Pelakon filem Seri Dewi Malam yang muncul selepas beberapa lama menyepi daripada dunia hiburan itu hadir di Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam untuk proses lafaz cerai.
Penyanyi yang terkenal dengan lagu Kuintai Cinta Dalam Rahsia itu mendirikan rumah tangga dengan Dion Andrew Vercoe, 40, pada 2005 dikhabarkan sudah lama tidak tinggal sebumbung.
Semasa kes mereka disebut di mahkamah semalam, Dion yang diwakili peguam syarie Muhammad Hafiz Ab. Rashid memaklumkan bahawa anak guam dan isterinya telah memfailkan perceraian secara baik mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984.
“Pihak kami turut memfailkan beberapa permohonan di mahkamah tinggi dan dokumen-dokumen serta perjanjian selepas penceraian berkaitan telah ditandatangani kedua-dua belah pihak,” katanya.
Menurutnya, perjanjian tersebut termasuk terma-terma hak penjagaan anak seramai dua orang dan nafkah mutaah lebih RM150,000.
Peguam itu bagaimanapun mencadangkan supaya isu perceraian itu dibawa ke mahkamah tinggi untuk diselesaikan.
“Memandangkan anak guam tidak dapat bercerai hari ini, saya juga memohon supaya perkara ini dapat dibuat di mahkamah tinggi bersama-sama dengan isu lain bagi memudahkan untuk dikendalikan bersama-sama,” katanya.
Hakim Syarie Asrul Azlan Embong jga menasihati pasangan itu agar menyelesaikan konflik rumah tangga mereka secara baik demi kebaikan bersama.
Bagaimanapun mahkamah kemudian membenarkan permohonan peguam untuk membawa kes itu di mahkamah tinggi.
Jeslina atau nama sebenarnya yang datang berasingan dengan suaminya bergegas meninggalkan mahkamah sejurus selesai prosiding.
Dia hanya menyatakan “ Everything’s fine (semuanya baik-baik saja)” ketika dikemukakan soalan oleh wartawan dan enggan mendedahkan alasan perceraian sebaliknya berkata ia isu peribadi.
0 ulasan:
Post a Comment