Home » , » Terkorban Kerana Pagar Elektrik Haram

Terkorban Kerana Pagar Elektrik Haram

Written By Unknown on Wednesday, March 6, 2013 | 1:10 AM

KUALA KRAI - Suruhanjaya Tenaga, semalam, mengarahkan bekalan elektrik ke sebuah rumah di Kampung Sungai Tias Luar, Dabong, dipotong susulan kejadian seorang warga Indonesia maut terkena renjatan pagar elektrik rumah itu, kelmarin.

Arahan pemotongan serta-merta sesalur bekal atau pada tiang servis yang menyalurkan bekalan elektrik ke rumah itu dibuat Eksekutif Suruhanjaya Tenaga Kelantan dan Terengganu, Wan Shukeri Wan Ismail.

Wan Shukeri berkata, tindakan itu diambil selepas pemeriksaan ke atas rumah terbabit mendapati penghuninya melakukan pengubah suaian dalaman pada papan suis utama dan pendawaian haram.

“Pengubah suaian ini menyebabkan tiada lagi sistem perlindungan daripada bekalan elektrik utama dan kejadian buruk boleh berlaku seperti litar pintas,” katanya selepas pemeriksaan ke atas rumah itu, semalam.

Turut serta, Pengawal Selia, Suruhanjaya Tenaga Kelantan dan Terengganu, Nik Mohd Bakry Nik Abu Bakar dan Juruteknik Tenaga Nasional Berhad (TNB) cawangan Kuala Krai, Wan Mahmood Wan Omar.

Sambung selepas pendawaian semula

Wan Shukeri berkata, penyambungan semula bekalan elektrik ke rumah itu hanya akan dilakukan setelah pemilik rumah membuat pendawaian semula menggunakan kontraktor elektrik berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga.

“Untuk buat pendawaian semula, pemilik rumah mesti dapatkan kelulusan dan selepas memastikan semuanya selamat, baru bekalan elektrik ke rumah ini boleh disambung semula,” katanya.

Menurutnya, orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuat pengubah suaian atau pendawaian secara haram, sebaliknya mematuhi prosedur ditetapkan Suruhanjaya Tenaga.

“Kalau ada pemasangan atau pendawaian berbahaya, kita boleh arahkan TNB potong bekalan dan jika siasatan lanjut menemui bukti kukuh, kita akan ambil tindakan seterusnya termasuk membawa kes ke mahkamah,” katanya.

Nampak tubuh mangsa tertiarap

Pada kejadian awal pagi kelmarin, seorang lelaki warga Indonesia berumur 33 tahun ditemui mati berhampiran rumah itu selepas terkena renjatan pagar elektrik yang disambung dari kediaman berkenaan.

Pagar dawai guna sambungan elektrik secara berbahaya itu dipercayai dipasang bagi menghalang binatang liar seperti babi hutan daripada memasuki kebun milik penghuni rumah terbabit.

Penduduk yang menemui mayat itu,  Wan Noor Nik Abdullah, 47, berkata, dia ternampak sekujur tubuh dalam keadaan tertiarap ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghantar anaknya ke sekolah, kira-kira jam 7.30 pagi.

“Saya tak masuk dekat dan hanya tengok dari tepi jalan saja. Saya kemudian pergi ke kedai dan beritahu penduduk kampung sebelum lapor pada polis.

“Waktu penduduk kampung datang, arus elektrik di pagar masih ada sebelum kami buang fius meter. Masa saya tengok mayat, badannya sudah lebam kehitam-hitaman dan jari tangannya mengecut,” katanya.

Menurutnya, mangsa dipercayai tersalah jalan dan memasuki laluan dipagari pagar elektrik itu ketika cuba untuk masuk ke sebuah kebun lain yang terletak di kawasan berkenaan.

Mangsa ada dokumen sah

Sementara itu, Ketua Polis Balai Polis Laloh, Sarjan Mejar Hamatli Seman ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.

Katanya, mangsa, Caharuddin berasal dari Bulukumba, Sulawesi Selatan, Indonesia dipercayai baru sampai di kampung itu, petang Sabtu lalu berdasarkan maklumat penduduk dan ada dokumen perjalanan yang sah.

“Mangsa ada dokumen sah masuk ke negara ini dan mayat masih di Hospital Kuala Krai. Saya sudah hantar faksimili kepada Kedutaan Indonesia memaklumkan perkara ini dan sedang tunggu jawapan mereka,” katanya.

Kenali 10 Blogger Terbaik Malaysia

0 ulasan:

Post a Comment

Sila Like Kami di Facebook.
 
Support : Your Link | Careeron9 | OhGosip Artis
Copyright © 2013. DinKlate - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger About Me .