Komandan PUGK, Kolonel Mohd Asghar Khan Goriman Khan (TUDM) berkata, seramai lebih 50 anggota TUDM dibantu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara serta Rela terlibat dalam operasi itu, semalam.
Menurutnya, babi hutan boleh mengancam nyawa juruterbang dan pesawat di pangkalan itu, kerana haiwan berkenaan mungkin melintas di landasan semasa pesawat berlepas atau mendarat.
“Babi hutan bersembunyi di hutan dalam kawasan lapangan sejak lama dulu, dan operasi berterusan diadakan untuk mengelak kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.
Mohd Asghar berkata lagi, beberapa anjing pemburu milik penduduk Siam turut diguna untuk mengesan dan mengejar babi agar lari ke arah pemburu.
Pemburu yang menggunakan senapang patah dipecah kepada beberapa kumpulan dan ditempatkan pada kedudukan dipercayai menjadi laluan babi hutan.
Sehingga jam 5 petang semalam, sebanyak 10 babi hutan berjaya ditembak pasukan terbabit.
Beliau berkata, operasi ini juga sebagai latihan penggunaan senjata oleh semua terlibat dan membantu petani di sekitar pangkalan yang berdepan masalah haiwan perosak.
Sementara itu menurut beliau, pelbagai jenis burung termasuk burung layang-layang turut menjadi ancaman kepada keselamatan pesawat pejuang di pangkalan itu menyebabkan usaha menembak dan menghalau burung sentiasa dilakukan.
“Burung boleh disedut enjin pesawat menyebabkan kerosakan teruk dan kos membaiki mencecah jutaan ringgit,” katanya.
Sehubungan itu katanya, pihaknya dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melarang mana-mana pihak membina sarang burung walid
dalam jarak 15 kilometer di sekeliling pangkalan udara.
0 ulasan:
Post a Comment