PADA tahun lepas, dia menjadi fokus utama pada majlis Grammy Awards ke-54 apabila mendominasi dengan menang menerusi kesemua enam pencalonan yang diraihnya termasuk untuk kategori utama, Album Terbaik Tahun Ini dan Lagu Terbaik Tahun Ini.
Ketika itu dan pada kebiasaannya jika menghadiri majlis-majlis rasmi, dia akan muncul dalam busana berwarna serba hitam - dipercayai supaya tubuhnya kelihatan kurang gemuk.
Namun tidak lagi pada majlis Grammy Awards ke-55 yang berlangsung pada awal minggu lalu. Pelantun hit, Set Fire to The Rain yang menjulang trofi Anugerah Persembahan Solo Pop Terbaik itu muncul menggayakan gaun pendek bercorak bunga-bungaan berwarna merah rekaan Valentino
Biarpun ada kritikan yang melabelkan Adele seolah-olah memakai busana yang diperbuat daripada kain langsir, namun itu semua tidak menghalang dirinya daripada menjadi tumpuan ramai - sama seperti pada majlis Grammy pada tahun lepas.
Chris Brown
Bukan sekadar peminat dalam kalangan orang biasa, tetapi para selebriti ternama yang merupakan tetamu VIP Grammy pada tahun ini, semuanya tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengan Adele - seolah-olah dia adalah ikon pujaan mereka.
Jennifer Lopez dan Pitbull yang menjadi penyampai anugerah buat kemenangan Adele tidak melepaskan peluang untuk merakam kenangan menerusi foto ketika berada di belakang pentas.
Lain-lain bintang yang turut merakam kenangan menerusi foto dengan Adele termasuklah Kelly Clarkson, Beyonce, pasangan Justin Timberlake dan Jessica Biel serta tidak ketinggalan penyanyi bermasalah, Chris Brown.
Rupa-rupanya spekulasi sebelum ini mendakwa Adele dan Chris bergaduh pada majlis anugerah tersebut malam Ahad lepas tidak benar.
Spekulasi itu timbul ekoron foto yang dirakam menunjukkan seolah-olah Adele dan Chris sedang bertikam lidah.
Perkara itu dijelaskan oleh Adele sendiri menerusi Twitternya yang berbunyi: "Dalam foto tersebut, aku dan Chris Brown sebenarnya saling memuji antara satu sama lain."
Balas Chris pula menerusi Twitternya: "Saya baca tulisan kamu (Adele) dan itu yang paling penting. Terima kasih kerana memberitahu tentang apa yang benar."
Isu gemuk
Kemunculannya dengan tatu yang tertulis huruf A pada lehernya juga telah menimbulkan spekulasi mengenai anak sulungnya yang dilahirkan empat bulan lalu. Adele merahsiakan nama anaknya itu tetapi spekulasi bertiup kencang bahawa nama anaknya itu ialah Angelo.
Dalam pada itu, isu bentuk badan Adele yang berisi ketika muncul pada Grammy kali ini turut menjadi isu apabila Fox News telah menjemput seorang pakar pemakanan, Dr. Karen Gilbert bagi membincangkan tentang perkara itu menerusi siaran secara langsung pada 12 Februari lalu - dua hari selepas majlis anugerah tersebut berlangsung.
Bukan sahaja Adele, tetapi pemenang Anugerah Album Vokal Pop Terbaik pada Grammy kali ini, Kelly Clarkson turut sama dikritik berkaitan isu yang sama.
Karen menegaskan: "Kamu (penonton) semua boleh meneka apa sahaja tentang dua wanita cantik ini (Adele dan Kelly Clarkson), tetapi anda tidak akan benar-benar tahu sejauh mana badan mereka sihat sehinggalah kedua-duanya membuat pemeriksaan dengan doktor perubatan."
Perkara itu bagaimanapun tidak dihiraukan langsung oleh Adele dan Kelly yang sebaliknya berseronok menghadiri parti Sony Music Grammy Reception di Bar Niniteen 12, Beverly Hills, California yang meraikan kemenangan kedua-dua mereka yang sama-sama bernaung di bawah syarikat rakaman Sony Music. Pada parti itu, Adele kembali menyarungkan busana berwarna hitam.
0 ulasan:
Post a Comment