Home » , » Syafiq Yusof - Tak Terfikir Tercalon FFM25

Syafiq Yusof - Tak Terfikir Tercalon FFM25

Written By Unknown on Saturday, February 23, 2013 | 12:22 AM

PENGARAH muda, Syafiq Yusof akui tidak menduga turut tercalon dalam empat kategori bagi Festival Filem Malaysia ke-25.
Selasa lalu, filem arahan Syafiq diumum sebagai calon untuk kategori Pengarah Filem Terbaik, Filem Terbaik, Pengarah Harapan dan Penyunting Terbaik.

“Saya tak terfikir pun tetapi dah tercalon, Alhamdulillah. Saya tak pernah meletakkan harapan (untuk menang). Saya tak tahu saya akan tercalon dalam FFM25 sebab S.A.M filem pertama saya.

“Saya pun masih belajar lagi dan bagi saya tercalon pun saya sudah bersyukur. Lagi pun filem-filem senior seperti Bunohan dan Songlap, bagi saya itu lagi hebat... lagi bagus daripada filem saya,” katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.


Ketika ditanya kekuatan S.A.M sehingga melayakkan filem pertamanya itu tersenarai dalam pencalonan lima terbaik, Syafiq seolah-olah tidak pasti.
“Saya pun tak tahu. Saya lihat... mungkinlah saya ada tunjukkan sedikit kelainan tetapi bagi saya, sedikit sahaja,” katanya.

Syafiq menyifatkan pencalonan itu menjadi pembakar semangat kepadanya.

“Ya, ada juga rasa macam itu (pembakar semangat) bagi saya. Tetapi walaupun tanpa pencalonan, menang kalah pun, saya dari masa ke masa saya akan berusaha juga untuk buat yang lebih baik daripada sebelum ini, belajar lagi dan belajar lagi,” kata
anak pengarah terkenal, Datuk Yusof Haslam ini.

Apabila ditanya kemungkinan pencalonannya itu kerana berada di belakang ayah dan abangnya, Syamsul, Syafiq menjawab.

“Saya pun tak tahu. Ayah saya orang lama dalam filem, apabila berjaya dalam industri filem, dia pun tak pernah menang anugerah pengarah terbaik atau filem terbaik. Itu rezeki. Rezeki manusia di mana-mana. Kalau menang, menang. Kalau kalah, kita
teruskanlah.

“Kita buat filem, kita bekerja bukan untuk menang. Kalau menang itu bonus, kita kerja untuk dapatkan rezeki, untuk keluarga,” kata pengarah berusia 20 tahun ini.

Pada usia 18 tahun, anak muda ini sudah menghasilkan sebuah filem yang hebat meskipun tidak ‘box-office’, namun pencapaian tersebut boleh dibanggakan kerana tidak semua remaja pada usianya mampu menghasilkan filem seperti itu.

“Saya akan terus buat filem tetapi saya ada juga minat benda lain cuma untuk sekarang saya rasa, fokus buat filemlah,” katanya.

Seperti yang diketahui umum, 23 Disember lalu Syafiq mengikat tali pertunangan dengan Aiesyah Zainal dan merancang menikah pada tahun depan.

“Saya kenal tunang saya di kolej, kemudian untuk elak fitnah, kami bertunang dulu. Apabila tiba masa, kami berkahwin. Ketika itu orang pun tak boleh cakap apa sebab kami dah kahwin,” katanya.


Dalam perkembangan lagin, Syafiq kini sedang mengarah filem keduanya, Abang Long Fadil yang dibintangi pelawak dan pelakon terkenal, Zizan Razak.

“Filem Abang Long Fadil merupakan idea asal daripada abang saya, Syamsul sebab ia kesinambungan filem KL Gangster, tetapi ia lebih fokus pada Zizan.

“Ia adalah cerita tentang kehidupan Abang Long Fadil selepas kawan baik dia, Malik, masuk penjara,” katanya yang baru memulakan penggambaran selama tiga hari di sekitar Kuala Lumpur.

Kenali 10 Blogger Terbaik Malaysia

0 ulasan:

Post a Comment

Sila Like Kami di Facebook.
 
Support : Your Link | Careeron9 | OhGosip Artis
Copyright © 2013. DinKlate - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger About Me .