Home » , » Kim Her: Paulus mampu 'ubah' beregu Malaysia

Kim Her: Paulus mampu 'ubah' beregu Malaysia

Written By Unknown on Friday, February 15, 2013 | 9:28 PM

SIAPA tidak kenal  dengan Tan Kim Her. Seorang ketua jurulatih yang sangat berkaliber. Didikan beliau juga banyak membantu pemain badminton negara terutama Koo Kien Keat-Tan Boon Heong  mengharumkan nama negara.

Namun begitu, keputusan beliau untuk memberi tanggungjawab melatih beregu utama lelaki negara, Kien Keat-Boon Heong kepada jurulatih baru dari Indonesia, Paulus Firman baru-baru ini menjadi tanda tanya.

Keputusannya itu seolah-olah mahu melarikan diri daripada tanggungjawab besar selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meletakkan sasaran kepada beregu utama negara itu untuk mara ke final Kejohanan Dunia di Guangzhou, China, Ogos ini.

Ikuti temu bual Sinar Harian Online bersama beliau bagi mendapatkan gambaran sebenar keputusannya itu dan tahap prestasi beregu negara.


SINAR HARIAN ONLINE: Apa perkembangan badminton beregu sekarang?

KIM HER: Seperti biasa, kesemua beregu negara sedang gigih menjalani latihan. Lagipun, dalam tempoh empat bulan sehingga proses kelayakan berakhir pada 30 April 2013, kesemua beregu ini akan diberi (peluang menyertai) sekurang-kurangnya tujuh pertandingan untuk mengutip mata dan menempatkan diri dalam kelompok 24 terbaik dunia.

Ini kerana, saya mahu tiga lagi pasangan Hoon Thien How-Tan Wee Kiong, Goh V Shem-Lim Khim Wah dan Chooi Kah Ming-Ow Yao Han dapat menemani Koo Kien Keat-Tan Boon Heong  pada kejohanan Dunia, 4-11 Ogos nanti.

SINAR HARIAN ONLINE: Apakah sasaran yang dicanang oleh jurulatih pada tahun ini?

KIM HER: Sasaran awal tahun kami adalah cuba menempatkan sebanyak mana mungkin beregu pada Kejohanan Dunia, baik dalam acara lelaki, wanita serta campuran. Rebut tempat untuk beregu lelaki amat sengit kerana kita ada saingan daripada pasangan bebas.

Sebab itu, amat penting untuk kami merangka kejohanan yang tepat bagi semua pasangan ini. Tahun lalu, V Shem-Khim Wah dan Kah Ming-Yao Han tidak mendapat banyak pertandingan, jadi kami akan pastikan mereka mendapat sekurang-kurangnya minimum tujuh pertandingan untuk mencari mata kelayakan.

SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana pula jurulatih melihat prestasi beregu negara terutamanya, Kien Keat-Boon Heong yang dilihat kurang menyerlah akhir-akhir ini?

KIM HER: Bagi saya, kedua-dua pemain itu masih lagi dalam keadaan baik. Prestasi mereka tidak menurun seperti mana dilaporkan oleh pihak media. Mereka masih lagi pasangan nombor dua dunia. Jadi tidak timbul prestasi menurun atau sebaliknya.

Cuma apa yang perlu dilakukan sekarang adalah memberi latihan yang secukupnya kepada mereka agar gandingan itu akan lebih mantap dan mencapai tahap yang lebih tinggi lagi.

SINAR HARIAN ONLINE: Baru-baru ini kita dikejutkan dengan pelantikkan jurulatih baru iaitu Paulus Firman, yang dipertanggungjawabkan membimbing Kien Keat- Boon Heong? Apa pandangan jurulatih dengan pelantikkan itu?

KIM HER: Saya bersetuju dengan tindakan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang melantik Paulus sebagai jurulatih beregu negara. Ini kerana jurulatih terbaik seperti Paulus amat diperlukan bagi mengasah lagi kemahiran gandingan itu. Paulus memiliki kualiti yang diperlukan untuk menggilap semula karier pasangan nombor dua dunia itu.

Kita tahu ketika ini semuanya Kien Keat-Boon Heong sudah ada, kita cuma perlu asah lagi skil mereka dan saya tahu Paulus boleh membantu.
Pada masa sama, saya juga mahu bekas jurulatih skuad Indonesia itu menerapkan corak taktikal negara tersebut kepada Kien Keat-Boon Heong termasuk barisan pemain beregu negara yang lain. China, Korea Selatan dan Indonesia memiliki pasangan beregu yang kuat.
Ketiga-tiga negara tersebut juga memiliki corak permainan yang berbeza.

Seperti China dan Korea, mereka memang menerapkan corak permainan yang agresif dalam setiap perlawanan. Namun, Indonesia mereka lebih kepada taktikal dan corak permainan yang lembut. Malaysia pula berada di tengah-tengah. Ada kekuatan tersendiri dan ada kelembutannya.
Sebab itu, saya mahu Paulus menerapkan corak permainan Indonesia kepada pemain-pemain beregu negara.

SINAR HARIAN ONLINE: Tidakkah dengan keputusan ini  akan membuat andaian sebenarnya jurulatih ingin lari daripada tanggungjawab?

KIM HER: Saya bukan mahu lari daripada tanggungjawab, tapi saya menganggap kedua-dua pasangan senior tersebut perlukan suntikan baru untuk menyegarkan semula permainan mereka.

Lagipun, bukan sahaja Kien Keat-Boon Heong malah Lutfi-Wee Gieen yang dianggap mempunyai potensi besar turut diletakkan di bawah Paulus untuk membolehkan pasangan itu mendapat pengalaman berlatih di bawah beregu terbaik negara ini.

Sebenarnya untuk mengendalikan beregu utama seperti Kien Keat-Boon Heong dan Thien How-Wee Kiong, seorang jurulatih tidak boleh diberi terlalu banyak pasangan. Jadi, tiga adalah jumlah yang paling sesuai buat Paulus. Beliau boleh beri tumpuan yang lebih khusus kepada pemain-pemainnya.

Selepas saya menyerahkan mereka kepada Paulus, saya pula akan mengendalikan empat beregu Goh V Shem-Lim Khim Wah, Ow Yao Han-Chooi Kah Ming, Ong Jian Guo-Teo Kok Siang dan Tai An Kang-Tan Chee Tean manakala pembantu saya, Chong Kien Ling akan memberi tumpuan kepada bekas juara remaja dunia, Nelson Heg-Teo Ee Yi.

SINAR HARIAN ONLINE: Adakah jurulatih yakin dengan kehadiran Paulus akan mengubah senario badminton beregu negara terutama Kien Keat-Boon Heong selepas ini?
 
KIM HER: Saya percaya Paulus dapat menghasilkan impak yang positif kepada Kien Keat-Boon Heong, sekali gus mengembalikan semula sengat bekas beregu nombor satu dunia itu.

Lagipun, saya sudah lama kenal Paulus. Apa yang saya lihat, dia mempunyai pendirian yang tetap selain seorang jurulatih yang boleh memahami situasi dialami pemain-pemain di bawah kendaliannya. Ketika beliau menjadi jurulatih di Indonesia, para pemain sangat menghormati Paulus.

Saya percaya apabila bercakap tentang mengendalikan pasangan senior, penumpuan kita bukan semata-mata kepada faktor fizikal atau latihan kerana pemain ini sudah berada pada satu tahap yang tinggi. Mereka perlu ditangani secara emosi menerusi komunikasi yang bagus.

Paulus ada kelebihan dalam perkara ini, beliau tahu bagaimana hendak menyesuaikan diri dengan karakter pemain yang berbeza, malah beliau juga ada kepakaran yang saya mahu terap dalam corak permainan beregu kita.

Pada masa yang sama, kita juga kena sedar bahawa tugas jurulatih bukan sekadar melatih pemain sahaja. Sebaliknya, jurulatih itu perlu tahu keadaan serta perasaan pemain dan makan minum mereka.

Jadi, dengan sikap Paulus ini, para pemain tidak akan berasa keseorangan kerana mereka tahu ada tempat untuk meluahkan apa yang mereka inginkan. Saya percaya, Kien Keat-Boon Heong dapat menyesuaikan diri dengan Paulus.

SINAR HARIAN ONLINE: Tapi, sebelum ini kita tahu Paulus tidak pernah membimbing mana-mana beregu lelaki, adakah itu akan memberi kesan kepada Kien Keat dan Boon Heong?

KIM HER: Saya tidak nampak sebarang masalah untuk Paulus membimbing beregu lelaki negara dengan baik biarpun pengalamannya sepanjang bersama Persatuan Badminton Indonesia (PBSI) lebih kepada acara wanita dan campuran.

Sekarang, saingan beregu lelaki dunia dikuasai pasangan China, Indonesia dan Korea. China dan Korea terkenal dengan corak permainan yang memerlukan kekuatan, Indonesia dan Denmark pula lebih kepada skil serta taktikal manakala beregu kita berada di tengah-tengah.

Kita sukar menandingi pasangan China dan Korea menerusi kekuatan 'smash'. Jadi, saya percaya penerapan yang digunakan beregu Indonesia atau Denmark iaitu lebih kepada skil dan taktikal sesuai digunakan beregu kita, di sinilah kepakaran Paulus yang saya percaya boleh membantu pemain negara.

SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana pula dengan penerimaan Kien Keat-Boon Heong dengan kehadiran Paulus setakat ini?

KIM HER: Saya sudah bercakap mengenai hal ini dengan mereka. Kien Keat-Boon Heong sangat positif dan sedia untuk bekerjasama dengan Paulus.

SINAR HARIAN ONLINE: Selain itu, apa pandangan jurulatih pula tentang perkembangan sukan badminton negara? Bagaimana dengan masa depan? Adakah kita sudah ada barisan pemain untuk Olimpik 2016, 2020?

KIM HER: Tidak dinafikan sedikit bimbang tentang perkembangan sukan badminton di negara ini yang memaparkan detik-detik kemerosotan sejak kebelakangan ini dan mahu ia segera bangkit.  Saya merasakan penguasaan Malaysia dalam sukan badminton perlu diperhebatkan dengan melahirkan lebih ramai pemain pelapis yang mampu menggegarkan dunia.

Pada masa sama, saya yakin Malaysia boleh maju dalam apa juga jenis sukan sekiranya masyarakat komited memainkan peranan aktif dalam sukan yang diceburi berdasarkan sejarah yang pernah dicipta.

Dan, Malaysia sudah terbukti mampu melahirkan ramai nama besar dan terkenal sukan badminton dalam negara serta arena antarabangsa seperti Datuk Misbun dan Jalani Sidek, Datuk Punch Gunalan, Sylvia Ng dan Datuk Lee Chong Wei. Apapun, sekarang perkembangan badminton semakin meningkat dan ia harus dipergiatkan lagi demi menaikkan nama Malaysia di persada dunia.

Kenali 10 Blogger Terbaik Malaysia

0 ulasan:

Post a Comment

Sila Like Kami di Facebook.
 
Support : Your Link | Careeron9 | OhGosip Artis
Copyright © 2013. DinKlate - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger About Me .