Home » » Usahawan Burung Walit - Fouziah Gous

Usahawan Burung Walit - Fouziah Gous

Written By Zanuddin Yaacob on Wednesday, February 13, 2013 | 11:25 PM


BUKAN sahaja berbakat dalam bidang lakonan mahupun model, malah gadis cantik ini juga memiliki minat terpendam dalam bidang perniagaan.

Nor Fouziah Mohd Gous,31, atau nama komersialnya Fouziah Gous memberanikan diri mencuba bidang yang jarang dilakukan oleh golongan wanita iaitu perusahaan sarang burung walit.


Pelakon yang popular dengan drama Trilogi Cinta ini berkata, ceburi diri dalam bidang perniagaan bukan perkara mudah.

"Perniagaan seperti ini bukan mudah untuk diusahakan, sebaliknya saya mengambil masa hampir dua tahun untuk mempelajarinya.

"Buat masa ni, banyak lagi yang perlu saya pelajari dari mereka yang berpengalaman mengenai cara perniagaan seperti ini," kata pemenang tempat pertama Miss Fair & Lovely tahun 2001.

Enggan mendedahkan lokasi perusahaannya itu, Fouziah berkata, dia berminat dengan perusahaan itu setelah diperkenalkan dengan kursus khas. Selepas kajian lengkap dilakukan, dia yakin perusahaan itu berupaya memberikan keuntungan lumayan.


Menurutnya, dilahirkan dalam keluarga yang mempelopori perniagaan sedikit sebanyak mendorongnya untuk meneruskan perniagaan sebegini.

" Walaupun keluarga saya tidak melibatkan diri dalam industri burung walit, bagi saya ia adalah satu cabaran untuk saya terus mengorak langkah untuk lakukan yang terbaik.

“Sudah lama saya ingin membuka perniagaan ini. Saya juga membuat kaji selidik dan bersyukur, akhirnya ia dapat dilakukan dengan nasihat dan tunjuk ajar ahli keluarga," kata bekas pramugari ini.

Dalam pada itu, Fouziah yang menjadi pengedar di bawah nama My Walet Bird Nest, dikatakan akan mengedarkan produknya ke beberapa farmasi, pada masa kini ia masih lagi dalam proses persiapan sebelum dilancarkan.



Filem Kerat 14

Selain tampil dengan drama bersiri terbaru iaitu Rindu Bertamu Di Abu Dhabi yang mula bersiaran setiap Isnin hingga Khamis jam 7 malam di saluran TV3, Fouziah juga bakal muncul di layar perak menerusi filem Kerat 14.

"Filem ini merupakan misteri, thriller dan aksi. Walaupun saya hanya memegang watak sebagai kawan baik kepada Siti Saleha (Nur Zara), namun ia sangat mencabar.

"Saya dapat rasakan filem ini sangat hebat dan yakin ia  akan memberi kepuasan kepada penonton," katanya yang turut membintangi filem itu di samping Aaron Aziz dan Siti Saleha.

Filem arahan pengarah muda, Arjin Uppal ini bakal menemui penonton bermula 14 Februari ini.

Bukan artis kontroversi


Walaupun telah lama berkecimpung dalam lakonan, bagi Fouziah, bergelar anak seni bukanlah semudah yang disangka. Selain perlu bekerja keras, gosip dan kontroversi juga hadir seiring tanpa di undang.

Bagaimanapun, pelakon tinggi lampai ini tidak berharap dengan kontroversi semata-mata untuk menaikkan nama, sebaliknya lebih bersandarkan pada bakat.

"Jika kebanyakan selebriti terkenal menerusi kontroversi, tetapi bukan saya.

"Biarlah nama saya lebih dikenali melalui bakat tersendiri bukan kerana kontroversi," kata pelakon Malaikat Maut, Rasukan Ablaska dan Sifu & Tongga.

Kehadiran ramai muka-muka baru dalam industri bagaimanapun tidak menjejaskan karier anak jati Kuala Lumpur ini dalam dunia lakonan.

"Alhamdulillah, saya masih banyak menerima tawaran berlakon mahupun filem. 

"Ia sedikit sebanyak dapat membantu saya terus bergerak aktif dalam bidang lakonan," kata pelakon yang pernah digosipkan dengan Iqram Dizinly ini.

PROFIL

Nama komersial: Fouziah Gous
Nama sebenar: Nor Fouziah Mohd Gous
Tarikh lahir: 11 Disember 1982
Tempat lahir: Kuala Lumpur
Pendidikan: Diploma Kesetiausahaan dari Kolej Sistematik, Kuala Lumpur
Campuran: Pakistan, Melayu
adik beradik: Bongsu daripada lima beradik (tunggal perempuan)
Status: Bujang

Kenali 10 Blogger Terbaik Malaysia

0 ulasan:

Post a Comment

Sila Like Kami di Facebook.
 
Support : Your Link | Careeron9 | OhGosip Artis
Copyright © 2013. DinKlate - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger About Me .