Home » , » Walaupun Sibuk Namun Anak Dan Isteri Menjadi Keutamaan

Walaupun Sibuk Namun Anak Dan Isteri Menjadi Keutamaan

Written By Unknown on Wednesday, February 20, 2013 | 10:32 PM

BIARPUN telah bergelar bapa semenjak Julai lalu, pelakon dan juga Presiden Seniman, Zed Zaidi terpaksa menangguhkan majlis akikah anak lelakinya, Ryan Zikry sehingga dia kini sudah berusia enam bulan.

Zed atau nama sebenarnya, Rozaidi Abdul Jamil, 33, berkata, biarpun niatnya untuk melakukan majlis akikah dilakukan lebih awal, namun kesibukan menguruskan hal dalam persatuan dan juga membantu jentera Umno dalam persiapan pilihan raya menyebabkan hal tersebut tertangguh.

“Alhamdulillah, saya lega kerana majlis ini berjalan dengan lancar, walaupun lambat kerana Ryan sudah pun berusia enam bulan tapi kami masih sempat untuk adakan majlis akikah untuknya.

“Segala idea mengenai atur cara majlis ini dicetuskan oleh isteri saya, Natalia Mustafa Kamal, dan saya sangat berterima kasih kepada semua penaja yang sudi menaja buaian, peralatan sistem bunyi, meja manisan dan banyak lagi,” katanya yang ditemui di Pusat Komuniti Bukit Bandaraya, Bangsar, baru-baru ini.

Zed berkata, tidak sekadar menjemput sanak-saudara, rakan taulan dan media, dia dan Natalia turut menjemput beberapa anak yatim untuk turut serta dalam majlis tersebut.

Sedia tambah anak

Berkongsi pengalamannya bergelar bapa, Zed berkata, dia amat seronok dan gembira sejak bergelar bapa dan paling penting, rasa penat bekerja hilang sebaik melihat anak.

“Dulu ketika dia berada di dalam kandungan, saya tak sabar nak melihat dia mengikut wajah siapa. Jadi apabila dia sudah berada di depan mata, dia adalah sumber kekuatan buat saya.

“Kerja keras saya selama ini untuk keselesaan anak saya juga. Malah rezeki saya juga semakin murah sejak kehadirannya. Kata orang, rezeki anak. Jadi saya tidak kisah untuk kerja kuat kerana ia berbaloi,” katanya.

Ditanya mengenai perancangannya untuk menambah bilangan anak, Zed berkata, dia dan Natalia sentiasa bersedia sekiranya ALLAH SWT memberi rezeki lagi kepada mereka dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, Zed berkata, fokusnya sekarang lebih kepada membantu Umno dalam persiapan pilihan raya.

“Saya sebenarnya sudah lama menjadi ahli Umno, tapi tidak menguar-uarkan. Cuma sekarang, saya lebih terbuka kerana melihat kurangnya pemimpin muda yang mahu membantu kerajaan.

“Jadi selepas pilihan raya, barulah saya boleh fokus untuk menambah bilangan cahaya mata,” katanya sambil ketawa.

Menurut Zed, kesibukannya dalam pelbagai agenda seni mahupun politik tidak menghalangnya untuk menjalankan tugas sebagai suami dan juga bapa. Sesibuk mana sekalipun, bagi Zed, keluarga tetap keutamaannya.

Diboikot dek kelantangan bersuara?

Dalam pada itu, Zed menolak dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan dia dipinggirkan oleh penerbit dan pengarah apabila tidak menerima tawaran lakonan, ekoran kelantangannya bersuara.

Menurut Zed, kesibukan tugasnya menyebabkan dia terpaksa menolak tawaran walaupun banyak tawaran yang di terima.

“Saya tidak rasa saya dipinggirkan atau diboikot kerana masih menerima tawaran. Cuma, jika pihak produksi boleh mengikut jadual saya, saya tidak ada masalah untuk menerima. Jika tidak, saya terpaksa tolak.

“Mungkin selepas PRU13, barulah saya boleh kembali memberi komitmen dalam bidang lakonan,” katanya.

Zed turut menjelaskan, kelantangannya bersuara selama ini bukan dilakukan secara semberono, sebaliknya ia berlandaskan fakta dan undang-undang, serta dilakukan secara bagi memastikan isu itu mendapat perhatian.

“Saya lakukan demi kepentingan industri seni, jika saya tidak lantang bersuara, orang akan ambil mudah mengenai isu terbabit.

“Malah, saya juga tidak mencampuradukkan antara parti politik dan persatuan. Jika saya rasa ada yang kurang betul, saya akan bersuara,” katanya.

Kenali 10 Blogger Terbaik Malaysia

0 ulasan:

Post a Comment

Sila Like Kami di Facebook.
 
Support : Your Link | Careeron9 | OhGosip Artis
Copyright © 2013. DinKlate - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger About Me .