Siti yang ditemui ketika Roadshow Dermagic Beautiful Stress-Free Skin Transformation di Alamanda semalam juga menafikan dakwaan-dakwaan yang mengatakan suaminya cedera parah.
"Sebelum ini suri rumah juga cuma bukan sepenuh masa. Saya bersyukur ALLLAH memberi nikmat kepada saya untuk menghabiskan masa bersamanya dan ALLAH masih lagi memberi peluang untuk saya terus bersama suami. Itu yang paling saya bersyukur," katanya kepada Sinar Harian Online.
Siti juga akui sebelum ini masing-masing sibuk dengan kerja hingga kurang masa bersama.
"Kalau tidak, masing-masing sibuk. Kami berjumpa apabila saya habis kerja. Kadang-kadang saya terpaksa keluar malam juga sebab ada 'show'.
"Jadi, apabila ALLAH menentukan terjadi sebegitu dan kita redha dan melaluinya. Sabar dan gembira menjaga suami," katanya.
Dalam pada itu, ketika ditanya tentang keadaan suaminya, Siti menafikan dakwaan mengatakan suaminya tidak boleh berjalan.
"Suami saya tidaklah cedera teruk sampai tak boleh bangun. Tidak. Suami saya boleh berjalan seperti biasa.
"Cuma, apabila tangan kanan dia yang patah, itu yang terhad sedikit pergerakannya. Nak makan, sayalah yang kena suap. Kalau dulu ketika dia sihat, saya yang minta dia suapkan saya, tetapi apabila tangan dia cedera, sayalah yang suapkan dia," katanya.
Kebelakangan ini, penyanyi Purnama Merindu ini kelihatan semakin aktif berinteraksi dengan peminatnya di laman mikro Twitter.
Peminatnya menulis mahu mengundi penyanyi cantik ini sebagai perdana menteri dalam Pilihan Raya Umum ke-13(PRU13).
"Itu saja mereka bergurau. Tak mungkinlah (jadi PM) mungkin maksud dia PM lain kot," ulas Siti sambil ketawa.
Dalam perkembangan lain, Siti merancang untuk mengeluarkan albumnya tahun ini.
"Saya pun dah tak sabar nak masuk studio. Selepas saya aktif semula pada bulan April nanti, saya akan duduk berbincang dengan pengarah muzik, Aubrey Suwito untuk album saya. Insya-ALLAH harap keluar tahun ini," katanya.
0 ulasan:
Post a Comment