Home » , » Trauma hendak pergi sekolah

Trauma hendak pergi sekolah

Written By Unknown on Sunday, February 17, 2013 | 3:13 AM

TASEK GELUGOR - Gara-gara gagal menyiapkan kerja sekolah, seorang murid tahun enam di sini mengalami detik memalukan apabila dirotan dan dihalau dari sekolah.

Keadaan itu menyebabkan Nuremilia Syahrul Asmawi, 12, trauma untuk datang ke sekolah kerana malu berhadapan dengan rakan sekelasnya.

Nuremilia, anak sulung daripada tiga beradik, mendakwa kejadian itu berlaku kira-kira jam 8 pagi, Jumaat lalu.

“Sebaik guru yang mengajar subjek Sains memasuki kelas, dia mengarahkan kami membuka buku latihan untuk memeriksa kerja sekolah diberi sehari sebelumnya.

“Saya dan lima murid lain yang gagal menyiapkan kerja rumah, diarah berdiri serta dirotan sekali di paha sebelum melemparkan buku itu ke luar kelas,” katanya.

Dia berkata, guru yang baru dua tahun mengajar di sekolah itu dikatakan bertindak kasar menarik tudung dipakai dan mengheretnya keluar dari kelas.

“Saya menangis kerana malu diperlakukan sedemikian, sedangkan empat rakan lain hanya dirotan dan diarah duduk di tempat masing-masing.

“Guru itu kemudiannya menghalau dan menyuruh saya pulang ke rumah sambil menengking mengarah saya bertukar sekolah jika enggan mengikut arahan menyiapkan kerja sekolah diberinya,” katanya.

Sementara itu, bapanya, Syahrul Asmawi, 34, yang ditemui berkata, dia kesal dengan kejadian menimpa anaknya itu.

“Saya tidak marah jika dia mendenda dan merotan anak saya kerana tidak membuat kerja rumah, tetapi menghalau keluar dari kawasan sekolah boleh mengundang pelbagai masalah lain.

“Nasib baik dia pulang ke rumah dan menceritakan kejadian itu kepada kami. Apa akan jadi kalau dia mengambil tindakan di luar jangkaan kerana malu diperlakukan gurunya sedemikian,” katanya.

Syahrul berkata, pada mulanya dia turut menyalahkan anaknya kerana gagal menuruti arahan guru dan enggan masuk campur perkara itu.

“Saya menghantar Nuremilia semula ke sekolah kira-kira jam 9.30 pagi dan berjumpa guru berkenaan serta beranggapan kes menghalaunya akan berakhir di situ.

“Malangnya semasa sesi tuisyen kelmarin, guru itu sekali lagi menghalau anak saya pulang dan menyuruh bertukar sekolah menyebabkan saya tidak berpuas hati dengan tindakannya,” katanya.

Kesal dengan tindakan keterlaluan guru berkenaan, Syahrul kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim mengesahkan menerima laporan tersebut.

Dalam perkembangan lain, Pengarah Pelajaran Pulau Pinang,Tarmizi Kamaruddin berkata, pihaknya belum menerima laporan mengenai kejadian itu.

“Kita akan menghubungi sekolah berkenaan dan jika benar kejadian itu berlaku, pengurusan sekolah diarah menyediakan laporan lengkap mengenainya.

“Suka saya menjelaskan, setiap guru perlu mematuhi prosedur merotan ditetapkan, malah mereka juga tidak dibenarkan mendenda mengikut emosi sendiri walaupun murid tersebut didapati melakukan kesalahan,” katanya.

Kenali 10 Blogger Terbaik Malaysia

0 ulasan:

Post a Comment

Sila Like Kami di Facebook.
 
Support : Your Link | Careeron9 | OhGosip Artis
Copyright © 2013. DinKlate - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger About Me .