Home » , » Tak sempat beli hadiah

Tak sempat beli hadiah

Written By Unknown on Sunday, February 17, 2013 | 2:55 AM


BUKIT KATIL - Hasrat seorang lelaki untuk memberi hadiah kepada isteri sempena ulangtahun perkahwinan, Mac depan, berkecai apabila isterinya maut ketika dalam perjalanan ke tempat kerja, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6.15 pagi itu, mangsa, S. Ponmani, 36, dari Pondok Batang, Nyalas, bersama tiga wanita warga emas lain dalam perjalanan menuju ke kilang tempat mereka bekerja sebagai tukang cuci di Batu Berendam, dekat sini.
Van kilang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Persimpangan Tun Kudu - Tehel, di sini, semalam.

Suami mangsa, B. Saravanan, 37, berkata kali terakhir dia menemui mangsa ketika mereka tidur bersama di rumah ibunya di Kampung Air Merbak, Jasin, kira-kira 11 malam kelmarin.
“Sebelum kami melelapkan mata, dia ada bertanyakan tentang hadiah untuknya sempena Hari Valentine, tetapi saya hanya mendiamkan diri dan terus tidur.
“Saya bercadang memberikannya hadiah pada sambutan ulangtahun perkahwinan kami yang kelapan pada 25 Mac depan,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Melaka, dekat sini semalam.
Dia bagaimanapun sedih apabila hasrat tersebut tidak kesampaian apabila isterinya itu meninggalkan dirinya serta anak lelaki mereka, S. Nareshan, 6, buat selama-lamanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Ahmad Adnan Basri berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, van dipandu lelaki berusia 50 tahun yang datang dari arah Tehel berlanggar dengan sebuah kereta jenis Nissan Sentra yang datang dari arah Paya Dalam menghala ke Bukit Katil.
“Akibat perlanggaran itu, mangsa yang berada di tempat duduk penumpang tengah meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit.
“Pemandu van yang turut tersepit berjaya dikeluarkan anggota bomba tidak lama kemudian dan dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan selanjutnya,” katanya di sini, semalam.
Adnan berkata, tiga penumpang lain berusia lingkungan 60-an, bagaimanapun terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.
“Pemandu Nissan Sentra yang berusia 30 tahun turut terselamat,” katanya.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kenali 10 Blogger Terbaik Malaysia

0 ulasan:

Post a Comment

Sila Like Kami di Facebook.
 
Support : Your Link | Careeron9 | OhGosip Artis
Copyright © 2013. DinKlate - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger About Me .