Namun penantian dan usaha tanpa jemu, Haiza atau nama sebenarnya, Rohaizah Nordin, 33, akhirnya membuahkan hasil apabila dikurniakan seorang putera pada 9 September tahun lalu setelah lima tahun berkahwin.
Diberi nama Nur Iman Shafi'e, 6 bulan, dialah pengarang jantung pasangan ini. Malah, kehadirannya beri sinar baru buat Haiza dan suami.
"Alhamdulillah, saya bersyukur dengan kurniaan ini. Saya seronok melihat perkembangan tumbesaran Iman daripada dia mula membuka mata sehinggalah proses meniarap.
"Momen indah ini sangat berharga bagi saya dan suami. Maklumlah, kami menunggu dalam tempoh yang lama untuk mendapatkan Iman.
"Jadi, ruang yang ada digunakan sepenuhnya untuk melayan karenah Iman yang semakin aktif dan membesar," katanya yang telah berhabis berpuluh ribu ringgit demi mendapatkan zuriatnya itu.
Enggan ambil pembantu rumah
Enggan mendapatkan khidmat pembantu rumah mahupun pengasuh, penyanyi yang pernah popular dengan lagu dangdut, Dag Dig Dug ini lebih selesa menguruskan anaknya sendiri.
Lagipun, akui Haiza dia tidak betah untuk meninggalkan Iman di bawah jagaan orang lain selain suami dan keluarga.
"Kalau saya keluar bekerja, suami akan jaga Iman dan kami akan bergilir-gilir. Saya sangat bersyukur kerana mendapat suami yang boleh diharapkan.
"Lagipun, jadual kami sangat fleksibel dan tidak bertindih. Suami akan keluar bekerja pada jam 4 petang dan saya akan sampai di rumah sebelum itu.
"Sejak Iman di dalam kandungan lagi, kami sudah berbincang mengenai perkara ini. Kami memutuskan untuk menjaga Iman sendiri kerana kami tidak akan sesekali mempercayai orang luar. Apatah lagi, banyak kejadian yang berlaku akibat pembantu rumah," katanya yang kini bertugas sebagai penyampai radio di konti KL FM.
Haiza akan mengendalikan segmen di stesen radio berkenaan pada jam 7 sehingga 10 pagi, setiap Khamis dan Jumaat.
Sedia tambah anak
Walaupun usia si kecil baru sahaja mencecah enam bulan, namun Haiza tidak menolak sekiranya dikurniakan cahaya mata lagi. Malah katanya, sebelum mencecah usia 38 tahun, dia ingin memiliki dua atau tiga orang cahaya mata.
"Umur saya sekarang sudah 33 tahun. Jadi, saya kena tambah lagi. Tapi, kami tidak merancang dan tidak terlalu terdesak untuk memilikinya lagi.
"Buat masa ini, kami sepakat untuk membesarkan Iman terlebih dahulu. Bila dia dah besar sikit, barulah fikir untuk tambah lagi.
"Namun, kalau ada rezeki, kami terima dengan tangan terbuka. Segalanya terserah kepada kuasa ALLAH SWT," katanya yang mendirikan rumah tangga bersama bekas pemain hoki Malaysia itu pada 24 Ogos 2007.
Bakal tampil single baru
Mengakui jadual kerja semakin padat dengan tugas di konti, pembikinan single baru dan menguruskan syarikat, ia bukanlah menjadi alasan untuknya mengabaikan tanggungjawab sebagai ibu dan isteri.
Bangga memiliki suami yang rajin dan mampu menguruskan anak ketika ketiadaannya, Haiza cuba sedaya upaya untuk tidak berenggang lama dengan mereka.
"Pagi-pagi lagi saya keluar bekerja. Selepas itu, saya bergegas balik kerana jam 4 petang, suami akan keluar bekerja pula.
"Kalau saya terpaksa bekerja di luar daerah pada hari Sabtu dan Ahad, saya akan membawa suami dan Iman bersama. Lagipun, Iman masih menyusu badan.
"Kalau kami sama-sama sibuk, barulah Iman di hantar kepada kakak saya.
"Lagipun, sehingga bulan Mei ini, suami sibuk dengan latihan dalam Liga Hoki Malaysia," katanya yang bakal menghasilkan single terbarunya tidak lama lagi.
Bertanya mengenai single baru, Haiza berkata, ia masih dalam perancangan dan dia kini dalam dilema.
"Saya masih tak pasti untuk keluarkan single baru ataupun memberi nafas baru menerusi lagu terdahulu.
"Yang pasti, saya akan mengekalkan elemen dangdut dan diolah semula mengikut peredaran zaman kini," katanya yang turut menguruskan syarikat sendiri, My Own Entertainment & Management.
Menerusi syarikatnya itu, dia turut bekerjasama dengan syarikat pelancongan, Plus & Plus Travel & Tours Sdn Bhd, dalam menganjurkan program percutian, Yok Cuti Yok bersama Haiza.
Katanya, program itu akan membawa 20 orang peminatnya dalam satu masa untuk bercuti ke luar negara termasuk Bandung, Singapura dan yang terbaru ke Bali pada bulan Mei ini.
0 ulasan:
Post a Comment