Home » » Tunggu Pita Rakaman - FAM

Tunggu Pita Rakaman - FAM

Written By Zanuddin Yaacob on Monday, February 18, 2013 | 7:08 PM


PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) akan membicarakan kes pergaduhan antara pemain Selangor dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selepas menerima pita rakaman penuh insiden yang berlaku pada pusingan pertama Piala FA di Stadium Shah Alam bulan lalu.
Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Azzuddin menegaskan, FAM akan mendapatkan kesahihan mengenai insiden tersebut selepas menerima pita rakaman itu daripada sebuah stesen televisyen dalam masa terdekat.
Menurutnya, kes itu akan dibawa ke Mesyuarat Tatatertib FAM selepas pihaknya menganalisis kembali insiden tersebut.
“Buat masa ini, FAM hanya menunggu rakaman penuh daripada stesen televisyen (tempatan) itu yang mana mereka telah bersetuju untuk menyerahkan pita rakaman tersebut minggu depan.
“Ini akan memudahkan buat pihak FAM untuk melaksanakan proses pembicaraan sebelum menetapkan sebarang hukuman.
“Saya percaya selepas kami mendapat maklumat penuh daripada pegawai pertandingan dan pita rakaman itu, kita akan membuat tindakan susulan,” kata Azzuddin.
Aksi di Stadium Shah Alam pada 25 Januari lalu dicemari dengan insiden pergaduhan apabila penyerang Selangor, Mohd. Afiq Azmi didakwa menjadi mangsa selepas dia didakwa terlebih dahulu melakukan provokasi terhadap pemain ATM.
Difahamkan, Afiq melakukan provokasi itu dengan meraikan kemenangan Selangor di hadapan bangku simpanan skuad ATM sejurus skuad Gergasi Merah menang 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti 3-2.
Akibatnya, dia dibaling dengan botol dan disepak oleh beberapa pemain ATM.
Mengulas lanjut, Azzuddin berharap mana-mana pihak tidak silap tafsir apabila mendakwa FAM sengaja ‘memilih kasih’ bagi menangani kes tersebut,.
Katanya, kedua-dua pasukan itu tidak akan terlepas daripada hukuman sekiranya FAM mendapati mereka bersalah dalam insiden tersebut.
“Ia adalah satu prosedur biasa yang mana pihak kami perlu mengumpul bahan-bahan bukti sebelum memutuskan hukuman terhadap mana-mana pasukan.
“Tiada istilah ‘anak emas’ atau ‘pilih kasih’ dalam kes Selangor dan ATM. FAM tetap melaksanakan hukuman sekiranya mereka didapati bersalah,” tegasnya.


Kenali 10 Blogger Terbaik Malaysia

0 ulasan:

Post a Comment

Sila Like Kami di Facebook.
 
Support : Your Link | Careeron9 | OhGosip Artis
Copyright © 2013. DinKlate - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger About Me .