Home » , » Stadium Sultan Mizan Runtuh Kerana Sabotaj?

Stadium Sultan Mizan Runtuh Kerana Sabotaj?

Written By Zanuddin Yaacob on Saturday, February 23, 2013 | 2:28 PM

KUALA TERENGGANU - Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menyifatkan insiden runtuhan struktur bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin kelmarin berpunca daripada kelemahan dan kecuaian kontraktor, bukan disebabkan ada unsur sabotaj.
Katanya, beliau tidak mahu mengaitkan kejadian tersebut dengan unsur negatif seumpama itu ataupun ada dalang yang menyebabkan runtuhan itu berlaku sehingga mencederakan tiga pekerja binaan.

“Saya tak mahu kata begitu (sabotaj) kerana saya tak mahu fitnah atau tuduh-menuduh. Saya anggap kejadian ini (runtuhan struktur bumbung) adalah kelemahan kontraktor.


“Semasa kita kita bincang pun, ia mesti ada sekurang-kurangnya empat kren besar untuk sokong struktur bumbung berkenaan, tetapi mereka guna satu kren sahaja.  Stadium ini dalam proses pembaikan dan bagi saya struktur itu runtuh disebabkan kecuaian kontraktor,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis pelancaran Akademi Bola Sepak Peteh Kids Terengganu di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Budiman di sini, semalam.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, mengikut peraturan, sekiranya kesemua struktur bumbung itu dibuka, mereka sekurang-kurangnya memerlukan tiga hingga empat kren untuk menyokong kerja yang dilakukan.
“Tapi mungkin pihak berkenaan hendak untung lebih banyak, maka mereka tak nak pakai kren banyak. Apabila mereka pakai satu kren saja, tak dapatlah nak menampung struktur berkenaan,” katanya.

Ahmad berkata demikian ketika diminta mengulas berkemungkinan wujud unsur sabotaj oleh pihak tertentu, yang dipercayai menjadi punca berlaku runtuhan struktur bumbung stadium berkenaan, pagi Rabu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, tiga pekerja cedera parah manakala dua lagi cedera ringan apabila kerangka keluli sepanjang 137 meter yang berada pada ketinggian 25 meter runtuh dan menghempap mangsa.

Ahmad seterusnya menyangkal tuduhan pembangkang yang menyalahkan kerajaan negeri berikutan kejadian itu, sebaliknya menjelaskan proses membaik pulih bumbung runtuh itu memerlukan tempoh masa lama berdasarkan prosedur tertentu yang perlu dipatuhi.

“Kita (kerajaan) tak patut dipersalahkan, apabila tak kuat 'support', ia robohlah. Bukannya kerana stadium tak kuat, itu tak betullah,” tegasnya.

Pada 2 Jun 2009, negara dikejutkan dengan runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak yang bernilai RM292 juta kira-kira setahun selepas stadium tersebut dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 10 Mei 2008.

Runtuhan berlaku yang berlaku pada jam 9.30 pagi itu mengakibatkan kira-kira 50 peratus daripada struktur stadium yang menjadi venue utama temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2008 itu musnah.

Kerosakan melibatkan bumbung di bahagian timur stadium sepanjang 400 meter itu yang menempatkan pintu masuk utama, pintu A, B dan B1 ke tempat duduk awam dan tempat duduk tetamu diraja serta orang kenamaan (VIP).

Kenali 10 Blogger Terbaik Malaysia

0 ulasan:

Post a Comment

Sila Like Kami di Facebook.
 
Support : Your Link | Careeron9 | OhGosip Artis
Copyright © 2013. DinKlate - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger About Me .