Home » » Daksyat Adik Beradik Ini - Pemburu

Daksyat Adik Beradik Ini - Pemburu

Written By Zanuddin Yaacob on Saturday, January 26, 2013 | 11:51 PM

Pemburu atau diburu..itu sudah jadi lumrah...Kejar dan dikejar...Dua beradik ini memang cool dan daksyat sekali...ahli sihir pun diburu olehnya..kut kut kena sihir padam muka...anda pernah tengok tongkat ahli sihir dari filem atau apa-apa persembahan...banyak rahsia daripada tongkat tersebut..kekadang jadi watak utama.

NOVEL berjudul Hansel And Gretel merupakan sebuah karya yang cukup popular di Jerman dan merupakan sebuah kisah dongeng yang telah dihasilkan oleh pasangan adik-beradik Wilhelm dan Jacob Grimm pada tahun 1812.
Ia mengisahkan tentang pasangan adik-beradik iaitu Hansel dan Gretel yang hidup dalam kemiskinan. Selepas ibu mereka meninggal dunia, bapa mereka berkahwin dengan wanita lain.
Bagaimanapun, nasib kedua-duanya lebih malang lagi kerana mendapat ibu tiri yang jahat. Disebabkan kemiskinan yang melanda, akhirnya Hansel dan Gretel telah ditinggalkan di dalam hutan oleh ibu tiri mereka.
Nasib adik-beradik itu ternyata lebih malang lagi apabila ditangkap pula oleh seorang nenek yang juga ahli sihir, tetapi akhirnya mereka dapat melepaskan diri dengan membunuh ahli sihir tersebut.
Itulah antara sebahagian daripada jalan cerita novel tersebut yang telah dihasilkan kira-kira 201 tahun lalu dan masih lagi terus popular sehingga ke hari ini.
Menariknya, dengan populariti yang diraih novel berkenaan, sebanyak 21 buah filem yang menggunakan judul Hansel & Gretel telah dihasilkan sejak tahun 1909.
Terbaharu, filem berjudul Hansel & Gretel: Witch Hunters yang telah ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia sejak 24 Januari lalu dengan menampilkan lakonan hebat Jeremy Renner dan Gemma Arterton.
Mengambil latar cerita yang sama iaitu mengenai kisah dua beradik iaitu Hansel dan Gratel yang ditinggalkan di dalam hutan, namun apa yang dipaparkan adalah kisah 15 tahun kemudian apabila kedua-duanya menjadi pemburu ahli sihir.
Jeremy yang membawakan watak sebagai Hansel berkata, dia merasakan cukup berbangga kerana dapat membintangi sebuah filem yang berdasarkan kepada sebuah novel yang sangat popular.
"Sehingga kini sudah banyak filem tentang kisah dongeng atau mitos pada zaman dahulu yang telah dihasilkan, namun saya menganggap filem Hansel & Gretel: Witch Hunters sebuah naskhah yang bagus.
"Apabila membaca skrip filem ini saya merasakan jalan ceritanya begitu menarik kerana paparan ceritanya lebih kepada kisah kehidupan pasangan adik-beradik yang sudah dewasa dan bergabung menjadi pemburu ahli sihir," ujarnya.
Bercerita lebih lanjut mengenai filem aksi pengembaraan yang dilakonkannya itu, Jeremy memberitahu untuk filem berkenaan dia tidak perlu membuat persiapan yang terlalu rapi.
Ujarnya, untuk mendalami watak yang dibawakannya itu, persiapan yang dilakukan lebih banyak kepada komunikasi dengan Gemma memandangkan mereka merupakan pasangan adik-beradik dalam filem berkenaan.
"Ketika di lokasi penggambaran saya memang banyak menghabiskan masa berdampingan dengan Gemma. Dengan watak sebagai adik-beradik, kami perlu selalu berbincang supaya dapat mendalami watak masing-masing dengan lebih berkesan.
"Mengenai gandingan bersama Gemma pula, ini kali pertama kami berlakon bersama-sama. Namun begitu, sepanjang mengenalinya saya dapati dia seorang pelakon yang sangat bagus," ujarnya yang pernah membintangi beberapa filem aksi seperti The Avengers dan The Bourne Legacy.
Bagaimanapun, pelakon yang pernah tercalon dalam Anugerah Oscar menerusi filem The Hurt Locker itu secara jujurnya mengakui tidak begitu mengenali Gemma sebelum berlakon bersama-sama.
"Sewaktu mula-mula melihat gambarnya saya bertanya kepada pihak produksi siapakah wanita ini? Kemudian apabila menonton filem lakonannya dan selepas 30 saat bercakap dengannya menerusi telefon, saya dapati dia seorang wanita yang kreatif dan hebat," dedahnya.
Mengenai cabaran sepanjang menjalani penggambaran yang dilakukan di Berlin, Jerman, pelakon berkenaan menyatakan tiada cabaran getir yang terpaksa dilalui termasuk tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurut aktor kelahiran California, Amerika Syarikat itu, pihak produksi mempunyai sebuah pasukan lagak ngeri yang telah menjalankan tanggungjawab dengan baik.
Bagaimanapun, dia mengakui terpaksa berlari di dalam kawasan hutan dirasakan sebagai cabaran yang bukan mudah.
"Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan hasil filem yang diarahkan oleh Tommy Wirkola ini. Lagipun ia merupakan filem arahannya yang paling besar dan sudah tentu dia meletakkan harapan tinggi agar ia dapat diterima penonton," jelasnya.
Minat kisah dongeng
Meskipun pernah membintangi beberapa buah filem pecah panggung seperti Clash Of The Titans, Prince Of Persia dan James Bond: Quantum of Solace, Gemma Arterton menganggap peluang berlakon dalam filem Hansel & Gretel: Witch Hunters suatu peluang yang tidak harus dilepaskan.
Ujar pelakon berusia 27 tahun itu, dia mendapat tahu Tommy selaku pengarah filem itu mengalami sedikit kesukaran untuk mencari pelakon wanita yang mampu membawakan watak Gretel.
Maka, apabila dirinya terpilih, dia bertekad untuk memberikan komitmen sebaik mungkin.
"Sebenarnya saya begitu meminati kisah-kisah dongeng tentang kanak-kanak. Apabila mendapat tahu perjalanan cerita ini mengisahkan tentang adik-beradik yang sudah dewasa dan menjadi pemburu ahli sihir, saya yakin filem ini menampilkan sesuatu yang unik.
"Berkenaan dengan watak sebagai Gretel pula saya perlu melakukan banyak aksi dan pada masa yang sama perlu bijak bermain dengan emosi. Ia merupakan satu cabaran yang harus dilalui, namun saya berasa seronok melakukannya," ujar pelakon berasal dari Kent, England itu.
Bagaimanapun, Gemma mendedahkan dia mempunyai masa yang agak singkat untuk membuat persiapan sebelum penggambaran kerana sibuk dengan pementasan teater The Master Builder di London, England.
"Memandangkan ia sebuah filem aksi, banyak latihan yang perlu dilakukan seperti pergi ke gimnasium bagi memantapkan lagi stamina dan perlu belajar teknik dan cara berlawan yang betul.
"Bukan mudah untuk melakukan banyak perkara dalam satu masa dan saya hampir putus asa. Namun begitu, Jeremy dan Tommy banyak memberi sokongan sehingga mengembalikan semula kekuatan dalam diri saya," ujarnya.



Tiga dimensi
Sebagai pengarah filem itu, Tommy menegaskan, dia sudah membaca novel tentang kisah pasangan adik-beradik Hansel dan Gretel sejak kanak-kanak lagi.
Menurutnya, apabila mengetahui gambaran sebenar terhadap keseluruhan jalan cerita dalam novel berkenaan, dia terpaksa memikirkan sesuatu supaya filem berkenaan berbeza dengan filem-filem Hansel & Gretel yang pernah dihasilkan sebelum ini.
"Seperti yang diceritakan dalam novel kedua-dua beradik itu pernah berada dalam situasi yang malang apabila ditinggalkan di dalam hutan dan bertemu pula dengan ahli sihir yang jahat.
"Kemudian dengan kebijaksanaan kedua-duanya ahli sihir tersebut berjaya dibunuh. Akhirnya timbul idea untuk menghasilkan kisah mereka setelah dewasa dan menjadi pemburu ahli sihir," jelasnya yang turut menghasilkan skrip filem tersebut.
Mengenai penerbitan pula, ujar Tommy, setelah perbincangan dilakukan dengan pihak Paramount Pictures dan MGM Pictures, mereka sepakat untuk turut menghasilkannya dalam bentuk tiga dimensi (3D).
"Apabila menghasilkan sesebuah filem pengembaraan seperti Hansel & Gretel: Witch Hunters, tayangan dalam bentuk 3D akan memberi peluang kepada penonton supaya mereka seolah-olah berada dalam situasi filem tersebut," ujarnya.




Kenali 10 Blogger Terbaik Malaysia

0 ulasan:

Post a Comment

Sila Like Kami di Facebook.
 
Support : Your Link | Careeron9 | OhGosip Artis
Copyright © 2013. DinKlate - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger About Me .