Home » , » Kenapa Izreen Azminda Teruja Bergelar Ibu ?

Kenapa Izreen Azminda Teruja Bergelar Ibu ?

Written By Unknown on Friday, March 29, 2013 | 3:08 PM

Semua orang pasti teruja apabila menunggu kelahiran yang bakal memeriahkan rumah tangga

SEMAKIN teruja menunggu kelahiran cahaya mata pertamanya, usia kandungan pelakon popular, Izreen Azminda kini mencecah enam bulan.

Bakal melahirkan bayi sulungnya hasil perkahwinan bersama jurukamera bebas, Muhammad Riza Baharudin, 30, pada Julai depan, Izreen, 28, sudah mengetahui jantina bayinya itu.

"Hasil ujian imbasan yang dibuat baru-baru ini, doktor sudah mengesahkan jantina bayi saya. Namun, saya rasa, biarlah ia dirahsiakan terlebih dahulu.

"Lagipun, saya tidak mahu terlalu terburu-buru kerana banyak kes yang terjadi di mana ujian imbasan bukanlah keputusan tepat.

"Apa jua jantina, saya dan suami tidak kisah. Yang penting, dia sihat dan berada dalam keadaan yang baik-baik sahaja," katanya yang diijabkabulkan pada 30 Ogos tahun lalu.

Izreen yang dinikahkan bapanya sendiri menerima wang hantaran sebanyak RM19,001 dan majlis resepsi diadakan di Dewan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Alor Setar.

Berat badan naik mendadak

Walaupun perutnya semakin membesar, namun Izreen masih lagi berada di lokasi penggambaran untuk telemovie Barakah.

Menurut Izreen, telemovie itu bakal ditayangkan pada hari raya ini dan mengambil masa tujuh hingga lapan hari penggambaran.

"Buat masa ini, saya masih lagi bekerja. Namun, jadual saya tidak sepadat dulu lagi. Selepas telemovie ini, saya akan berehat panjang menunggu tarikh bersalin.

"Doktor juga menyarankan agar saya berehat dan tidak melakukan kerja-kerja berat. Lagipun, walaupun usia kandungan baru enam bulan, tapi saya rasa macam dah sembilan bulan.

"Berat badan juga semakin bertambah. Dulu, saya hanya 53 kilogram (kg) tapi sekarang mencecah 68 kg. Sejak akhir-akhir ini, saya suka makan nasi dan nafsu makan bertambah," katanya yang akan kembali bekerja semula selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

Masih suri rumah

Menurut Izreen, sepanjang tempoh berehat nanti, masa yang ada akan digunakan sepenuhnya untuk menguruskan tugas di rumah sebagai suri rumah sepenuh masa.
Katanya, jika sebelum ini dia terpaksa mengabaikan tugas-tugas tersebut, namun peluang yang ada tidak akan disia-siakan.

"Saya akan menjalani kehidupan sebagai suri rumah sepenuh masa. Walaupun berehat, namun istilah berehat hanya untuk kerja-kerja di luar sahaja.

"Dalam pada itu juga, saya akan mempersiapkan mental dan fizikal untuk bergelar ibu. Selain membaca beberapa panduan mengenai kelahiran dan proses penjagaan, saya juga akan menyediakan kelengkapan bayi dan diri saya sendiri.

"Buat masa ini, ada beberapa kelengkapan yang sudah dibeli, namun bukan sepenuhnya lagi. Selain itu, kami juga sedang mencari nama-nama yang sesuai untuk anak.

Setakat ini, nama pilihan sudah ada, namun ia sering bertukar-tukar dari semasa ke semasa," katanya sambil ketawa.

Faham tugas suami

Mengakui masa yang ada bersama suami sangat terhad, namun bagi Izreen, dia sudah biasa dengan situasi itu dan tidak menganggap ianya sebagai masalah besar dalam rumah tangga.

Malah, sejak Izreen disahkan hamil, Riza hanya mengambil kerja-kerja di sekitar Kuala Lumpur sahaja.

"Suami saya memang sibuk dengan kerjanya. Sebelum ini, kami sama-sama sibuk. Namun, saya memahami tugasnya dan tidak ada masalah mengenai perkara itu.

"Namun, tidak bermakna suami sering mengabaikan saya. Jika ada masa terluang, dia akan membawa saya keluar bersiar-siar, menonton wayang, makan dan mengambil angin.

"Pada Februari lalu, suami membawa saya bercuti ke Phuket dan sebenarnya itulah bulan madu pertama kami sejak berkahwin," katanya yang bakal bersalin di Hospital Columbia, Kuala Lumpur.

Berpantang di Kuala Lumpur

Di awal perancangan, Izreen sepakat untuk melalui proses berpantang di kampung halamannya di Kangar, Perlis.

Namun, kerana suaminya perlu bekerja, Izreen terpaksa membatalkan hasrat itu dan berpantang di Kuala Lumpur sahaja.

"Walaupun saya berpantang di sini, namun saya akan minta mak datang untuk menjaga saya nanti.

"Biasalah, kelahiran sulung, saya sendiri tak tahun cara-cara untuk menjaga kesihatan dan berpantang. Bukan senang nak melalui tempoh ini kerana macam-macam perkara boleh berlaku.

"Lagipun, pada tempoh inilah kita kena menjalaninya secara betul untuk mengekalkan tenaga dalaman. Saya juga perlu menurunkan berat dan bentuk badan asal," katanya yang memilih kaedah tradisional dalam tempoh berpantang.

Ditanya mengenai pemilihan kerjaya untuk anaknya nanti, Izreen seboleh-bolehnya tidak mahu anak mereka mengikut jejak langkahnya yang terlibat dalam industri seni.

"Biarlah dia memilih kerjaya yang menjamin masa depannya. Kalau tak ahli perniagaan, dia boleh jadi peguam atau  doktor.

"Saya lebih suka anak saya berjaya dalam bidang akademik, bukan untuk terus mengikut jejak langkah kami dalam industri," katanya.

Kenali 10 Blogger Terbaik Malaysia

0 ulasan:

Post a Comment

Sila Like Kami di Facebook.
 
Support : Your Link | Careeron9 | OhGosip Artis
Copyright © 2013. DinKlate - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger About Me .