Walaupun mereka terpaksa menempuhi pelbagai rintangan dan halangan ketika memulakan kerjaya masing-masing namun, tiga selebriti yang dianggap otai iaitu Raja Azura, Adnan Abu Hassan dan Siti Hajar tetap berhati waja.
Ketika ditemui dalam majlis Pelancaran Kilauan Emas 3 baru-baru ini, Zass sempat bertanya mengenai perkembangan kerjaya mereka untuk dikongsi bersama peminat.
Menelusuri perjalanan hidup mereka yang bermula dengan minat mendalam terhadap dunia seni, tidak semuanya semanis yang disangkakan.
Dunia penuh glamor itu sebenarnya penuh dengan risiko jatuh naik dalam kehidupan mereka.
Namun, kegagalan tidak bermakna mereka tidak mampu bangun untuk terus memperjuangkan nasib mereka, bahkan kini mereka berbangga dengan apa yang dikecapi.
Kini, mereka masih teguh bertapak dalam dunia seni, malah khidmat mereka sering menjadi buruan bagi membentuk generasi artis yang boleh menjadikan hiburan lebih bersinar.
Jom intai perkembangan terkini mereka!
Fokus radio, pengacara
Siapa tidak mengenali Raja Azura atau Kak Engku yang sangat petah berbicara sama ada sebagai pengacara atau deejay di konti radio.
Kepetahannya berbicara di Radio Sinar FM sering mengundang kelucuan kepada pendengar dengan telatah ceria dan lelucon yang mencuit hati.
Namun, ramai yang bertanya-tanya adakah Kak Engku tidak merindui dunia lakonan yang suatu ketika dahulu menjulang namanya di persada seni.
Malah, kemunculannya dalam siri drama Pendekar di TV3 suatu ketika dahulu mendapat perhatian ramai walau ramai yang mengkritik lakonan kakunya.
Tetapi, bijak menyesuaikan diri dan memperbaiki mutu lakonannya menyebabkan drama bercorak seni mempertahankan diri itu berjaya menambat hati penonton.
Bermula dengan itu, Kak Engku telah mencipta identitinya sendiri sebagai pelakon aksi seni kerana ketangkasannya bersilat.
Setelah berjaya mencipta nama menerusi televisyen, namun Kak Engku mula berjinak dengan lakonan teater yang dianggapnya sangat mencabar.
Kini, semuanya tinggal sejarah apabila Kak Engku mengundur diri dalam dunia lakonan kerana ingin menumpukan sepenuh perhatian kepada kerjaya pengacara dan deejay.
“Saya bukan demand bayaran tinggi, tapi hakikatnya bayaran untuk lakonan adalah rendah dan ia merupakan salah satu sebab saya meninggalkan dunia lakonan.
“Lagipun saya ingin fokus sebagai kerjaya tetap sebagai penyampai radio kerana jadual lebih teratur,” kata Raja Azura.
Cari pelawak wanita
Seperti yang kita ketahui, selain mengacara program Kilauan Emas 3 dan rancangan Primadona, Kak Engku turut terlibat dalam progran Bintang Mencari Bintang yang bakal disiarkan di TV3 nanti.
Katanya, dunia hiburan sekarang ketandusan pelawak wanita yang berbakat kerana kurang pendedahan atau tiada platform mereka mengembangkan bakat.
“Dengan adanya program seperti ini, wanita di luar sana lebih berani untuk tampilkan diri mereka kerana mereka akan diberi didikan untuk berlawak.
“Sebenarnya ada di antara mereka kurang yakin dengan kemampuan mereka sehingga takut untuk menghadiri pencarian bakat seperti ini,” tutur Raja Azura.
Menurutnya, zaman 80-an dahulu, ramai pelawak wanita muncul seperti Wan Maimunah, Didie Alias atau Khatijah Tan.
“Namun kali ini, saya mahu empat pelawak yang bakal menjadi pelajar saya berkebolehan untuk berkomedi dan menyanyi.
“Kesemuanya harus wanita dalam lingkungan umur 20 hingga 28 tahun yang tahan maki dan bebelan saya,” katanya dalam nada bergurau.
Perjuangkan industri muzik
Jika Raja Azura terkenal dengan mulut kepohnya, personaliti kedua amat dikenali dalam dunia muzik kerana ciptaan lagu-lagunya yang sangat merdu.
Antara lagu ciptaan Adnan Abu Hassan yang dianggap berhantu seperti Jerat Percintaan, Bunga-bunga Cinta, Hitam Putih Kehidupan atau Puncak Kasih yang pernah memenangi Lagu Terbaik di Anugerah Juara Lagu.
Beliau yang boleh dianggap sifu merupakan seorang penerbit rakaman, penggubah lagu, penulis lirik, penyanyi dan pemuzik yang sangat berpengaruh di Malaysia.
Malah kejayaan itu berjaya menobatkannya untuk memenangi Anugerah Wirama pada 2010 di Anugerah Industri Muzik ke-17 mengenang jasanya dalam bidang rakaman.
“Bakat dan minat perlu seiring jika mahu berjaya, malah ketika berusia enam tahun lagi saya sudah boleh bermain gitar dan piano.
“Selain itu, hasil dari kerja keras berlatih bermain muzik saya berjaya mendapat pelbagai anugerah sejak kecil lagi,” katanya.
Kagum semangat veteran
Berbicara penglibatan Adnan dalam program Kilauan Emas 3, yang kembali menemui orang ramai nanti, beliau seronok dengan semangat warga emas yang datang untuk uji bakat.
“Walaupun penat, tetapi saya rasa puas dan seronok kerana mereka sangat berbakat dan komited dalam uji bakat ini.
“ Malah saya berhadapan dengan pelbagai kerenah yang hadir, ada yang bertongkat atau berkerusi roda untuk menghadiri sesi pemilihan,” kata Adnan.
Katanya, antara pengalaman yang tidak mungkin dilupainya apabila seorang peserta yang berusia 60-an menyanyi lagu Jazz dengan penuh perasaan.
Kagum dengan semangat yang ditunjukkan golongan warga emas itu kerana mereka mempunyai pengalaman dalam bidang nyanyian walau ia sekadar mengisi masa luang sahaja.
“Ramai yang berbakat dan boleh menyanyi. Malah saya kagum dengan bakat yang dimiliki mereka,” katanya.
Pengalaman pertama
Sementara itu, bagi personaliti ketiga yang lebih banyak terlibat di belakang tabir dengan mengajar vokal peserta merupakan pertama kali terlibat dengan program Kilauan Emas.
Menurut Siti Hajar, golongan veteran mungkin sukar untuk dibentuk semula kerana ada di antara mereka mempunyai pengalaman dalam nyanyian lebih lama darinya.
Namun, baginya, ia merupakan satu cabaran baru dan tidak sabar untuk melihat sendiri sepanjang proses tersebut berlangsung.
Dalam program itu, Siti Hajar memikul tanggungjawab sebagai guru vokal, mungkin berhadapan dengan sedikit masalah.
“Dari pemerhatian saya, mereka mempunyai pengalaman malah ada identiti tersendiri mungkin memberi sedikit kesukaran.
“Namun, saya tidak menganggap ia satu beban kerana sebagai guru vokal kita boleh membantu mereka agar memenuhi apa yang program ini mahukan,” katanya.
Katanya, antara Akademi Fantasia dengan Kilauan Emas, lebih mudah untuk saya memberi tunjuk ajar kepada pelajar lebih muda.
“Mereka yang lebih tua sudah mempunyai identiti sendiri jadi agak sukar untuk perbaiki atau membentuk kembali acuan tersebut,” kata Siti Hajar.
Terpaksa lupakan nyanyian
Mengimbau kembali perjalanan seni Siti Hajar, minatnya terhadap muzik mendorong beliau terjun ke dunia hiburan.
Berbekalkan pelajaran dan ilmu dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam jurusan Muzik (1984-1988) dan Ijazah Sarjana Muda Muzik (Vokal), pada mulanya Siti Hajar ingin bergelar penyanyi.
"Tetapi pensyarah saya menyarankan agar saya menjadi guru vokal kerana kecenderungan saya mencari kelemahan orang.
"Mungkin ia bakat saya dan lama kelamaan saya menerima cadangan tersebut," katanya.
Ketika itu, ramai rakan kelasnya memilih untuk bergelar penyanyi dan ia merupakan pencetus untuk Siti Hajar bergelar guru vokal.
Kini, beliau dipertanggungjawab untuk membantu dan melatih pelajar dalam aspek teknikal seperti teknik pernafasan, lontaran suara dan penyesuaian nada suara dalam melakukan persembahan.
0 ulasan:
Post a Comment