Home » , » Saya Berjuang Demi Kebajikan Artis - Zed Zaidi

Saya Berjuang Demi Kebajikan Artis - Zed Zaidi

Written By Unknown on Saturday, February 23, 2013 | 12:26 AM

SEJAK Zed Zaidi memegang tampuk pemerintahan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) sejak Mei lalu, pelbagai aktiviti serta program berkaitan persatuan itu yang direncana sudah terlaksana.
Sehubungan itu, Zed atau nama sebenarnya, Rozaidi Jamil, 32, tidak pernah ambil pusing akan dakwaan yang beliau angkuh serta gila kuasa sejak menerajui persatuan terbabit.

“Sejak mengambil alih kerusi presiden Seniman, pelbagai usaha saya lakukan untuk mengumpul dana bagi membantu Seniman.

"Dana itu nanti akan diberikan kepada artis yang kurang bernasib baik atau apabila mereka ditimpa kesusahan kelak.


“Oleh itu, dalam usaha mengumpul dana bagi persatuan ini pelbagai aktiviti sudah dirangka dan salah satunya adalah menerusi pelancaran program MySeniman ini,” katanya ketika ditemui semasa Majlis Mega Raya Seniman dan pelancaran MySeniman di Pusat Dagangan Dunia Putra, semalam.

MySeniman adalah program usaha sama antara Seniman dan Dewan Perdagangan dan Perindustrian Muslim Malaysia (DPPMM).

Menerusi program itu, ia memberi peluang kepada artis untuk membuka perniagaan dengan pertolongan modal disediakan selain diadakan kursus dan seminar mengenai pengurusan perniagaan bagi yang berminat.

Menerusi perbincangan diadakan, setiap 15 peratus keuntungan yang diperoleh daripada perniagaan itu akan dimasukkan ke dana Seniman.

Selain itu, orang ramai juga boleh turut serta dengan mendaftar di bawah program ini, sekali gus akan menjadi ahli bersekutu persatuan itu di bawah Biro Kelab Penyokong Seniman.

MySeniman juga akan mengadakan siri jelajah secara besar-besaran bermula di Pahang sebagai tanda promosi dan produk-produk jualan artis yang terbabit.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan,  Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merasmikan program MySeniman. Turut hadir Pengerusi DPPMM, Mohd Jamal Nasir.

Pada majlis itu juga, kementerian telah menyumbangkan dana sebanyak RM30,000 kepada Seniman.

Selain itu, majlis itu turut diserikan dengan pemberian sumbangan kepada artis-artis veteran yang telah banyak berjasa kepada industri seni tanah air antaranya Datuk Aziz Sattar, Datuk Rahim Razali, Seniwati Mariani Ismail dan Hamid Gurkha.

Dalam perkembangan yang sama, Seniman juga telah menubuhkan Malaysia Screen Actors Guild Berhad (MSAGB) khusus buat para pelakon di negara ini supaya mereka mendapat hak royalti setimpal.

Hal ini disebabkan walaupun karya yang dibintangi seseorang artis itu diulang siar, mereka masih tidak mendapat ganjaran yang setimpal daripada tayangan berkenaan.

Zed berkata, hak cipta artis terutamanya pelakon harus dipertahankan artis itu sendiri kerana ia adalah bakat dan kudrat lakonan mereka.

“Badan itu bukan sahaja bertindak sebagai ejen kutipan royalti sebaliknya turut berfungsi untuk menjaga kebajikan artis termasuklah hak-hak berkaitan gaji, kesihatan dan suasana pekerjaan.

“Saya percaya dengan adanya badan ini, industri seni kita akan berkembang pesat sehingga ke pasaran antarabangsa,” katanya.

Menurut Zed, MSAGB juga memberi peluang kepada pelakon mengutip hasil royalti sampingan jika filem atau drama yang dibintangi mereka dipasarkan ke luar negara.

Katanya, ia juga sejajar dengan industri luar negara yang mana mereka sudah lama mewujudkan persatuan yang menjaga hak-hak royalti yang melibatkan artis mereka.

Kenali 10 Blogger Terbaik Malaysia

0 ulasan:

Post a Comment

Sila Like Kami di Facebook.
 
Support : Your Link | Careeron9 | OhGosip Artis
Copyright © 2013. DinKlate - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger About Me .