Home » » Red Warriors intai Aristide Bance

Red Warriors intai Aristide Bance

Written By Unknown on Wednesday, February 13, 2013 | 1:56 AM


EKORAN prestasi hambar jentera serangan The Red Warriors (TRW), Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) terus mengorak langkah memburu seorang lagi penyerang import berprofil tinggi bagi pasukannya.

Terbaharu, penyerang kebangsaan Burkina Faso, Aristide Bance disebut-sebut berada dalam radar Kelantan bagi memperkuatkan pasukan juara tiga piala itu mengharungi baki saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Ini perkukuhkan lagi menerusi kenyataan Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa, yang membayangkan kesediaan beliau mendapatkan seorang lagi penyerang import daripada benua Afrika apabila jendela pendaftaran pemain dibuka awal April nanti.

“Pemain ini masih mempunyai kontrak bermain dengan sebuah kelab. Saya baru mendapat laporan daripada ‘scouting’ dua hari lalu dan rundingan awal juga sudah pun dilakukan. Jika ini menjadi kenyataan, kita akan susun semula pemain import yang akan bermain untuk Liga-M dan Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia nanti,” katanya kepada Sinar Harian. 

Malah sumber dalaman Kafa turut mendedahkan nama penyerang yang berketinggian 1.93 meter itu turut dibincangkan dalam satu mesyuarat tertutup pihak pengurusan Kafa di Kota Bharu, baru-baru ini.

“Kita masih belum membuat keputusan mengenai Aristide Bance kerana ia melibatkan kos yang agak tinggi jika mahu membawa pemain ini ke Kelantan. Yang pasti namanya disebut dalam mesyuarat tersebut,” katanya.

Annuar sebelum ini menerusi laman sosialnya pernah menyatakan minat terhadap pemain kebangsaan Togo, Moustapha Salifou, 29 yang kini menyarung jersi Saarbrucken yang beraksi dalam Divisyen Tiga Jerman.

Bance dilahirkan di Abidjan, Ivory Coast sebelum berhijrah ke Burkina Faso dan abang iparnya juga merupakan pemain bola sepak profesional, Aruna Dindane. Beliau pernah mewakili kelab Al-Ahli Dubai dan FSV Mainz 05 (Jerman) antara tahun 2008 hingga 2010 dan beraksi sebanyak 72 perlawanan.

Beliau baharu sahaja menamatkan tugasan bersama Burkina Faso dalam Kejohanan Bola Sepak Piala Negara Afrika 2013 yang menyaksikan negaranya muncul naib juara setelah tewas 0-1 kepada Nigeria dalam perlawanan akhir, pagi semalam.

Pemain berusia 28 tahun itu kini beraksi dengan kelab FC Augsburg dalam Bundesliga, Jerman dan difahamkan mengikat kontrak selama dua tahun sehingga 30 Jun 2015 dengan bayaran RM2.6juta.

Kenali 10 Blogger Terbaik Malaysia

0 ulasan:

Post a Comment

Sila Like Kami di Facebook.
 
Support : Your Link | Careeron9 | OhGosip Artis
Copyright © 2013. DinKlate - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger About Me .