Kehadiran Ahmad Fakri pertinkat jentera serangan, sayap

Wednesday, March 20, 2013


Gomo kelate gomo,,moga jumpa skil-skil yang menarik bagi merancatkan lagi bola Malaysia..
KOTA BHARU - Kehadiran pemain baharu Kelantan, Ahmad Fakri Saarani, bakal mempertingkatkan jentera serangan serta sayap pasukan 'The Red Warriors' pada perlawanan pusingan kedua Liga Super, April depan.
Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata Ahmad Fakri, bekas pemain Felda United, kini mempunyai masa kira-kira tiga minggu untuk mempersiapkan diri menjelang sepak mula pusingan kedua saingan tersebut menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 13 April.
"Saya percaya beliau tidak asing lagi dengan corak permainan pasukan kita.
Sebahagian daripada pemain telah pun bermain bersamanya dalam pasukan kebangsaan.
"Segala urusan, terma-terma telah pun kita persetujui dan kontrak telah ditandatangani sewaktu Ahmad Fakri berada di Portugal lagi dengan kerjasama ejen beliau yang menguruskan semua urusan perpindahan Fakri," katanya kepada pemberita ketika memperkenalkan pemain tersebut di sini hari ini.
Persediaan Kelantan pada saingan awal Liga Super musim ini bagaikan 'patah taring' selepas kehilangan beberapa tonggak utamanya seperti Norshahrul Idlan Talaha, Nurul Azwan Roya dan S.Chanturu yang berpindah ke pasukan lain, sekali gus memberi cabaran besar kepada Kafa dalam mencari bakat baharu bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain tersebut.
Sambil menegaskan tiada rombakan dibuat dalam pasukan tersebut, Annuar berkata kehadiran Ahmad Fakri bakal mengembalikan kegemilangan Kelantan yang berjaya merangkul tiga piala pada saingan Liga Malaysia musim lalu.
"Kita buat pengubahsuaian. Kita cuma memperkasakan pasukan dengan kita tengok pasukan memerlukan "default". Itu  tugas ketua jurulatih. Tugas saya cuma mencari ramuan.
"Saya hanya cuma mendapatkan pemain, kemudian jurulatih akan buat pengubahsuaian. Tidak ada pertukaran  pemain (mahupun) pertukaran kedudukan.
Itu biasa dalam mana-mana pasukan bola sepak," katanya.
Annuar bagaimanapun enggan mengulas harga yang dibayar untuk mendapatkan khidmat pemain tersebut dan berkata: "Pelaburan secara berhemah, secukup rasa, pakai baju yang berpadanan dengan diri-sendiri."
Sementara itu, Ahmad Fakri berkata beliau akan berusaha memberikan persembahan terbaik dan kehadiran beliau diharap dapat membantu jentera serangan serta sayap Kelantan.
"Saya akan gunakan segala kemahiran yang dipelajari ketika berkhidmat selama tiga bulan bersama pasukan Atletico S.C  dan akan kongsi dengan rakan-rakan dalam pasukan bagi membantu Kelantan untuk bangkit," katanya. - Bernama

Bangunlah Berjuang - Tunjukkan Kehebatan Dan Skill Yang Menarik

Wednesday, March 13, 2013

Apa sudah jadi kepada permainan skuad red warrior...bangunlah ..bangkitlah..untuk berjuang habis-habisan..

"TIADA alasan untuk kami terus tercicir mata lagi."

Demikian kata Ketua Jurulatih Kelantan, Bojan Hodak menjelang aksi perlawanan kedua peringkat kumpulan G, Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menentang Ayeywady United di Pusat Latihan Belia, Yangoon, esok.

Pengendali berusia 42 tahun itu berkata, hanya kemenangan ke atas kelab dari Myanmar dilihat mampu memulihkan semangat juang barisan pemainnya yang masih kecewa ekoran kekalahan tipis 0-1 kepada Lions XII dalam saingan Liga Super, Sabtu lalu.

“Masanya sudah tiba untuk pemain ‘wake up call’. Kami terbang ke Myanmar dengan moral pemain sedikit menurun tetapi saya pesan kepada mereka kita harus bangkit meraih tiga mata meski pun beraksi di tempat lawan.

“Kami harus melupakan kekalahan kepada Lions XII. Ini bukan masanya untuk bercerita tentang kekalahan lepas dan kami perlu memandang ke depan apabila bertemu Ayeyawady United, Rabu ini," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurut Hodak, beliau akui kesulitan bakal dihadapi apabila terpaksa bermain di bawah cuaca terik, namun menyifatkan pengalaman menentang Ayeyawady United di gelanggang yang sama pada kempen Piala AFC musim lalu memberi sedikit kelebihan kepada barisan pemainnya menyesuaikan keadaan tersebut.

Pasukan juara tiga piala musim lalu itu terbang ke Yangoon petang semalam tanpa kelibat pemain sayap, Mohd Norfarhan Muhammad yang terpaksa diketepikan akibat masalah kecederaan sambil dua tonggak utama iaitu Mohamad Zamri Ramli dan Obinna Nwaneri turut bergelut untuk pulih dalam masa yang singkat.

“Saya berharap gandingan Dickson Nwakaeme dan Dimitrios Pertratos yang kurang menjadi pada perlawanan sulung menentang Maziya SRC bangkit mempamerkan prestasi sebenar. Ini merupakan perlawanan kompetitif dan mereka perlu melakukan sesuatu (menjaringkan gol) buat Kelantan,” katanya.

Ditanya perasaan beliau setelah gagal membantu The Red Warriors mencipta kemenangan dalam beberapa perlawanan lalu, Hodak secara jujur mengakui mula merasa bahang tekanan ekoran prestasi merudum pasukannya sejak akhir-akhir ini.

“Semua jurulatih berdepan tekanan. Sesiapa yang melatih Kelantan juga pasti menghadapi tekanan. Itu perkara biasa dalam bola sepak dan saya sentiasa berfikiran positif. Saya buat kerja saya, anda buat kerja anda. Tugas saya belum selesai untuk membantu Kelantan meraih tiga mata dalam perlawanan ini,” katanya.

Pemain Hoki Negara Kita Makin Menjadi

Skuad hoki negara memang menjadi dan turut menaik nama Malaysia antara yng digeruni...

SKUAD hoki negara terus garang selepas mencatat dua kemenangan berturut-turut pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-22 yang sedang berlangsung di Stadium Azlan Shah, Ipoh kelmarin.

Membuka tirai saingan dengan membenam cabaran Korea Selatan 2-0 dan diikuti menang tipis 2-1 mengatasi New Zealand membuktikan kesungguhan anak didik Paul Revington mencabar gelaran pada musim ini.

Kejohanan membabitkan saingan enam negara itu kini dikuasai Australia dan Malaysia (tidak termasuk keputusan semalam) selain penyertaan India dan Pakistan dalam kempen yang bermula 9 Mac lalu.

Pelapis Lee Chong Wei - Syahir


Kegigihan pemuda ini dalam arena batminton...
MUDAH tersenyum dan senang menjalinkan persahabatan menyebabkan anak muda kelahiran Kampung Gelung Gajah, Kuala Terengganu, Terengganu ini mudah didekati dan mempunyai ramai kenalan.

Itulah watak peribadi bintang muda sukan badminton yang semakin menyerlah bakatnya. Bintang muda yang mula memercikkan sinar gemerlapnya itu ialah Mohamad Syahir Muhamad yang kini sedang menuntut di tingkatan enam atas SMK Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu.

Menceritakan sejarah awal pembabitannya dalam sukan badminton, Mohamad Syahir memberitahu yang dia betul-betul secara aktif melibatkan diri pada tahun 2009 dan terus dipilih untuk mewakili skuad badminton daerah Kuala Terengganu ke Kejohanan Badminton peringkat Majlis Sukan Sekolah-sekolah Terengganu (MSST) tetapi sekadar memperoleh tempat ketiga.
"Saya diasuh oleh para jurulatih agar tidak mudah kecewa selagi belum mencapai kejayaan tertinggi. Atas dorongan yang tinggi itulah saya terus menggilap potensi keupayaan saya untuk mengharungi sesuatu perlawanan dengan penuh fokus dalam usaha mencapai kejuaraan.

Alhamdulillah syukur kerana berkat bimbingan para guru yang melatih saya dan komitmen saya yang terus konsisten dalam sesuatu sesi latihan, akhirnya saya berjaya juga menuju visi utama saya masa ini iaitu untuk mewakili Terengganu ke Sukan Sukma," kata Mohamad Syahir baru-baru ini.

Sebenarnya anak muda yang bercita-cita menjadi seorang pegawai sukan profesional itu juga telah terpilih mewakili negara ke beberapa pertandingan di luar negara.

Misalnya, pada 2012 ketika beliau tengah sibuk dengan urusan pembelajaran, dia telah mewakili skuad negara bawah 19 tahun ke pertandingan badminton di Bandung, Indonesia. Pada tahun yang sama juga dia dipilih sekali lagi membawa cabaran negara ke pertandingan badminton di Tegal, Jawa Barat.
"Tahun lepas adalah tahun yang sangat sibuk buat saya kerana saya terpilih dalam tujuh kejohanan besar termasuklah Sukma di Kuantan dan mewakili negara. Pada saya ini baru satu permulaan buat saya mengetengahkan potensi untuk membolehkan saya terpilih dalam barisan pemain badminton negara suatu hari nanti.

"Saya sedia mengetahui dan sedar bahawa misi dan visi tersebut  masih jauh dan terpaksa melalui laluan getir, tetapi bukan sesuatu yang mustahil untuk saya merealisasikannya," kata Mohamad Syahir ingin menyambung pengajian tingginya di Universiti Sains Malaysia (USM).

Semoga dunia sukan badminton negara akan terus menyinar megah menerjah persada dunia dan insya-ALLAH kita mengharapkan dan berdoa anak muda Ganu Kite ini akan menjadi pewaris dan penerus kegemilangan badminton di negara kita.
Profil

Nama    :    Mohamad Syahir bin Muhamad
Asal    :      Kg Gelung Hajah, Kuala Terengganu
Umur    :    19 tahun
Sekolah :    SMK Padang Negar (tingkatan 1-5)
                 SMK Sultan Sulaiman (tingkatan enam)
Hobi    :      Bermain karom
Cita-cita  :  Pegawai Sukan Profesional

Penglibatan/ Pencapaian:
2009    -     Kejohanan MSST- Tempat ketiga (acara beregu)
2010    -     Kejohanan MSST- Tempat ketiga (acara perseorangan)
2011    -     Kejohanan MSST- Johan perseorangan
          -    Kejohanan badminton  MSSM di Kuala Lumpur
          -    Menyertai Sirkit Remaja Kebangsaan di Melaka dan Johor
          -    Menyertai Sirkit Remaja Kebangsaan di Melaka- mara ke suku akhir
          -    Menyertai Sirkit Remaja Kebangsaan berpasukan di Kuala Lumpur
2012   -     Sirkit Remaja  Kebangsaan di Johor, Terengganu
          -    Sirkit Remaja Kebangsaan berpasukan di Kedah
          -    Jakarta Open – mara ke pusingan keempat
         -    Bandung Open
         -    Tegal, Jawa Barat Open
         -    Sukan Sukma di Kuantan (cara perseorangan)
         -    Kejohanan Badminton Melayu  Perak- Tempat ketiga

ATM Masih Di Depan

Sunday, March 10, 2013

PASUKAN Johor Darul Takzim (JDT) gagal merampas kembali kedudukan pendahulu liga daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) apabila tewas 1-4 kepada Selangor dalam saingan Liga Super di Stadium Shah Alam, malam ini.

Keputusan itu membuatkan mereka turun dua anak tangga - berada di  kedudukan ketiga dengan mengutip 16 mata hasil 10 perlawanan setakat ini.

Selangor pula nyata memanfaatkan peluang beraksi di halaman sendiri dengan meraih tiga mata sekali gus melonjakkan kedudukan kedua dengan 18 mata hasil 10 perlawanan setakat ini.


ATM Merampas Kedudukan Liga - Pasukannya Semakin Mengganas

Saturday, March 9, 2013

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) kembali merampas kedudukan persada liga apabila mengalahkan Perak 4-2 pada perlawanan Liga Super di Stadium TLDM, Lumut malam tadi.

Skuad yang terkenal dengan jolokan The Gladiators itu memintas Johor Darul Takzim (JDT) dengan kelebihan dua mata selepas mengutip 18 mata daripada 10 perlawanan.

Bagaimanapun, kedudukan ATM bakal berubah sekiranya JDT mencatat kemenangan apabila bertemu Selangor di Stadium Shah Alam, malam ini.

Dalam perlawanan itu, Perak terlebih dahulu membuka jaringan - minit ke-10 menerusi Karim Rouani dan Shahrom Kalam sembilan minit kemudian.

Namun kegembiraan skuad Perak tidak kekal lama apabila ATM berjaya menyamakan kedudukan menerusi Hairuddin Omar pada minit ke-21 dan Christie Jayaseelan pada minit ke-42.

Marlon Alex James muncul wira pasukan ATM apabila menjaringkan dua gol pada minit ke-61 dan 85.
Di Stadium Darul Makmur, Pahang sekali lagi gagal mengutip tiga mata penuh apabila tewas 1-3 kepada PKNS.

Dengan keputusan itu, Pahang jatuh satu anak tangga - menduduki tangga keenam dengan 14 mata setelah mengharungi 10 perlawanan setakat ini.

Meskipun Pahang berjaya mendahului lawan pada minit ke-25 menerusi R. Gopinathan, namun PKNS berjaya bangkit untuk menyamakan kedudukan menerusi Patrick Ronaldinho Wleh pada minit ke-55.

Selepas itu, Mohd Nizad Ayub menjadi penjaring kedua buat PKNS pada minit ke-62 sebelum Ronaldinho menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-90.

Pada aksi sebelah petang, Terengganu berjaya mengutip tiga mata penuh selepas menewaskan T-Team, 1-0, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Farderin Kadir menjadi wira Terengganu apabila menjaringkan gol pada minit ke-90.

 
Berikut keputusan Liga Super:

Perak 2  ATM  4
Pahang 1 PKNS FC  3
Terengganu 1 T-Team   0

Pemain Czech Juara Tenis Wanita Terbuka Malaysia

Friday, March 8, 2013

PEMAIN Republik Czech, Karolina Pliskova dinobatkan juara acara perseorangan manakala gandingan Shuko Aoyama dan Chang Kai-Chen menjuarai acara beregu pada Kejohanan Tenis Wanita Terbuka Malaysia 2013, di Kuala Lumpur semalam.

Pada perlawanan akhir acara perseoranga, Pliskova tidak menghadapi masalah untuk mencapai gelaran pertama siri Persatuan Tenis Wanita (WTA) apabila mengalahkan pemain 'wildcard' Bethanie Mattek-Sands dari Amerika Syarikat 1-6, 7-5, 6-3.

"Dalam set pertama, Mattek-Sands bermain dengan cukup baik, saya tidak tahu apa yang hendak dilakukan selain dari terus fokus kepada permainan.

"Melalui kejayaan ini saya lebih yakin untuk bermain secara perseorangan pada masa akan datang," katanya kepada pemberita di Kelab Golf Diraja Selangor, dekat sini.

Pliskova, yang mempunyai ranking ke-127 dunia, berjaya menebus kekecewaan di tangan Matteks Sands 6-3, 6-3 pada Kejohanan Generali Ladies Linz, Oktober lepas.

Kejayaan itu membolehkan pemain berusia 20 tahun itu membawa pulang hadiah wang tunai US$40,000 (RM123,822) dan mandapat 280 mata dalam siri WTA.

Sementara itu, pilihan kedua Aoyama (Jepun) dan Chang (Taiwan) merangkul trofi juara dalam acara beregu selepas mengalahkan pilihan pertama, Janette Husarova (Slovakia) dan Zhang Shuai (China), 6-7, 7-6, 14-12.

Bagaimanapun, Aoyama dan Chang terpaksa berhempas pulas selama dua jam setengah untuk meraih kejayaan tersebut untuk membawa pulang hadiah wang tunai
AS$11,500 (RMRM35,600).

"Saingan pada set pertama agak sengit dan terhad apabila pihak lawan mendahului kami namun pada set kedua kami berjaya menangkis serangan mereka dan
mengumpul mata," kata Chang selepas kemenangan itu.

"Perlawanan pada hari ini berjalan dengan baik walaupun saya terpaksa memanggil jurulatih sebanyak tiga kali kerana kecederaan pinggang," katanya.

Kemenangan itu juga merupakan gelaran kedua mereka bersama setelah memenangi kejohanan pertama di Washington, Amerika Syarikat, tahun lepas. - Bernama

Pasukan Manakah Yang Bertuah Berjumpa Chelsea Julai Ini?

PETALING JAYA - Pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) Chelsea FC akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang Pilihan Malaysia XI di Stadium Shah Alam pada 21 Julai.

Lawatan ke Malaysia, yang merupakan sebahagian pra-musim Jelajah Asia pasukan itu, adalah kali ketiga sejak 2008 apabila mereka mengalahkan Pilihan Malaysia 2-0 sebelum menang tipis 1-0 ke atas pasukan yang sama pada 2011.

Ketua Eksekutif Chelsea FC, Ron Gourlay berkata pengurus pasukan Rafael Benitez dijangka menurunkan skuad pertamanya termasuk penyerang Senegal kelahiran Perancis yang baru menandatangani kontrak, Demba Ba dan pemain midfield antarabangsa Belgium, Eden Hazard, semasa perlawanan di sini.

"Kami gembira dapat datang lagi ke Malaysia untuk kali ketiga selepas kejayaan dua lawatan sebelum ini pada 2008 dan 2011. Kami harap peminat bola sepak Malaysia akan menikmati perlawanan ini dengan barisan pemain-pemain yang hebat yang kami ada," katanya kepada pemberita semasa mengumumkan perkara itu di sini, hari ini.

Katanya pasukan kendalian Benitez akan mengadakan perlawanan persahabatan lebih awal dengan Thailand All-Star XI pada 17 Julai di Bangkok sebelum menamatkan jelajah ini menentang Indonesia XI pada 25 Julai di Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta.

 Gourlay berkata, semasa lima hari pasukan itu di sini, para pemainnya akan melibatkan diri dalam beberapa program kemasyarakatan dengan beberapa rumah amal terpilih.

Sementara itu, Pengarah Urusan ProEvents International, San Boon Wah berkata, tiket bagi menyaksikan perlawanan itu akan mula dijual pada Mei.

"Kita masih belum memutuskan butiran lanjut mengenai penjualan tiket..kami akan mengumumkannya sebaik sahaja, kami membuat keputusan muktamad," katanya.

San menjangka jualan tiket bagi perlawanan tahun ini akan meningkat berbanding kira-kira 55,000 tiket dan 85,000 tiket masing-masing bagi 2008 dan 2011 yang habis dijual.

ProEvents International adalah penganjur eksklusif bagi Jelajah Asia Chelsea FC 2013.- Bernama

Rooney Puji Kagawa

Wednesday, March 6, 2013

BINTANG Manchester United, Wayne Rooney memuji aksi mantap dipamerkan Shinji Kagawa ketika menumpaskan Norwich City, Sabtu lalu.

Pemain tengah Jepun itu melakukan hatrik untuk kemenangan besar 4-0 sekali gus mengukuhkan penguasaan The Red Devils di persada Liga Perdana Inggeris (EPL).

"Shinji seorang pemain yang fantastik. Lariannya begitu bagus dan pantas mengambil peluang yang ada. Sentuhan penyudah beliau cukup berkesan.

"Gol itu mungkin menjadi aksi terbaik baginya, tetapi saya percaya Shinji boleh mencetak lebih banyak jaringan selepas ini," katanya.

Bekas tonggak utama pasukan Borussia Dortmund itu berjaya mengukir nama sebagai pemain Asia pertama cipta hatrik dalam saingan EPL setakat ini.

Tersenarai Jua Nama Piya Dalam Skuad Negara

KHABAR gembira buat Ketua Pasukan The Red Warriors, Mohd Badhri Radzi apabila namanya tersenarai untuk menyertai latihan bersama skuad kebangsaan bagi menghadapi pusingan kelayakan Piala Asia 2015 bertemu Yaman di Kuala Lumpur, pada 22 Mac ini.

Setelah begitu lama tersisih, akhirnya jeneral padang berusia 31 tahun itu dipilih oleh pengendali skuad Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal untuk kembali menyarung  jersi kebangsaan bagi menghadapi kempen tersebut.

Namun pemain yang lebih mesra dengan panggilan Piya itu sekadar menunjukkan aksi bersahaja dan mengambil sikap untuk ‘mengunci mulut’ apabila diberitahu mengenai perkhabaran tersebut.

“Maaf saya tidak mahu mengulas lanjut dan tidak mempunyai jawapan mengenai perkara ini,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada sesi latihan menjelang aksi perlawanan peringkat kumpulan G, Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), semalam.

Kali pertama dan terakhir kapten yang membantu Kelantan menjulang tiga piala musim lalu itu menyarung jersi kebangsaan ialah ketika membantu skuad Pilihan Malaysia di bawah bimbingan Ong Kim Swee berdepan Chelsea dalam aksi persahabatan di Kuala Lumpur dua tahun lalu.

Nwakaeme Janji Aksi Terbaik Untuk Kelantan

PENYERANG import baru Kelantan, Dickson Nwakaeme bertekad membantu pasukannya meraih tiga mata apabila bertemu wakil Maldives, Maziya Sports and Recreation (Maziya SR) dalam aksi pembuka tirai kumpulan G, Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Nwakaeme berkata, beliau berjanji akan pamer persembahan terbaik setelah diberi peluang oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) bagi menggantikan seorang lagi pemain import, Keita Mandjou beraksi dalam kempen tersebut.

“Saya kini berada dalam prestasi terbaik. Misi peribadi saya bantu Kelantan raih tiga mata penting pada perlawanan sulung ini sebagai hadiah pertama saya kepada penyokong setia The Red Warriors,” katanya.

“Saya beritahu anda, kemenangan pasukan sentiasa jadi keutamaan, tiada kepentingan peribadi apabila saya memasuki padang. Sama ada saya atau rakan sepasukan lain, siapa yang menjaringkan gol itu tidak penting.

Penyerang berusia 27 tahun itu berkata, ini merupakan penampilan pertama beliau di pentas antarabangsa setelah terlepas berbuat demikian dalam kempen Piala AFC musim lalu ketika mewakili kelab dalam Liga Vietnam, Song Lam Nghe An FC.

“Saya tiada masalah berlatih bersama pasukan ini. Sudah tiga minggu di bawah bimbingan jurulatih (Bojan Hodak), saya boleh sesuaikan diri dengan corak latihan selain rakan sepasukan juga banyak membantu.

“Saya tahu peminat di sini meletakkan harapan tinggi setelah aksi saya dalam dua perlawanan persahabatan ketika menentang Semen Padang FC dan Felda United FC mendapat pujian. Namun saya tidak mahu tertekan, yang pasti saya akan cuba berikan terbaik malam esok,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai gandingannya bersama pemain bawah 23 tahun Australia, Dimitrios Pertratos, pemain kelahiran Lagos itu berkata, beliau tidak menghadapi masalah untuk bermain bersama pemain tersebut.

Pengadil Seharusnya Seadilnya - Bersifat Terbuka

Sunday, February 24, 2013

BEKAS pemain bola sepak negara, Khalid Ali yang menyokong tindakan Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegur Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai mutu pengadilan Liga-M menyifatkan badan induk bola sepak itu seharusnya mengambil iktibar dan berusaha meningkatkan industri bola sepak negara.

Sambil menyifatkan apa yang diperkatakan Presiden Persatuan tindakan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) bukti jelas FAM memang berada dalam keadaan kurang memuaskan, Khalid berkata, FAM tidak boleh terus menghukum seseorang.

Sebaliknya katanya, FAM perlu bertindak dengan melakukan lebih banyak program untuk melahirkan pengadil perlawanan terbaik.

“Mungkin FAM perlu membuat seminar kepada pengadil di Malaysia. Apa yang penting FAM perlu bertindak dari sekarang.
“Saya akan menyokong mana-mana pihak yang berani memberi cadangan serta teguran kepada FAM kerana ia menunjukkan mereka mahukan kebaikan demi industri bola sepak negara. Ini kerana, kalau orang luar tak boleh
kritik, orang berpangkat tinggi pun tak boleh kritik, siapa lagi yang boleh kritik,” katanya.

Tambah Khalid, “FAM seharusnya lebih terbuka menerima teguran dan kritikan kerana sedikit sebanyak, ia membantu menambah baik persatuan itu, dan bukan sebaliknya apabila terus menjatuhkan hukuman ke atas pihak yang membuat teguran.”

“Kita duduk dalam negara yang menggunakan sistem demokrasi. Bermakna kritikan itu dibenarkan dan (kritikan) perlu untuk menambah baik satu-satu institusi,” katanya. Mengulas lanjut, Khalid berkata, “cukup-cukuplah.”

“Semua orang sudah penat dengan isu gantung ini. Kritikan tidak merugikan sesiapa pun, bagi saya kritikan yang dibuat oleh Datuk Seri Shahidan Kassim, Tunku Ismail dan Tan Sri Annuar Musa tidak membawa maksud apa-apa.

“Mereka cuma berasa bertanggungjawab terhadap persatuan itu, jadi mereka bersuaralah,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Akademik Kejurulatihan Kebangsaan, Dr Balbir Singh Gill turut bersetuju dengan beberapa kenyataan mengenai mutu pengadilan dilihat semakin merudum.

“Sebenarnya ini isu lama yang sering menjadi bahan bualan ramai terutamanya penonton kerana mereka dapat menilai sendiri mutu pengadilan dipamerkan oleh barisan pengadil di Liga Malaysia.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar FAM menubuhkan satu jawatankuasa pengadilan bagi menangani permasalahan tersebut.

“Saya rasa jawatankuasa ini mampu meneliti, mengkaji dan berbincang mengenai mutu pengadilan yang dipertikaikan oleh pelbagai pihak.

“Mereka perlu duduk berbincang bersama-sama bagi mencapai satu standard yang memuaskan untuk mencari jalan penyelesaian,” katanya.

Menangani Gejala Rasuah Dan Judi Bola


KEMENTERIAN Belia dan Sukan sedia memberi bantuan dan kerjasama kepada Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) bagi menangani gejala rasuah dan judi bola sepak serantau.
Menterinya Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata rasuah dan judi bola sepak merupakan jenayah yang merentasi sempadan dan tidak boleh bergantung harap kepada sebuah negara sahaja bagi menangani gejala itu.
Katanya tindakan AFC yang menubuhkan pasukan bertindak untuk memerangi dan membanteras rasuah bola sepak dan mengatur keputusan perlawanan adalah sangat wajar.
"AFC telah mengambil langkah yang wajar dan kita bersedia membantu bila-bila masa yang diperlukan," katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan Baucar Buku 1Malaysia dan Pelancaran IM4U Outreach Centre di Universiti Sultan Zainal Abidin di sini.
Menurutnya judi bola sepak pada kebiasaanya beroperasi melalui Internet dan ada sebahagian sistem yang digunakan agak rumit dan memerlukan kepakaran pihak polis antarabangsa bagi menanganinya.
Ahmad Shabery berkata Malaysia merupakan sebuah negara yang tegas dalam soal membanteras rasuah dan pertaruhan bola sepak yang dengan kerjasama semua pihak ia mampu dilumpuhkan.
"Jika perkara seperti ini berleluasa di negara kita, orang ramai akan hilang kepercayaan dan sekaligus boleh merosakkan industri bola sepak tanah air.
"Negara lain juga turut menghadapi perkara yang sama, namun Malaysia belum sampai ke peringkat yang lebih parah," katanya.
Semalam AFC dilapor telah menubuhkan pasukan bertindak untuk memerangi dan membanteras gejala rasuah bola sepak dan mengatur keputusan perlawanan.
Setiausaha Agung AFC, Datuk Alex Soosay dalam satu kenyataan berkata pasukan bertindak itu akan bekerjasama dengan semua pemegang kepentingan dan memberi tunjuk ajar kepada ahli gabungan AFC mengenai cara membanteras amalan berkenaan dengan memperkenalkan mekanisme memeranginya.
Awal bulan ini, agensi anti jenayah Eropah menyatakan keputusan ratusan perlawanan bola sepak sudah diatur di seluruh dunia melalui sindiket di Singapura. - Bernama

Darren Tidak Gentar - All England

MESKIPUN berdepan laluan sukar dalam Kejohanan All England bulan depan, pemain perseorangan kedua negara, Liew Daren tetap optimis untuk menghadapi cabaran itu.

Menurutnya, prestasi semasa tidak boleh dijadikan penentu kemenangan kerana dalam gelanggang apa sahaja boleh berlaku.

"Saya sudah menjangkakan perkara ini akan berlaku kerana saya turun sebagai pemain bukan pilihan.

“Sukar atau tidak, saya kena berdepan dengan cabaran itu dan memberi yang terbaik.

“Apa pun, saya akan beraksi sehabis baik kerana saya perlu mengutip mata untuk mencari tiket Kejohanan Dunia Ogos nanti," kata Daren ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya laluan sukar yang akan dilaluinya pada Kejohanan All England 2013.

Berdasarkan undian All England yang dikeluarkan baru-baru ini, Daren akan bertemu dengan pemain China yang kini menghuni tangga kelima dunia, Chen Jin manakala Wei Feng menentang Jan O Jorgensen dari Denmark (No 10) pada aksi pembukaan.

Mengulas mengenai undian itu, Daren berkata, "saya sudah bersedia dan tidak gentar berdepan pemain seperti mereka."

“Memang undian nampak sukar untuk saya kerana akan menentang pencabar yang berada dalam senarai kelompok 10 pemain terbaik dunia, tapi saya harus mencuba,” ujarnya.

Dalam pada itu, Daren turut menegaskan, kedudukannya untuk layak ke Kejohanan Dunia di Guangzhou, 5 hingga 11 Ogos ini belum terjamin sekalipun dilihat selesa menghuni ranking ke-12 dunia ketika ini.

"Belum terjamin 100 peratus. Kalau keputusan saya bagus, barulah tempat saya terjamin,” ujarnya lagi.

30 Bulan Digantung - Denda RM39 Ribu


PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim digantung 30 bulan dan dikenakan denda keseluruhan RM39,000.

Hukuman ke atas Shahidan berkuas kuasa selepas surat rasmi dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam tempoh 14 hari.

Hukuman diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib yang bersidang hampir tiga jam hari ini.

Ia turut menetapkan Shahidan tidak boleh mengemukakan rayuan.
Perkara itu diumumkan  sendiri oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Ednan Othman.
"Jawatankuasa Tatatertib yang bersidang menganggap Shahidan menghina FAM kerana enggan memberi maklum balas surat yang dikemukakan badan induk itu, dan disebabkan itu beliau perlu membayar RM1,000 bagi tuduhan pertama.

"Beliau juga didenda RM20,000 kerana mengeluarkan kenyataan akhbar yang menyalahi Artikel 88.

"Pertuduhan ketiga beliau digantung minimum dua tahun enam bulan beserta RM10,000 atas kesalahan tatatertib Perkara 18.5 dan RM8,000 atas kesalahan bercanggah,"  kata Ednan pada sidang media Jawatankuasa Tatatertib di Wisma FAM, hari ini.

Hukuman itu diputuskan selepas jawatankuasa mendapati Shahidan bersalah membuat kenyataan yang menyentuh pentadbiran FAM, sekali gus melanggar Artikel Statut 88.

Menurut Ednan, sepanjang tempoh penggantungan tersebut, Shahidan tidak boleh  terlibat dalam sebarang aktiviti bola sepak.

Ini bermaksud Shahidan hilang status sebagai Presiden PFA.

"Dan, ia akan berkuat kuasa selepas FAM mengeluarkan surat kepada Shahidan dalam tempoh 14 hari," jelas beliau.

Betul Ke Malaysia Ada Peluang!

MESKIPUN skuad Harimau Malaya kalah dalam saingan pertama Piala Asia 2015 Kumpulan D kepada Qatar pada Rabu lalu, peluang untuk mara ke pusingan akhir di Australia sebenarnya masih terbuka.

Perlawanan kedua berdepan Yemen yang menghuni ranking 165 dunia pada 22 Mac depan harus dimanfaatkan sebaik mungkin pemain kebangsaan bagi mengelak mengundang kritikan pedas peminat tempatan.

Selepas gagal mempertahankan gelaran Piala AFF Suzuki tahun lalu, misi layak ke pusingan akhir peringkat Asia secara automatik menjadi sasaran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Cuma menjadi persoalan, bolehkah pasukan negara menyaingi kehebatan negara yang sinonim dengan panggilan Pak Arab yang rata-rata bertubuh sasa dan memiliki corak permainan pantas.

Apa pun, Rajagobal harus memastikan tiga mata perlu diraih ke atas Yemen kelak tanpa memberi alasan yang tidak munasabah memandang kita mempunyai Liga Malaysia yang terdiri daripada pemain berbakat seluruh negeri, cuma tidak diberi ruang mempamerkan
permainan di atas padang dalam kem kebangsaan.

Bahkan, ranking pemain Harimau Malaya yang lebih baik (kedudukan 158 dunia) sepatutnya pemangkin semangat mencatat kemenangan sekali gus kembali membuka persaingan merebut slot dari Kumpulan D yang juga disertai Bahrain.

Rekod pertemuan terakhir menunjukkan, Malaysia menumpaskan Yemen 2-0 pada 2010.

Kali terakhir Malaysia bertemu Bahrain adalah pada pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2010 pada 2007 di mana Malaysia seri tanpa jaringan di Shah Alam sebelum tewas di tempat lawan 4-1.

Pada peringkat Kelayakan Piala Asia 2011, Malaysia terkandas selepas diundi bersama Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Uzbekistan.

Tolong Jangan Pecat Mancini

BEKAS pemain Manchester City, Mario Balotelli tampil mempertahankan Roberto Mancini yang dikatakan bakal dipecat sebaik sahaja kempen EPL berakhir, musim ini.

Meskipun hubungannya dengan pengurus berusia 48 itu renggang, namun Balotelli tetap menganggap Mancini sebagai salah seorang jurulatih terbaik dunia.

“Mancini jurulatih terbaik. Paling penting pemain senang dengannya. Jika anda tanya kepada pemain, siapa yang mereka mahukan? Sudah tentu jawapannya Mancini.

"Dia bukan sekadar jurulatih tetapi dia juga seorang sahabat,” katanya yang kini menyarung jersi AC Milan.

Masa depan Mancini di Etihad semakin samar selepas kelab itu tersingkir di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah.

The Citizens juga bertungkus- lumus mempertahankan trofi kejuaraan EPL yang turut dilihat mustahil, apabila ketinggalan 12 mata dari Manchester United yang kini menghuni tangga teratas liga.

“Lihat kejayaan dibawa Mancini ke kelab itu. City muncul juara Piala FA selepas 40 tahun. Alex Ferguson pun tidak pernah menang trofi setiap tahun, tetapi dia sering kembali dengan sesuatu yang amat bernilai,” katanya.

Tunggu surat FAM, baru komen - Kafa

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengambil pendirian tunggu dan lihat berhubung hukuman denda dikenakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ke atas mereka.

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa berkata, setakat ini beliau tidak dimaklumkan apa-apa mengenai hukuman denda RM62,500 yang dijatuhkan oleh badan induk bola sepak kebangsaan itu berhubung kesalahan dilakukan Kelantan.

“Saya cuma baca berita ini menerusi blog dan surat khabar. Oleh sebab perkara ini melibatkan peraturan dan sebagainya, saya rasa langkah yang betul kita lakukan ialah tunggu dan lihat sahaja.

“Kita kena tunggu surat rasmi FAM. Saya tak tahu apa-apa, kalau nak tahu kena tanya jawatankuasa (Jawatankuasa Tatatertib FAM) terbabit,” katanya, semalam.

Pendirian yang diambil oleh tokoh bola sepak Kelantan itu bertujuan untuk tidak mahu mengeruhkan keadaan dan hanya bersedia mengeluarkan kenyataan setelah mendapat surat rasmi daripada pihak FAM.

Kelmarin, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Ednan Othman mendapati Kelantan bersalah di atas empat pertuduhan yang dikenakan ke atas mereka walaupun pasukan tersebut menafikannya.

Pertuduhan tersebut dikenakan ke atas Kelantan berdasarkan kesalahan yang dilakukan oleh pasukan tuan rumah itu ketika aksi perlawanan Liga Super menentang Johor Darul Takzim di Stadium Sultan Muhammad IV pada 15 Januari lalu.

Azlan mulakan kempen musim 2013

Saturday, February 23, 2013

PELUMBA negara, Azlan Shah Kamaruzaman memulakan saingan SuperSports 600cc Kejuaraan Motosikal Asia Petronas (ARRC) musim 2013 dengan catatan cemerlang apabila meraih masa terpantas sepanjang dua hari sesi ujian pra-musim di Litar Antarabangsa Sepang yang berakhir, semalam.

Azlan dari pasukan MUSASHI Boon Siew Honda Racing mempamerkan prestasi cemerlang dengan melakukan catatan 1:05.337s.
“Keputusan sepanjang dua hari di Sepang ini cukup positif. Ia permulaan yang baik untuk memulakan saingan pusingan pertama ARRC hujung April nanti, juga di litar ini.

“Jentera saya berada dalam keadaan bagus. Kami guna banyak bahagian baru dan menghasilkan keputusan cukup memberangsangkan,”katanya.


Hadiah Untuk Sultan Kelantan - Piala Malaysia


KOTA BHARU - Kejayaan pasukan Kelantan merangkul kejuaraan treble musim ini akan dijadikan hadiah istimewa kepada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sempena ulang tahun keputeraan baginda yang akan disambut pada 11 November ini.

Naib Presiden, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Rosmadi Ismail berkata, kejuaraan merangkul tiga piala merupakan sejarah baru dalam dunia bola sepak Kelantan, dan ia seharusnya dikongsi bersama Sultan Kelantan bagi menghargai sokongan baginda selama ini.

"Kami juga ingin berterima kasih kepada semua penyokong di atas sokongan yang diberikan kepada pasukan ini setiap tahun, sama ada semasa beraksi di Kota Bharu mahupun di seluruh negara," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kemenangan merangkul Piala Malaysia, Rosmadi berkata, kejayaan tersebut melengkapkan kegemilangan bola sepak Kelantan tahun ini selepas meraih Piala FA dan Liga Super.
Beliau berkata, kejayaan tersebut adalah hasil kerjasama semua barisan pemain dan jurulatih serta sokongan padu para penyokong.

Menurutnya, kejayaan tersebut cukup bermakna buat seluruh pemain dan peminat setia The Red Warriors selepas mengharungi tentangan sengit dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

"Kejayaan ini akan menjadi pembakar semangat kepada pemain untuk meneruskan kecemerlangan pada musim hadapan," katanya.
Dalam pada itu, lebih 10,000 peminat setia The Red Warriors (TRW) berhimpun di pekarangan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), untuk menyambut kepulangan skuad kesayangan rakyat Kelantan tersebut.
Walaupun penerbangan mereka ditunda beberapa kali, tetapi penyokong tetap setia menunggu dan tidak berganjak demi melihat wajah-wajah wira kesayangan mereka.
Penyokong mula memenuhi LTSIP bermula jam 2 petang, dan sebahagian daripada mereka sanggup menunggu di bahu jalan raya di sepanjang lapangan terbang tersebut iaitu kira-kira tiga kilometer semata-mata demi TRW.
Tiba pada jam 6.45 petang, kepulangan mereka disambut oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussain serta Bendahari Umno Negeri, Datuk Hanapi Mamat.
Skuad kendalian Bojan Hodak itu kemudian dibawa menaiki bas menuju ke Kelantan Trade Center (KTC) untuk menghadiri majlis ringkas, diiringi oleh pasukan konvoi motosikal berkuasa tinggi dan beberapa kenderaan pacuan empat roda.
Sepanjang perjalanan menuju ke KTC mereka diraikan dan disambut oleh para penyokong yang berbaris di sepanjang laluan, dari LTSIP ke sana sambil mengibarkan bendera negeri dan TRW sebagai tanda sokongan kepada pasukan.
Sementara itu, seorang penyokong setia Kelantan Rohana Mokhtar, 45, menyifatkan kejayaan treble yang dilakar oleh skuad bimbingan Hodak cukup membanggakan.
"Ini kali pertama kita menjulang kejuaraan treble dan kejayaan ini cukup bermakna buat seluruh penyokong setia The Red Warriors.
"Saya akui perlawanan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) cukup sengit, walaupun tanpa Mohammad Ghaddar dan Norfarhan kita masih mampu melakar kejayaan," katanya yang sanggup menunggu selama empat jam untuk merakamkan gambar kenangan bersama skuad Kelantan tersebut.
Seorang lagi penyokong, Abdul Aziz Johani, 14, berkata, kejayaan menjulang kejuaraan treble, bakal menjadi kenangan terindah buat seluruh rakyat di negeri ini.
"Sejarah ini akan dikenang sampai bila-bila kerana bukan mudah untuk berada pada tahap ini, dan saya berharap kita dapat mengekalkan kejuaraan ini pada musim hadapan," katanya.
Wan Azyyati Wan Omar,27, berkata, walaupun terpaksa menunggu lama iaitu seawal tengah hari dan hampir jam 7 malam, baru berpeluang melihat wajah wira kebanggaan tetapi ia cukup menggembirakan dirinya.
"Syabas dan tahniah buat seluruh pemain, pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dan penyokong setia di atas kejuaraan ini," katanya.
Sila Like Kami di Facebook.
 
Support : Your Link | Careeron9 | OhGosip Artis
Copyright © 2013. DinKlate - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger About Me .