Sempena sambutan Hari Wanita Sedunia pada 8 Mac lalu, 15 pengarah wanita tampil berkongsi kisah kehidupan wanita menerusi filem pendek, Ikal Mayang.
Menariknya, kisah kehidupan realiti wanita ini belum pernah diberi garapan dalam mana-mana produksi sebelum ini.
Menampilkan tema Agenda Jantina: Menjana Momentum, Ikal Mayang melibatkan ramai barisan pengarah wanita seperti Ida Nerina, Datin Sofea Jane, Nanu Baharudin, Sharifah Amani, Elaine Daily, Fauziah Nawi, Mislina Mustaffa, Vanidah Imran, Aida Fitri, Carmen Soo, Shamaine Othman, Junad Md Nor, Dira Abu Zahar, Melissa Saila dan Susan Lankester.
Diterbitkan syarikat produksi, Garang Pictures dengan kerjasama Big Eyes Entertainment, filem pendek ini akan menyingkap dan menyelongkar perjalanan hidup menerka yang bergelar wanita.
Menurut Penerbit Eksekutif, Low Ngai Yuen, penghasilan Ikal Mayang usaha bagi membuktikan bahawa golongan wanita bukanlah selemah yang disangka.
“Walaupun pada pandangan luar, wanita dilihat golongan lemah, namun sebenarnya wanita mampu menggoncangkan dunia.
“Filem ini bakal membuka mata masyarakat agar tidak menilai wanita dari sudut yang sama. Malah, tohmahan kehidupan wanita terlalu bergantung dengan lelaki, perlu dihentikan.
“Kami berharap, dengan terhasilnya projek ini, ia dapat membuktikan kepada masyarakat bahawa wanita juga mampu berjaya dan usaha memperkasakan wanita tercapai,” katanya.
5 filem tak ditayang
Menurut Yuen, pemilihan nama Ikal Mayang pula berkait rapat dengan keperibadian wanita yang melambangkan rambut sebagai mahkota.
“Wanita di Malaysia terkenal dengan jenis rambut yang ikal mayang. Jadi, ia secara tidak langsung melambangkan keperibadian.
“Ia juga sama seperti istilah pepatah Melayu, ‘rambut sama hitam, hati lain-lain’. Walaupun sama, namun perjalanan kehidupan mereka tetap berbeza.
“Begitu juga pahit getir serta cabaran yang dihadapi. Kami tampil dengan idea ini kerana hampir kesemua karya yang dihasilkan kini memandang enteng mengenai penindasan terhadap wanita,” katanya.
Penghasilan filem pendek ini turut mengambil masa selama 32 hari dan dibintangi oleh 105 pelakon.
Pun begitu, antara 15 filem pendek ini, berkemungkinan hanya 10 yang akan ditayangkan di kaca televisyen.
Selebihnya, dianggap tidak sesuai untuk tontonan umum memandangkan ia turut menyentuh serba sedikit sensitiviti masyarakat.
Antara filem tersebut adalah, Looks Fool yang diarahkan oleh Nanu Baharudin, The Toast (Susan Lankester), Jerat Suami (Dira Abu Zahar, 1-800-Baby (Datin Sofea Jane), Pantang (Vanidah Imran), Inspektor Mastura (Elaine Daly) Berat Sebelah (Melissa Saila) dan She (Ida Nerina).
Kesemua filem pendek ini dijangka menemui penonton Astro tidak lama lagi.
0 ulasan:
Post a Comment