Home » , » Motor dicuri jejas perniagaan

Motor dicuri jejas perniagaan

Written By Unknown on Sunday, February 17, 2013 | 3:07 AM


BALING - “Dengan motosikal inilah saya berniaga, menghantar anak ke sekolah malah sebagai kemudahan harian saya. Itu saja kemudahan yang saya ada.”

Demikian kata Asma Md Dali, 35, dari Kampung Kuala Lesung, Kuala Ketil yang resah setelah kemudahannya itu dicuri minggu lalu.
Sehubungan itu, ibu tunggal kepada lima anak ini berharap Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) dapat meluluskan permohonan bantuan motosikal beroda tiga kepadanya.

Menurutnya, kemudahan itu bagi membolehkannya meneruskan perniagaan goreng pisangnya demi menyara empat anaknya yang masih bersekolah.
“Saya tiada kemudahan lain, saya terlalu mengharap kerana dengan kenderaan itu sahaja dapat membantu saya meneruskan perniagaan dan menjana pendapatan,” katanya.

Katanya, dia juga runsing setiap kali memikirkan mengenai persekolahan anak-anaknya yang terbantut gara-gara tidak mempunyai pengangkutan.

“Dulu, saya yang hantar mereka ke sekolah, tapi bila motosikal saya dicuri, saya tiada kemudahan lain. Sampai bila saya harus bergantung kepada orang ramai,” katanya.

Menurutnya, kehidupannya semakin tersepit setelah tidak dapat menjalankan perniagaannya seperti biasa.

“Disebabkan itu, saya berharap sangat agar Keda meluluskan permohonan saya. Saya tidak tahu dengan siapa saya ingin mengadu. Saya cuma harapkan permohonan ini diluluskan,” katanya.

Asma berkata, walaupun tiga anaknya memperoleh bantuan persekolahan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM100 sebulan, wang itu sekadar untuk perbelanjaan persekolahan mereka.

“Wang itu hanya cukup untuk persekolahan mereka, bukan bagi perbelanjaan harian. Saya juga bukan ingin meraih simpati.

“Saya masih sihat dan mampu bekerja, tetapi saya perlukan kemudahan. Insya-ALLAH, walaupun sekadar berniaga goreng pisang, sedikit sebanyak dapat membantu menjana pendapatan saya,” katanya.

Kenali 10 Blogger Terbaik Malaysia

0 ulasan:

Post a Comment

Sila Like Kami di Facebook.
 
Support : Your Link | Careeron9 | OhGosip Artis
Copyright © 2013. DinKlate - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger About Me .