Home » , » Kehadiran Ahmad Fakri pertinkat jentera serangan, sayap

Kehadiran Ahmad Fakri pertinkat jentera serangan, sayap

Written By Zanuddin Yaacob on Wednesday, March 20, 2013 | 10:21 AM


Gomo kelate gomo,,moga jumpa skil-skil yang menarik bagi merancatkan lagi bola Malaysia..
KOTA BHARU - Kehadiran pemain baharu Kelantan, Ahmad Fakri Saarani, bakal mempertingkatkan jentera serangan serta sayap pasukan 'The Red Warriors' pada perlawanan pusingan kedua Liga Super, April depan.
Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata Ahmad Fakri, bekas pemain Felda United, kini mempunyai masa kira-kira tiga minggu untuk mempersiapkan diri menjelang sepak mula pusingan kedua saingan tersebut menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 13 April.
"Saya percaya beliau tidak asing lagi dengan corak permainan pasukan kita.
Sebahagian daripada pemain telah pun bermain bersamanya dalam pasukan kebangsaan.
"Segala urusan, terma-terma telah pun kita persetujui dan kontrak telah ditandatangani sewaktu Ahmad Fakri berada di Portugal lagi dengan kerjasama ejen beliau yang menguruskan semua urusan perpindahan Fakri," katanya kepada pemberita ketika memperkenalkan pemain tersebut di sini hari ini.
Persediaan Kelantan pada saingan awal Liga Super musim ini bagaikan 'patah taring' selepas kehilangan beberapa tonggak utamanya seperti Norshahrul Idlan Talaha, Nurul Azwan Roya dan S.Chanturu yang berpindah ke pasukan lain, sekali gus memberi cabaran besar kepada Kafa dalam mencari bakat baharu bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain tersebut.
Sambil menegaskan tiada rombakan dibuat dalam pasukan tersebut, Annuar berkata kehadiran Ahmad Fakri bakal mengembalikan kegemilangan Kelantan yang berjaya merangkul tiga piala pada saingan Liga Malaysia musim lalu.
"Kita buat pengubahsuaian. Kita cuma memperkasakan pasukan dengan kita tengok pasukan memerlukan "default". Itu  tugas ketua jurulatih. Tugas saya cuma mencari ramuan.
"Saya hanya cuma mendapatkan pemain, kemudian jurulatih akan buat pengubahsuaian. Tidak ada pertukaran  pemain (mahupun) pertukaran kedudukan.
Itu biasa dalam mana-mana pasukan bola sepak," katanya.
Annuar bagaimanapun enggan mengulas harga yang dibayar untuk mendapatkan khidmat pemain tersebut dan berkata: "Pelaburan secara berhemah, secukup rasa, pakai baju yang berpadanan dengan diri-sendiri."
Sementara itu, Ahmad Fakri berkata beliau akan berusaha memberikan persembahan terbaik dan kehadiran beliau diharap dapat membantu jentera serangan serta sayap Kelantan.
"Saya akan gunakan segala kemahiran yang dipelajari ketika berkhidmat selama tiga bulan bersama pasukan Atletico S.C  dan akan kongsi dengan rakan-rakan dalam pasukan bagi membantu Kelantan untuk bangkit," katanya. - Bernama

Kenali 10 Blogger Terbaik Malaysia

0 ulasan:

Post a Comment

Sila Like Kami di Facebook.
 
Support : Your Link | Careeron9 | OhGosip Artis
Copyright © 2013. DinKlate - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger About Me .