Home » , » Teater Asmara Songsang - LGBT

Teater Asmara Songsang - LGBT

Written By Unknown on Wednesday, March 6, 2013 | 10:59 PM


Perhubungan sejenis antara lelaki dengan lelaki (gay), perempuan dengan perempuan (lesbian), hubungan dua hala (biseksual) dan mak nyah (transgender) atau lebih dikenali LGBT, boleh menjejaskan zuriat manusia.

Mengangkat kisah golongan beraliran songsang, teater muzikal Asmara Songsang yang dilakonkan oleh selebriti terkenal tanah air seperti Datuk Jalaluddin Hassan, Kamal Adli, Julia Ziegler, Radhi Khalid, Razak Ahmad dan Chef Yang Jamil yang berlangsung di Istana Budaya, 1 hingga 3 Mac lalu, dapat memberikan mesej dan pengajaran yang berguna kepada penonton.
Teater tersebut mengisahkan kisah tiga watak utama yang terlibat dengan aktiviti tidak bermoral itu, Latip (lakonan Yang Jamil), Nasir (Radhi Khalid) dan Karimah (Najua P Ramlee) yang terpengaruh dalam dunia gay dan lesbian.
Kehidupan seharian mereka dipenuhi dengan pesta liar dan minum arak yang menjadi santapan mereka setiap kali berlibur.

Tidak terkecuali, mereka turut mengadakan hubungan di luar tabii sesama mereka secara terbuka sehingga menimbulkan ketidakselesaan penduduk sekitar.
Amalan songsang yang mereka jalani telah menambat pelajar tingkatan dua, Nani yang ingin mengetahui kegiatan yang dilakukan kumpulan tersebut sehingga sanggup lari dari rumah untuk menyertai mereka.

Setiap malam, kumpulan itu akan mengadakan parti dengan memasang muzik yang sangat kuat dan bingit sehingga mengganggu penduduk manakala pada waktu siang pula mereka akan berarak mendesak kerajaan supaya menghalalkan kegiatan mereka.

Ternyata lakonan dan penghayatan pelakon amat berkesan kerana penonton turut teruja dengan persembahan mereka.

Tambah pula, aksi lincah pelakon dan penari diiringi muzik menjadikan pentas tersebut penuh dengan warna-warni.

Bagaimanapun kegiatan mereka mendapat perhatian Ustaz Firdaus (Razak Ahmad) dan Haji Salihin (Jalaluddin Hassan) yang mahukan mereka kembali ke pangkal jalan.

Namun nasihat yang diberikan ibarat mencurah air ke daun keladi kerana mereka enggan mendengar nasihat ustaz Firdaus malah menghina dan mencerca, sehingga penonton turut meluat dengan perangai mereka itu.

Di saat golongan LGBT itu terleka, Jamal (Kamal Adli) menyusup ke dalam kumpulan itu untuk menyiasat kegiatan mereka dan menyelamatkan ahli kumpulan tersebut, terutamanya Nani yang masih di bawah umur.

Pertelingkahan berlaku antara kumpulan itu dengan penduduk kampung apabila Mak Yah mahu Nani kembali ke sisinya, namun dihalang oleh Nasir kerana khuatir Nani akan melaporkan kepada polis mengenai aktiviti mereka.

Akhirnya, Nani berjaya diselamatkan oleh Jamal dan penduduk kampung.

Kumpulan LGBT pula meneruskan kegiatan mereka seperti biasa namun, kesemua mereka akhirnya meninggal akibat dipanah petir.

Percubaan pertama Julia & Yang Jamil  

Kemunculan sulung, Julia Ziegler dan Chef Yang Jamil, dalam teater muzikal ini memberikan seribu makna buat kedua-dua selebriti ini.

Bukan sekadar lakonan, mereka turut menyahut cabaran teater yang memerlukan mereka menari dan menyanyi dalam satu masa yang sama.
Bagi aktres jelita, Julia, bukan mudah untuknya membawa watak sebagai Safika yang berjuang habis-habisan untuk menentang  budaya LGBT.

"Pengalaman berlakon di luar dan di atas pentas sangat berbeza malah lebih mencabar.

"Kita tidak boleh salah langkah atau silap menuturkan perkataan kerana tiada ulangan atau rakaman yang dilakukan,

"Semuanya secara langsung dan kita harus bersedia dan menghayati watak yang diberikan," kata Julia.
Sementara itu, bagi Chef Yang Jamil yang mungkin lebih dikenali dalam bidang masakan berkata wataknya sebagai lelaki lembut atau mak nyah ternyata menguji penghayatannya.

Namun, pengalaman berlakon drama sebelum ini banyak membantu dia untuk menghayati dan memahami wataknya itu.

"Alhamdulillah, saya berharap semuanya berjalan dengan lancar.

"Lagipun kami banyak melakukan latihan bagi memantapkan lakonan kami," kata Chef Yang.

Bakal difilemkan

Ternyata, teater yang berdurasi 1 jam 30 minit ini berjaya menyampaikan mesej dan pengajaran mendalam kepada penonton apabila panggung Lambang Sari itu dipenuhi penonton.

Bagi pengarah teater, Rahman Adam, skrip dan jalan cerita yang dihasilkan berdasarkan kisah benar, gejala songsang yang berlaku dalam masyarakat kita.

"Perkara ini harus ditangani semua pihak agar mereka sedar betapa bahaya budaya LGBT.

"Bandar-bandar besar di negara ini menjadi tempat utama gejala ini menular.

"Maka semua pihak berwajib mahupun orang ramai harus bersama-sama membanteras gejala yang tidak sihat ini," kata Rahman.

Justeru bagi memupuk kesedaran ramai, teater seperti ini akan dipentaskan lagi di beberapa tempat terutamanya golongan pelajar di sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Rahman berkata, pihaknya juga kini dalam perancangan untuk mempersembahkan teater tersebut di seluruh negeri terutama Kelantan yang amat dahagakan program sebegini.

Malah dia turut berpuas hati dengan hasil kerjasama produksi bagi pementasan teater ini.

"Komitmen dan penghayatan yang diberikan oleh pelakon dan kru pementasan harus dipuji kerana walaupun mereka berhadapan dengan sedikit masalah teknikal, namun mereka tetap meneruskan lakonan seperti biasa.

"Selepas kami mementaskan teater ini di semua negeri, Insya-ALLAH ia juga bakal difilemkan.

"Namun perkara ini masih dalam perbincangan," katanya.

Jangan pandang mudah: Datuk Fuad Hassan

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Datuk Fuad Hassan, walaupun bukan semua generasi muda terlibat dengan gejala tersebut, namun ia tidak boleh dipandang mudah.

"Mereka yang terjebak dengan aktiviti songsang disebabkan beberapa faktor seperti pergaulan, biologi dan persekitaran.

"Perkara ini dahulunya berlaku secara senyap tanpa kita sedari tetapi kini mereka lebih berani malah melakukannya secara terbuka," kata Fuad.

Tegasnya, gejala LGBT harus dihalang, tanpa mengenal bangsa dan agama. Pelbagai bentuk kesedaran haruslah dilakukan demi mencegah gejala ini dari terus menular kepada anak-anak kita. 

"Dialog-dialog psikologi perlu diperbanyakkan agar anak muda lebih terdedah dengan keburukan LGBT dan pendekatan ini ternyata lebih berkesan," katanya.

Kenali 10 Blogger Terbaik Malaysia

0 ulasan:

Post a Comment

Sila Like Kami di Facebook.
 
Support : Your Link | Careeron9 | OhGosip Artis
Copyright © 2013. DinKlate - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger About Me .