Home » , » Fokus PRU13: Tanjong Karang kubu kuat Umno

Fokus PRU13: Tanjong Karang kubu kuat Umno

Written By Zanuddin Yaacob on Friday, February 15, 2013 | 8:45 PM

JIKA Parlimen Kuala Selangor dikatakan kukuh di bawah Pas, namun lain pula ceritanya di Tanjong Karang. Parlimen ini dikatakan menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN) melalui gerak kerja berterusan yang dilakukan oleh jentera BN yang diketuai Ahli Parlimennya, Datuk Seri Noh Omar.

Dua Dun di bawah Parlimen Tanjong Karang iaitu Sungai Burong dan Permatang turut dimenangi calon BN iaitu Datuk Shamsuddin Lias (Sungai Burong) dan Sulaiman Razak (Permatang).

Pastinya, nama Noh cukup kuat bertapak di Parlimen Tanjong Karang sejak memenanginya pada 1995 dan pada Pilihanraya Umum ke-12 (PRU12) lalu, beliau sekali lagi menang dengan majoriti undian 16,073 itu sekali gus berjaya menewaskan calon Pas, Mohamed Hanipa Maidin yang hanya menerima 12,253 undian sahaja. kemenangan yang diperolehinya itu menterjemahkan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan beliau selama ini.


Meskipun nama calon untuk bertanding kerusi itu pada PRU13 masih belum diumumkan, Noh positif dengan keputusan yang ditentukan dan bersedia menerima sebarang arahan demi kejayaan BN yang diwakili beliau.
Dalam satu majlis beliau berkata, tiga nama calon di setiap kerusi Parlimen dan Dun sudahpun diserahkan kepada penilaian pucuk pimpinan, namun sehingga kini teka-teki calon yang bakal bertanding untuk setiap kerusi menjelang PRU13 masih belum terjawab.

Nama calon BN yang dikenalpasti terdiri daripada golongan profesional yang terkenal dengan konflik air dan setiausaha sulit pemimpin terdahulu terus menjadi perbualan namun timbul persoalan pula sama ada penyandang asal terus dikekalkan atau tidak?

Begitu juga dengan nama besar yang dinaikkan untuk percalonan wakil rakyat wanita bagi bertanding kerusi Parlimen bukan calang-calang orangnya dan jika terpilih, pastinya merubah pucuk pimpinan yang dahulunya dimonopoli lelaki. Namun rata-rata berpendapat, Noh tidak ada masalah untuk diletakkan bertanding di mana-mana kerusi sekalipun.

Meskipun ramai yang beranggapan Noh selesa dengan kedudukan itu, namun ramai ‘orang pembangkang’ berpendapat, kerusi itu bakal goyah apabila pelbagai konflik ditimbulkan pakatan pembangkang termasuk isu tanah, pertanian dan perladangan yang dikaitkan dengan Timbalan Pengerusi BN Selangor itu sendiri.

Timbul pula desas-desus mengatakan Noh mungkin melepaskan kerusi Tanjong Karang itu dan bertanding di peringkat Dun bagi membolehkan beliau dilantik menjadi Menteri Besar Selangor jika BN berjaya merampas negeri itu daripada pakatan pembangkang. Seperti yang dikatakan awal tadi, segalanya boleh berlaku. Tunggu sahaja pengumuman pucuk pimpinan.

Teka-teki itu bakal terjawab sekiranya Noh bertanding di peringkat Dun.

Selain itu, jentera pilihanraya BN juga bergerak aktif dan mula turun ke kawasan masing-masing untuk menambat hati rakyat sejak dilancarkan pada Disember tahun lalu melalui Program Jalinan Rakyat. Sudah tentu BN tidak akan membenarkan pakatan pembangkang menembusi kubu kuat mereka itu. Pelbagai aktiviti disusun di peringkat akar umbi dengan memberi keutamaan kepada kebajikan rakyat.

   Siapa bakal bertanding?

Walaupun mengetahui nama-nama yang diserahkan kepada pucuk pimpinan untuk bertanding pada PRU13, Noh yang juga Ketua Umno Bahagian Tanjong Karang masih menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk mengumumkannya.

Menurutnya, kesemua bahagian parti berkenaan di negeri ini sudah menyenaraikan tiga nama sebagai calon bagi setiap kerusi di kawasan masing-masing untuk PRU13.

“Senarai calon itu dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk dipertimbangkan dan pemilihan calon ditentukan pucuk pimpinan tertinggi.

“Saya yakin mereka yang dipilih mampu membawa kemenangan BN pada PRU akan datang dan menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan tertinggi parti itu kerana mereka yang paling layak menentukannya.

“Biar pemimpin tertinggi yang buat keputusan siapa calon yang terbaik kerana mereka diibarat seperti naik kapal terbang dan boleh lihat lebih menyeluruh, jadi mereka tahu siapa yang paling layak,” katanya.

Noh berkata, pihaknya juga ada menghantar calon untuk dipertimbangkan, namun semuanya terserah kepada Presiden parti dan pimpinan tertinggi menentukannya.

“Siapapun calon kita tetap akan sokong dan calon yang dipilih adalah mereka yang mampu berkhidmat untuk semua bangsa bukan Melayu sahaja.

“Apa yang penting semua pihak perlu sepakat menyokong sesiapa sahaja calon yang akan dipilih kerana pemimpin tertinggi pastinya memilih mereka yang mampu membawa kemenangan kepada parti,” katanya.

Pendidikan, pertanian jadi keutamaan

Sebagai anak jati Tanjong Karang, sudah pasti Noh mahu membawa perubahan kepada penduduk yang rata-ratanya 100 peratus bergantung hidup dengan hasil pertanian seperti padi, sayuran dan buah-buahan; perikanan dan penternakan.

Noh berkata, pendidikan menjadi keutamaan yang dititikberatkan untuk merubah masa depan anak penduduk di Parlimen Tanjong Karang termasuk memberi bantuan peralatan sekolah, sumbangan masuk universiti dan anugerah cemerlang serta peruntukan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Saya percaya dengan hanya pendidikan dan ilmu pengetahuan sahaja dapat membawa mereka keluar daripada lingkaran garis kemiskinan. Kemiskinan bukan harta pusaka yang perlu diwarisi dan kita boleh keluar daripada kemiskinan jika ibu bapa mengutamakan pendidikan kepada anak mereka kerana percaya, kesungguhan menuntut ilmu mampu mengubah nasib mereka sekeluarga.

“Kesedaran dan usaha gigih amat penting bagi mengubah nasib seseorang itu dan sikap menghargai jasa dan pengorbanan pemimpin perlu diterapkan dalam diri anak murid dan pelajar bagi mendidik mereka sentiasa berterima kasih dengan bantuan yang diberikan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sering menekan perkara ini setiap kali ucapannya di sekolah kerana dirinya juga berasal daripada keluarga miskin dan jika tiada bantuan kerajaan, mungkin tidak mengecapi kejayaan seperti sekarang ini.

“Kerajaan banyak membantu saya sehingga berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara dalam bidang perundangan dan akhirnya membuka firma guaman sendiri.

“Jadi, kebajikan guru dan sekolah sering mendapat perhatian dan tidak kedekut untuk meluluskan bantuan atau dana yang dimohon jika didapati sekolah terbabit menunjukkan peningkatan pelajar cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

“Saya percaya, jika ada kegigihan untuk melahirkan anak murid yang cemerlang, tidak mustahil sekolah rendah yang sebelum ini tidak pernah mencatat kecemerlangan dalam UPSR akan beroleh kejayaan,” katanya.

Selain pendidikan katanya, fokus pertanian turut menjadi keutamaannya dengan pelbagai peruntukan dan bantuan diberikan kepada pesawah dan petani yang berjaya meningkatkan hasil pengeluaran padi sehingga mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Sudah menjadi hasrat saya dari kecil untuk melihat sektor pertanian sawah padi di kawasan ini dibangunkan kerana saya juga berasal dari keluarga pesawah dan akan meneruskan pembelaan bukan sahaja di negeri ini bahkan di seluruh negara.

“Saya pernah menimba pengalaman sebagai penternak dan nelayan sebelum ini, pengalaman itu akan disimpan dan menjadi azam untuk membela kehidupan golongan itu kerana apabila jadi menteri, peluang untuk bantu mereka lebih luas,” katanya.

Kekalkan kesetiaan pengundi

Tidak seperti kerajaan negeri pimpinan PKR yang 'memilih' penerima untuk bantuan yang disediakan, BN Tanjong Karang terbuka menyalurkan bantuan menyeluruh untuk meringankan beban penduduk ketika sambutan perayaan seperti Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Deepavali.

Noh berkata, berkat sokongan berterusan pengundi yang berjaya mengekalkan BN di kerusi masing-masing walaupun dilanda tsunami politik pada 2008 lalu, pengorbanan dan kesetiaan mereka perlu dihargai.

“Kita terus meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat dengan memberikan sumbangan menyeluruh tanpa mengira kaum dan politik dari rumah ke rumah yang ternyata lebih dekat dengan penduduk.

"Dengan cara itu, jentera juga dapat mengenalpasti penduduk yang mengalami masalah kerosakan rumah, pesakit terlantar dan dekati pengundi dengan lebih rapat.

“Saya percaya, hubungan perpaduan yang kuat di peringkat Parlimen dan Dun mampu mengekalkan kerusi kerana semangat kerjasama yang erat dilihat sebagai penggerak utama pimpinan BN.

“Dalam prinsip saya, Umno bukan saya. Dalam kesibukan menjadi negara sebagai menteri, program BN di Tanjong Karang tetap diteruskan dengan bantuan Adun kawasan.

“Tidak seperti di sesetengah tempat, jika tiada ketua Umno atau BN, mesyuarat dan program tidak dapat dijalankan sedangkan bagi saya, kesemua jawatankuasa memainkan peranan penting menjayakan program yang dirancang dengan kerjasama Adun.

“Ini kerana setiap bantuan yang disalurkan bukannya datang daripada saya atau Adun kawasan tetapi datang daripada BN sebab kita mewakili BN untuk perjuangkan masalah rakyat,” katanya.

Tidak pernah ugut pengundi

Noh yakin petani dan nelayan di Tanjong Karang tidak mudah terpedaya dengan helah pakatan pembangkang menjelang PRU13.

Beliau berkata, tindakan pemimpin pakatan pembangkang yang menuduh kononnya BN mengugut kumpulan itu dengan menghalang mereka memberi undi kepada pembangkang adalah tidak benar.

Katanya, pakatan pembangkang sebenarnya buta dan isu itu ditimbulkan sebagai modal ceramah untuk mengelirukan pengundi terutamanya golongan pesawah dan petani di sini.

“Tuduhan itu sepatutnya tidak timbul kerana pakatan pembangkang sendiri yang tidak boleh terima kenyataan sekiranya BN berjaya menawan Selangor semula," katanya.

Noh berkata, beliau percaya dengan kesetiaan pengundi kerana mereka tahu siapa yang banyak membantu mereka.

Kenali 10 Blogger Terbaik Malaysia

0 ulasan:

Post a Comment

Sila Like Kami di Facebook.
 
Support : Your Link | Careeron9 | OhGosip Artis
Copyright © 2013. DinKlate - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger About Me .