua ibu bapanya.

SINAR HARIAN ONLINE: Sekarang sudah mempunyai seorang anak. Bagaimana pengalaman itu?

ARLAN: Sebenarnya, ia cukup lucu. Selama ini, kami hanya pernah menjaga anak saudara. Pada awalnya masih kekok dengan sang anak ini. Jadi, ia merupakan pengalaman yang lucu dan unik. Namanya, Alec Djuara berusia dua bulan.

ASTRID: Pastinya banyak perubahan daripada masih bujang dan sekarang sudah menjadi ibu, sangat berbeza. Sekarang harus memikirkan apa yang dilakukan anak, sudah mandi ke belum, sudah makan ke belum dan sebagainya.

Kami seolah-olah tidak menyangka sudah mempunyai anak. Saat pertama kali selepas kelahiran, saya masih kekok sama ada ini anak kami atau anak saudara, kerana kami berdua anak bongsu dalam keluarga.

Jadi, apabila menerima anak, rasanya aneh. Pada mulanya memang tidak mudah kerana kami belum mempunyai pengalaman dan belum tahu kalau setiap dua jam sekali anak akan bangun. Jadi, setiap malam, kami perlu bangun terus.

Ketika usia kandungan saya lapan bulan, saya masih aktif menjalankan rakaman dan kami sempat mencipta sebuah lagu untukAlec berjudul Lagu Untuk Anakku. Lagu ini akan dimasukkan dalam album saya akan datang.

SINAR HARIAN ONLINE: Jika kedua-duanya sibuk, siapa jaga anak?

ASTRID: Pekerjaan saya bukan waktu pejabat iaitu 9 pagi hingga 5 petang. Jadi, saya masih mempunyai waktu untuk mengasuh Alec. Menyanyi itu cuma beberapa jam, kemudian saya balik rumah. Awalnya, kami berdua selalu bangun, jadi, apabila waktu pagi, dua-dua tak cukup tidur.

Jadi sekarang, apabila waktu malam, Arlan akan bangun mengganti lampin kerana saya selalu bangun untuk menyusukan anak. Jadi, kami berdua bergilir-gilir menjaganya.

Kenali 10 Blogger Terbaik Malaysia

0 ulasan:

Post a Comment

Sila Like Kami di Facebook.
 
Support : Your Link | Careeron9 | OhGosip Artis
Copyright © 2013. DinKlate - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger About Me .