Memuatkan tujuh lagu dengan mempertaruhkan Kali Pertama sebagai single utamanya, album ini turut menampilkan barisan komposer dan penulis lirik terkenal seperti Audi Mok, Taja (Meet Uncle Hussin), Hang Dimas (Hujan), Omar K, dan Ana Raffali.
Menurut Asmidar, setiap lagu yang dimuatkan dalam album pertamanya itu adalah hasil perbincangan dilakukan dengan syarikat rakamannya, Warner Music Malaysia.
"Setiap proses pembikinan album ini dijalankan atas persetujuan dan perbincangan kami. Bagi saya setiap lagu yang dimuatkan memiliki kelebihan dan kekuatan masing-masing.
"Sebagai penyanyi, tanggungjawab saya adalah menghayati dan membawakan lagu-lagu dengan baik dan mengharapkan peminat akan menerima sepenuhnya album ini," katanya yang pernah bergelar naib juara dalam pertandingan Bintang RTM pada 2000.
Ketika itu dia terpaksa bersaing dengan beberapa nama popular seperti Azharina, Misha Omar dan Sarah Raisuddin.
Menyentuh mengenai konsep albumnya, Asmidar memberitahu dia mengetengahkan elemen kupu-kupu sebagai simbolik mengenai perjalanan karier nyanyiannya.
"Kupu-kupu berasal daripada beluncas dan kehadirannya begitu sinonim dengan warna-warni yang menceriakan. Keadaan itu boleh saya katakan serupa dengan perjalanan bidang seni saya.
"Saya juga harapkan bakat nyanyian saya dan kehadiran album ini dapat memberi secalit warna dalam industri muzik tanah air," katanya.
Di samping itu, Asmidar akan membuat persembahan bagi mempromosikan album ini di tiga buah universiti bermula di Universiti Kebangsaan Malaysia kemudian di Universiti Selangor (UNISEL) dan di Universiti Malaya.
Alami batuk teruk
Bercerita lanjut mengenai album ini, Asmidar akui pembikinan album ini tidaklah semudah yang dijangka apabila terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran.
"Pembikinan album pernah tergendala seketika kerana ketika itu saya mengalami batuk yang teruk dan sedikit sebanyak mengganggu proses merakamkan lagu.
"Ketika itu musim durian, saya memang tak boleh makan durian sepatutnya, sebab badan saya tak tahan panas. Entah macam mana saya boleh makan, hanya seulas, saya dah jatuh sakit. Apa pun, saya bersyukur akhirnya album ini dapat disempurnakan dengan baik”, ujarnya.
0 ulasan:
Post a Comment