Home » » Atilia pencita masakan Melayu

Atilia pencita masakan Melayu

Written By Unknown on Saturday, December 29, 2012 | 2:20 AM


PEMILIK nama Raja Putri Atilia Raja Haron atau dikenali dengan nama komersilnya, Atilia Haron pasti tidak asing di kalangan peminat muzik tanah air. Bertubuh kecil molek, siapa menyangka usianya kini mencecah angka 38 tahun. Tampak muda remaja dan bertenaga!. Sesuatu yang menyentuh hati penulis, biarpun dirinya kelihatan ‘urban’, namun anak kelahiran Muar, Johor ini mengakui cintanya pada masakan Melayu begitu kuat. Malahan dia juga gemar memakan nasi dan gemarkan makanan yang pedas-pedas. Pendek kata, ‘don’t judge a book by its cover!’. Kesempatan berkunjung ke kediaman Atilia di Damansara Perdana menyingkap cerita mengenai empunya diri dan dunia masakan yang begitu dekat di hati.

SUKA MEMASAK

Perempuan dan dunia masakan tidak dapat dipisahkan. Meskipun sibuk dengan kerjaya yang digalas, pasti ada masanya, golongan hawa ini turun ke dapur menyediakan menu untuk keluarga mahupun untuk diri sendiri. Begitu jugalah halnya dengan penyanyi bersuara gemersik ini. Minat memasak sudah sebati dengan jiwanya. Malah sanggup memasak, biarpun masa yang ada cumalah seketika.

“Saya tidaklah begitu pandai memasak. Tetapi bolehlah untuk dimakan. Saya belajar memasak beberapa tahun yang lepas. Guru masakan saya tentunya ibu, program masakan di televisyen dan internet. Sekarang lebih mudah untuk belajar memasak, semuanya hanya di hujung jari sahaja. Saya akui memang suka memasak. Hinggakan walau sibuk dengan undangan nyanyian, saya tetap memasak apabila pulang ke rumah. Biarlah ringkas dan hanya untuk saya seorang, apa yang penting, saya sendiri yang memasak makanan itu. Jangan tidak percaya, saya juga sanggup bangun di tengah malam atau seawal jam dua pagi hanya untuk memasak kek atau biskut kerana memasak sudah menjadi hobi yang sebati dalam diri saya.

Masih saya ingat, ketika berusia 10 tahun saya menggoreng ikan untuk ayah sehingga hangit! Namun, paling menyentuh hati, ayah tetap menikmatinya juga. Itulah kenangan yang sentiasa kekal di ingatan saya sampai bila-bila. Selain daripada itu, keluarga dan kawan-kawan pula sukakan menu Ayam Masak Kicap yang saya masak. Rasa puas hati dan gembira melihat mereka menikmatinya dengan penuh gembira,” ujar Atilia yang menggemari program masakan Nigella ini lagi.

SUKA MASAKAN MELAYU DAN PEDAS

Sambil sibuk mengacau kuah masak lemak di dalam periuk, Atilia rancak bercerita mengenai makanan kegemarannya. Terserlah kecekapan empunya diri ketika memasak di dapur. Segalanya dilakukan dengan mudah dan bersahaja.

“Saya adalah penggemar masakan Melayu terutamanya yang pedas-pedas. Justeru pada hari ini (ketika sesi fotografi berlangsung), saya masak dua jenis resipi yang menjadi kesukaan saya untuk dikongsikan bersama peminat dan pembaca setia majalah RASA. Saya juga suka makan nasi dan makanan India asalkan ia pedas!

Untuk pengetahuan, saya bukanlah orang yang gemarkan makanan ringan. Ini kerana saya akan menikmati makanan sehingga kenyang dan gemarkan makanan yang benar-benar mengenyangkan. Pun begitu, saya kurang memakan sayur dan menggantikannya dengan pengambilan jus untuk memenuhi keperluan tubuh. Bagi menjaga kesihatan tubuh badan, saya banyak meminum air suam dan mengambil vitamin tambahan. Selain itu, saya pastikan setiap hari saya akan melakukan yoga kerana ia menyihatkan di samping memberikan ketenangan,” jelasnya lagi.

LEBAR SAYAP KE INDONESIA

Pelantun lagu Kekanda Adinda bergandingan dengan Monoloque suatu ketika dulu melonjakkan nama wanita bertubuh genit ini. Enggan dibayangi kemasyhuran bonda tercinta, Salamiah Hassan, Atilia mengorak langkah memperjuangkan bakat yang dianugerahkan dalam menempuh onak duri dunia seni.

“Sekarang saya sedang dalam proses menerbitkan album ketiga. Dan kini saya akui lebih bergiat aktif di Indonesia. Saya bersyukur kerana keluarga sangat menyokong perjalanan karier saya. Malah mereka sering hadir menyaksikan setiap persembahan yang saya lakukan.

Perjalanan seni saya masih jauh dan masih banyak impian yang belum dicapai.

Namun, langkah pertama saya adalah untuk menembusi pasaran Indonesia di samping memperkenalkan seni muzik tempatan yang turut mempunyai kekuatan tersendiri.Jika ada rezeki, saya mahu mengadakan lebih banyak konsert untuk peminat tersayang,” akhiri Atilia penuh ceria.

Kenali 10 Blogger Terbaik Malaysia

0 ulasan:

Post a Comment

Sila Like Kami di Facebook.
 
Support : Your Link | Careeron9 | OhGosip Artis
Copyright © 2013. DinKlate - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger About Me .