Akibat sering terpalit kontroversi dan khabar angin negatif, Norish dikatakan tidak menerima tawaran berlakon selama hampir enam bulan.
Terbaru, dia dituduh pula meruntuhkan rumah tangga kawan baiknya sendiri.
“Pada saya lebih banyak kita bercakap tentang kehidupan, kita akan mengingatkan diri kita juga untuk lebih terus kuat.
"Apabila kita berdakwah, sebenarnya kita merawat diri kita juga. Berdakwah itu tak semestinya tentang agama. Itu cara saya. Daripada menangis di rumah mengenangkan perbuatan manusia, nak buat apa,” katanya kepada Sinar Harian Online.
Menolak dikatakan terganggu dek tohmahan yang dilemparkan kepada dirinya, pelakon berusia 39 tahun ini tidak pernah menganggap perkara itu sebagai masalah.
“Jika orang potong tangan kanan, masih ada tangan kiri kan? Saya boleh melukis, menyanyi, memasak dan beri motivasi. Jadi tak ada masalah. Ia menjadi masalah jika kita anggap ia masalah.
“Biasalah ini industri. Bukannya industri yang bersih. Itulah liku-likunya. Tak ada masalah. Saya hanya bersuara kerana orang nak saya bersuara. Tetapi kalau orang nak tutup periuk nasi saya, itu tidak menjadi masalah besar sebab rezeki di tangan Tuhan,” katanya.
Dalam pada itu, statusnya sebagai ibu tunggal turut menjadikan pelakon kelahiran Singapura ini kuat menghadapi dugaan.
“Alhamdulillah saya dipilih ALLAH untuk menjadi mangsa, bukan saya yang buat orang. Cuma, sebagai ibu tunggal, kita nak kena bertungkus-lumus jugalah.
“Itu yang buat saya kuat. Menjadikan saya contoh kepada ibu-ibu lain, sama ada ibu tunggal atau tidak, saya adalah contoh, saya mesti kuat. Peminat saya teramat ramai untuk saya berhenti atau mengalah begitu saja,” katanya.
Tidak menolak ketika dikatakan tidak menerima tawaran sejak kebelakangan ini, namun Norish tetap berpegang pada aturan rezeki dari ALLAH.
“Banyak tawaran, cuma mungkin apabila sampai pada satu tahap itu, orang itu terganggu dengan berita-berita ini kan.
“Tapi tak apalah sebab ada juga banyak yang bertembung dengan jadual katering saya. Kalau ada insya-ALLAH. Kalau ada rezeki tak ke mana,” katanya yang berhasrat untuk berlakon dalam filem lasak.
Bercakap soal rumah tangga, Norish akui dua kali mengalami kehidupan rumah tangga sudah cukup baginya.
“Dah dua kali mendirikan rumah tangga cukup. Dah ada empat orang anak, dua pun dah meninggal, kira dah enam kali mengandung dan melahirkan,” katanya.
Norish kini bahagia bersama empat anaknya, Muhammad Haqiem Armany, 14, Muhammad Hardy Amieran, 10, Puteri Hany Amanda, 9 dan Haq Lutfie Alexander, 2.
0 ulasan:
Post a Comment