Home » , » Pam hilang, petani merana

Pam hilang, petani merana

Written By Unknown on Sunday, February 17, 2013 | 9:57 AM

TUMPAT - Petani di Bendang Kaloi, Teluk Jering di sini berisiko menanggung kerugian besar dengan keadaan cuaca tidak menentu kini.

Bendang kering

Petani, Hassan Saad, 45, berkata, sawah padi seluas 60 hektar itu diusahakan 15 petani selepas banjir melanda baru-baru.

Bagaimanapun, katanya, yang merisaukan petani di sini apabila masalah kekeringan air berlaku ketika anak benih baru ditabur.

“Akibatnya anak padi yang baru tumbuh mengalami masalah tumbesaran terbantut.

“Pelbagai usaha dilakukan termasuk pamkan air ke dalam sawah, tetapi tidak berhasil,” katanya.
Anak padi tenggelam

Hassan berkata, hujan lebat dua hari lalu bagaikan satu rahmat buat petani apabila masalah sawah kering mula dipenuhi air.

“Tetapi masalah lain pula timbul kerana hujan lebat dua hari berturut-turut menyebabkan anak padi ditenggelami air.

“Keadaan ini merisaukan petani kerana peringkat awal penanaman padi sudah ada masalah.

“Keadaan ini mungkin menyebabkan pengeluaran padi musim ini akan mengalami kemerosotan,” katanya.

Tambahbaik infrastruktur
Bagi Mohd Nor Seman, 54, dari Kampung Kubang Sawa berkata, dengan keadaan cuaca tidak menentu, dia meminta agar pihak berkaitan menambah baik infrastruktur untuk kemudahan petani di sini.

“Kami berharap agar dibina saluran air di bendang padi ini supaya kami mendapat bekalan air mencukupi sekiranya berdepan masalah sawah kekeringan air.

“Tempat untuk membina saluran air itu sudah ada, tetapi sampai sekarang longkang simen belum dipasang lagi,” katanya.

Pam air dicuri
Mohd Nor berkata, petani menghadapi masalah air kritikal apabila pam air Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) dicuri pada musim banjir baru-baru ini.

Menurutnya, kehilangan itu menyebabkan air tidak dapat disedut dari Sungai Kuala Jambu dan Sungai Alor Mekuang.

“Kalau sawah padi kekurangan air, kami di sini akan sedut air sungai menggunakan pam tersebut, tetapi sekarang ini tidak dapat berbuat demikian.

“Mujurlah hujan lebat dua hari lalu, sawah mula dipenuhi air, cuma anak padi pula ditenggelami air,” katanya.

Menurutnya, dia berharap pam hilang diganti baru sebagai persiapan berdepan musim kemarau akan datang.

Kenali 10 Blogger Terbaik Malaysia

0 ulasan:

Post a Comment

Sila Like Kami di Facebook.
 
Support : Your Link | Careeron9 | OhGosip Artis
Copyright © 2013. DinKlate - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger About Me .