Kumpulan yang aktif awal tahun ini hanya menyasarkan rumah mewah memiliki kenderaan mewah seperti BMW, Audi dan Honda.
Kenderaan tersebut akan dibawa ke negara jiran untuk dijual pada harga antara RM30,000 dan RM40,000 sebuah.
Mereka akan bergerak pada waktu malam dengan bersenjatakan parang dan pistol.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, kegiatan kumpulan ini bagaimanapun disekat selepas dua lelaki ditahan di Manjalara, Kepong, 17 Februari lalu.
Katanya, polis merampas sebuah kereta Honda Civic yang dilaporkan curi di Bandar Sri Damansara, 11 Februari lalu.
Arjunaidi berkata, seorang lelaki ditahan di Selayang dan dua kereta mewah jenis Audi dirampas.
“Siasatan mendapati sebuah kereta Audi itu milik mangsa sama yang melaporkan kehilangan kereta Honda Civic berkenaan.
“Pada awalnya penjenayah melarikan Honda Civic dan datang semula empat hari kemudian untuk melarikan Audi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, semalam.
Beliau berkata, susulan itu, polis menahan tiga lagi lelaki dan merampas pisau, parang, kunci dan geran kenderaan dalam serbuan di Desa Jaya, Kepong, Isnin lalu.
“Kumpulan ini aktif melakukan kegiatan samun di Petaling Jaya, Lembah Klang dan kemungkinan di Perak,” katanya.
Arjunaidi berkata, semakan mendapati dua suspek memiliki rekod jenayah lampau membabitkan jenayah samun dan dikehendaki selepas gagal menghadirkan diri di mahkamah.
“Salah seorang suspek pula pernah melarikan diri dari sekatan polis dan meninggalkan kereta curi BMW di Pantai Remis, Perak pada pertengahan Januari lalu. Dia tertinggal kad pengenalan di dalam kenderaan tersebut,” katanya.
Semua suspek berusia dalam lingkungan 28 hingga 37 tahun ditahan reman sehingga Sabtu ini untuk siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
0 ulasan:
Post a Comment