Home » , » Seludup Diesel

Seludup Diesel

Written By Unknown on Saturday, February 23, 2013 | 12:29 AM

KUANTAN - Sebuah syarikat pemborong diesel berlesen dikesan menyalahgunakan lesen dengan menjalankan kegiatan membeli bahan api bersubsidi itu di stesen minyak sekitar bandar Kuantan dipercayai untuk diedarkan kepada pihak ketiga dengan harga industri yang lebih tinggi.
Syarikat  yang beroperasi di Kawasan Perindustrian Tanah Putih, Batu 3, Jalan Gambang di sini itu  dikesan menggunakan lori perdagangan  yang diubah suai dengan memasang tangki tambahan di bahagian  belakang  lori yang ditutup  dengan muatan  tayar terpakai dan beberapa tong ikan sebagai helah untuk  mengelabui mata pihak berkuasa.

Taktik lapuk yang digunakan  syarikat terbabit  berjaya dihidu Pegawai Penguat kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Pahang apabila salah sebuah lori terbabit berjaya dikesan dan ditahan ketika cuba mengisi bahan api di sebuah stesen minyak di Batu 10, Jalan Gambang dekat sini, kelmarin.


Susulan penahan lori tersebut, satu serbuan ke pejabat operasi syarikat terbabit dilakukan kira-kira jam 12 tengah malam kelmarin sebelum menyita 20,400 liter diesel dianggarkan bernilai RM36,720 yang disimpan dalam sebuah tangki.

Ketua Bahagian Penguat kuasa PPDNKK Pahang, Abdul Kadir Aljailani Mohd Sharriff berkata, turut disita sebuah lori tiga tan membawa muatan tong ikan yang kebetulan masuk ke  dalam stor penyimpanan di kawasan pejabat syarikat tersebut.

“Hasil pemeriksaan ke atas lori itu, kita dapati terdapat sebuah tangki tambahan yang terselindung di sebalik tong-tong ikan tersebut,” katanya dalam satu sidang media di pejabat agensi itu di Jalan Gambut di sini, petang semalam.

Abdul Kadir berkata, setakat ini belum ada tangkapan dilakukan kerana pemandu salah sebuah lori yang ditahan lori berjaya melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pegawai penguat kuasa.

“Bagaimanapun kita akan mengambil keterangan daripada pengusaha dan kakitangan syarikat pemborong terbabit dan tindakan akan dikenakan terhadap mereka selepas segala siasatan berhubung kes ini selesai,” katanya.

Menurutnya, pihaknya belum dapat menentukan jumlah sebenar diesel dalam tangki tambahan kedua-dua lori yang ditahan.

“Kita membawa kedua-dua lori ini ke pejabat untuk pemeriksaan lanjut termasuk mengenal pasti kandungan dan jumlah diesel subsidi yang cuba diselewengkan,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan itu hasil aduan awam dan pemantauan pegawai penguat kuasanya sejak dua minggu lalu susulan aduan berhubung dua buah lori yang mencurigakan kerana sering keluar masuk stesen minyak dan membeli bahan api itu melebihi had yang sepatutnya.

“Hasil intipan yang dijalankan, kita dapati aduan itu berasas dan lori yang dimaksudkan jelas sering keluar masuk membeli diesel sebelum dihantar ke pusat pengumpulan di Kawasan Perindustrian Tanah Putih,” katanya.

Abdul Kadir berkata, dalam kes itu pihaknya juga mungkin akan mempertimbangkan tindakan menarik lesen pemborong tersebut jika didapati bersalah melakukan penyelewengan bahan api bersubsidi itu,” katanya.

Kenali 10 Blogger Terbaik Malaysia

0 ulasan:

Post a Comment

Sila Like Kami di Facebook.
 
Support : Your Link | Careeron9 | OhGosip Artis
Copyright © 2013. DinKlate - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger About Me .